KUALA LUMPUR: Warga Malaysia mungkin kehabisan wang simpanan pada usia 58 tahun disebabkan gaji yang rendah, hutang yang tinggi dan pengeluaran pramatang daripada dana persaraan mereka semasa pandemik Covid-19, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Sekitar RM145 bilion ($43.8 bilion) telah dikeluarkan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa wabak Covid-19 - satu langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang telah dilakukan kerajaan Malaysia ketika itu.
Pengeluaran khas itu menyebabkan aset dana pencen di bawah pengurusan jatuh buat kali pertama tahun lepas, dan BNM berkata ia memburukkan lagi risiko pencen yang "sudah teruk".
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan tertekan agar membenarkan rakyat menggunakan simpanan persaraan mereka sekali lagi, dengan pembangkang mendesak beliau membenarkan satu lagi pusingan "pengeluaran yang disasarkan" untuk membantu warga Malaysia yang sedang dalam kesusahan.
Datuk Anwar menolak gesaan itu, menyebabkan pembangkang pada Isnin keluar dari Parlimen sebagai tanda protes.
Pada masa yang sama, bank pusat telah memberi amaran.
Sebelum pandemik Covid-19 pun, keadaan bagi pesara sudah tidak begitu indah disebabkan isu seperti gaji rendah.
Simpanan median bagi kohort dalam kumpulan umur 51 hingga 55 tahun hanya bertahan lima tahun selepas pengeluaran wang pada 55 tahun, kata bank itu.
Selepas pengeluaran semasa pandemik, tempoh tersebut turun kepada tiga tahun.
Dengan jangka hayat global meningkat melebihi 77 tahun menjelang 2050, "rata-rata warga Malaysia akan berisiko kehabisan simpanan persaraan mereka 19 tahun sebelum kematian", kata BNM.
Ini mengetengahkan keperluan mendesak untuk membina semula penampan simpanan, tekan bank itu, sambil menyeru agar terbentuk dasar yang melanjutkan fasa pengumpulan sebagai cara untuk meningkatkan simpanan persaraan.
Ini mungkin melibatkan pelaburan semula sebahagian daripada simpanan yang sepatutnya dikeluarkan pada usia persaraan, kata bank itu. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg