JAKARTA: Pemerintah Indonesia secara rasmi telah melarang mudik Lebaran tahun ini, dari 6 hingga 17 Mei ini.
Ini bererti tradisi jutaan warga kota pulang ke kampung halaman dengan berpusu-pusu menaiki kereta api, kapal dan pesawat atau pengangkutan lain untuk menyambut Syawal bersama keluarga tersayang hanya tinggal impian tahun ini.
Langkah itu sebahagian usaha mencegah penularan besar-besaran pandemik Covid-19.
Pemerintah Indonesia turut menghentikan pengeluaran visa kepada warga asing yang telah ke India sejak 14 hari lalu demi mengekang penularan koronavirus itu.
Menteri Kesihatan Indonesia, Encik Budi Gunadi Sadikin, mengesahkan pada Isnin lalu sekurang-kurangnya 10 orang diuji positif dengan jenis terbaru virus Covid-19 yang pertama kali dikesan di India.
Berita itu disampaikan dua hari selepas pemerintah melarang pengunjung asing dari India kerana kebimbangan mengenai Covid-19.
"Varian virus ini telah memasuki Indonesia dengan kurang-kurangnya 10 orang disahkan mengalaminya," kata Encik Budi dalam satu sidang media di Istana Negara di Jakarta Pusat.
Negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia itu kini berdepan kebimbangan penularan buruk Covid-19.
Indonesia akan mendapat bekalan tambahan vaksin Sinovac Covid-19 dari China dan AstraZeneca dari Pakatan Vaksin dan Imunisasi Sedunia (Gavi), menurut kementerian kesihatan Isnin lalu.
Encik Budi berkata bekalan tambahan vaksin Sinovac adalah hasil perbincangan peringkat tinggi antara Presiden Joko (Jokowi) Widodo dan rakan sejawatannya dari China, Encik Xi Jinping.
"Akan terdapat vaksin Sinovac tambahan, termasuk 10 juta hingga 15 juta dos bagi April dan Mei ini," kata Encik Budi.
Menurutnya, Kementerian Ehwal Luar juga bertindak demi kepentingan orang ramai, namun pihaknya lewat mengatur penghantaran vaksin disebabkan sekatan ke atas pengguna jalan raya.
Bulan depan, akan terdapat dua lagi penghantaran, "sebanyak 3.8 juta dos dari Covax (Kemudahan Vaksin Global)," katanya, yang ditukil agensi Anadolu.
Dengan dos tambahan ini, Indonesia boleh mempercepat kadar inokulasi, yang lembap disebabkan kekurangan bekalan.
Sementara itu, jumlah orang yang tampil bagi mendapatkan vaksin telah berkurangan, berjumlah 300,000 dos sehari, jauh daripada setengah juta sehari bulan lalu, menurut Kementerian Kesihatan.
India dalam pada itu telah menghentikan eksport vaksin AstraZeneca yang dihasilkannya selepas kes Covid-19 domestik meningkat, menurut perangkaan rasmi negara.
Indonesia kini berdepan lebih 1.65 juta kes Covid-19, dengan hampir 45,000 kematian.
Negara-negara Asia Pasifik terus berdepan peningkatan jangkitan Covid-19.
Kelmarin, Indonesia menyaksikan peningkatan kes sebanyak 5,944 dalam masa sehari dan 177 kematian, menurut Kementerian Kesihatan, yang juga berkata jumlah pesakit yang telah pulih daripada jangkitan itu kini lebih 1.5 juta orang.
Namun, ditengah-tengah penularan yang melonjak, ekonomi Indonesia mendapat ransangan positif.
Pelaburan langsung asing (FDI) ke negara itu meningkat dengan pantas pada suku pertama tahun ini - mencerminkan keyakinan pelabur terhadap penyusunan semula ekonomi di tengah-tengah aktiviti pelaburan sedunia yang mula pulih daripada kelembapan akibat pandemik Covid-19.
FDI mencatat kenaikan 14 peratus kepada Rp111.7 juta trilion ($10.22 bilion) bagi tempoh Januari hingga Mac, berbanding tempoh sama tahun lalu, menyusuli peningkatan 5.5 peratus daripada suku tempoh sebelumnya, menurut data daripada Lembaga Penyelarasan Pelaburan (BKPM) yang dibentangkan pada Isnin lalu.
Ini merupakan pertumbuhan suku tahun pertama sejak pandemik melanda, terpantas dari segi tahun ke tahun dalam masa lima tahun.
Data BKPM itu, bagaimanapun, tidak menyertakan sektor minyak dan gas serta perbankan dan kewangan. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg