Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita S’pura maut selepas van bawa 10 pelancong terjunam dalam gaung di P. Pinang

Sep 25, 2023 | 1:17 PM
MASUK GAUNG: Sebuah van persiaran yang membawa 10 pelancong terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam enam meter di Bukit Genting, Pulau Pinang. Keadaan van berwarna putih yang terbalik di cerun itu dimuat naik di TikTok.
MASUK GAUNG: Sebuah van persiaran yang membawa 10 pelancong terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam enam meter di Bukit Genting, Pulau Pinang. Keadaan van berwarna putih yang terbalik di cerun itu dimuat naik di TikTok. - Foto FACEBOOK/BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT SERI BALIK PULAU

Seorang wanita warga Singapura terkorban dalam satu nahas jalan raya pada Ahad malam, apabila sebuah van persiaran yang membawa 10 pelancong dari sini terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Bukit Genting, Pulau Pinang.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang, dalam satu kenyataan pada Isnin, berkata dalam kalangan 11 mangsa, termasuk pemandu van warga Malaysia, empat dilaporkan cedera parah dan enam cedera ringan.

Mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan lapan wanita.

Menurutnya, seorang penumpang warga Singapura disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mayat mangsa dan dua lagi yang cedera dibawa ke Hospital Pulau Pinang, manakala tujuh yang lain dikejarkan di Hospital Balik Pulau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Encik Wong Hon Wai, memberitahu The Star bahawa mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Cik Lee Kwee Yiam, 62 tahun.

Dalam satu sidang media pada pagi Isnin, Encik Wong berkata mayat mangsa kini berada di rumah mayat Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat.

Tiga mangsa yang cedera telah diizin keluar hospital, katanya.

JBPM Pulau Pinang berkata kejadian berlaku sekitar 8.14 malam Ahad. Kesemua 11 mangsa berjaya dikeluarkan pada 10.26 malam.

View post on TikTok

“Pasukan Bomba dan Penyelamat yang tiba di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah van yang membawa pelancong dari Singapura telah terbabas lalu terjatuh ke cerun bukit dengan kedalaman hampir 20 kaki (enam meter),” katanya.

Difahamkan van tersebut sedang menuruni bukit selepas penumpang selesai makan malam di sebuah restoran di bukit itu. Ia dipercayai terbabas ketika melalui selekoh dalam keadaan jalan yang licin sekitar lima minit perjalanan dari restoran tersebut.

MISI BANTUAN: Pegawai Bomba Malaysia kelihatan menjalankan tugas mengeluarkan mangsa dari van terbabas di Bukit Genting, Pulau Pinang.
MISI BANTUAN: Pegawai Bomba Malaysia kelihatan menjalankan tugas mengeluarkan mangsa dari van terbabas di Bukit Genting, Pulau Pinang. - Foto FACEBOOK/BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT SERI BALIK PULAU

Seorang Ketua Operasi dari Balai Bomba Dan Penyelamat Seri Balik Pulau berkata kepada media tempatan terdapat tiga mangsa yang dikeluarkan dari tempat kejadian dan dibawa naik dengan bantuan orang awam.

“Seterusnya, kami (anggota bomba dan penyelamat Seri Balik Pulau) lakukan operasi membantu dengan menurunkan penyelamat kami (ke tempat kejadian) secara selamat dan keluarkan (baki) mangsa satu per satu,” katanya

JPBM Pulau Pinang berkata operasi menyelamat selesai pada 11.33 malam.

Menurutnya, sejumlah 17 anggota termasuk Penyelia dan Pegawai Kanan dikerah bagi melaksanakan operasi tersebut.

Ia berkata Komander Operasi membuat tindakan ‘size up’, atau penganggaran, dan mengarahkan anggota dengan Pakaian Perlindungan Peribadi (PPE) lengkap dan peralatan khas melakukan kerja-kerja menyelamat dengan mengeluarkan dan membawa naik mangsa yang tersepit di cerun bukit.

View post on TikTok
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg