COLOMBO (SRI LANKA): Mereka terjun ke dalam kolam renang, baring di katil tergantung dan menonton kriket di televisyen skrin lebar.
Ada juga yang mengikuti laporan berita mengenai kumpulan pembantah lain yang berhimpun di ibu kota Sri Lanka dan kini bersama mereka memasuki tempat penginapan rasmi presiden dan sekretariatnya.
Selepas mengharungi kesusahan termasuk kekurangan bekalan bahan api dan makanan yang bermula sejak beberapa bulan lalu, adegan yang boleh dilihat berlaku di Colombo itu bak mengalihkan tumpuan buat seketika daripada masalah ekonomi serius yang melanda negara itu.
Di tempat kediaman rasmi Presiden Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri ke lokasi tidak ketahui pada 9 Julai (Sabtu), pembantah dilihat berenang dalam kolam air jernih, sementara ramai yang lain melihat dari atas.
Ada yang bersenam di gimnasium, sementara ramai yang lain berehat di taman yang dipagar tanam-tanaman dijaga rapi.
Pada Ahad (10 Julai), ratusan pembantah terus memasuki tempat kediaman yang luas itu untuk mengambil gambar, berbual-bual dan 'melarikan diri' buat seketika daripada realiti yang menanti di luar rumah dan kawasan yang pernah menjadi tempat kediaman rasmi gabenor Britain semasa era penjajahan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg