Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga Ukraine diingat sedia hadapi musim sejuk tanpa bekalan elektrik

Nov 30, 2022 | 5:30 AM
DIHULUR BEKALAN AIR MINUMAN: Penduduk di bandar Kherson, Ukraine, membawa air pulang semasa pengagihan bekalan bantuan baru-baru ini. - Foto AFP
DIHULUR BEKALAN AIR MINUMAN: Penduduk di bandar Kherson, Ukraine, membawa air pulang semasa pengagihan bekalan bantuan baru-baru ini. - Foto AFP -

KYIV/KHERSON: Presiden Volodymyr Zelensky memberi amaran kepada rakyat negara itu supaya bersedia menghadapi suatu keadaan cuaca sejuk yang buruk dan gangguan bekalan elektrik dalam beberapa minggu ini.

Beliau menjangkakan tentera Russia akan melancarkan serangan ke atas kemudahan prasarana yang akan berterusan sehingga Moscow kehabisan simpanan peluru berpandunya.

Russia telah melancarkan serangan peluru berpandu secara besar-besaran ke atas kemudahan prasarana elektrik Ukraine sejak awal bulan lalu.

Setiap kali serangan itu dilancarkan ia mengakibatkan kerosakan besar dan meninggalkan kesan buruk menjelang musim sejuk di negara itu.

Dalam ucapannya ke seluruh negara melalui video yang disiarkan setiap malam, Presiden Zelensky berkata beliau menjangkakan serangan-serangan baru akan dilancarkan minggu ini, mungkin seburuk yang berlaku minggu lalu - mengakibatkan jutaan orang ketiadaan bekalan elektrik, alat penghangat badan dan bekalan air.

"Kami difahamkan pengganas-pengganas itu merancang untuk melancarkan serangan baru. Kami tahu akan hal ini," kata Encik Zelensky.

"Selagi mereka masih memiliki peluru berpandu, mereka tidak akan berdiam diri," ujarnya.

Kyiv berkata, serangan-serangan itu, seperti yang diakui oleh Russia, menyasarkan kemudahan prasarana Ukraine, bertujuan membahayakan orang awam dan adalah perbuatan jenayah perang.

Moscow menyangkal dakwaan itu yang kononnya mahu membahayakan orang awam, tetapi minggu lalu mereka berkata penderitaan mereka itu hanya akan berakhir setelah Ukraine memenuhi tuntutan Russia.

Namun, mereka tidak pula menyebutkan apakah perkara-perkara yang dituntutnya.

Di Kyiv, salji dan suhu turun ke paras beku, sedang jutaan orang di ibu kota dan sekitarannya menghadapi kesulitan bekalan elektrik dan alat pemanas badan gara-gara serangan udara Russia yang bertubi-tubi.

Pengendali pusat bekalan tenaga negara, Ukrenergo, berkata kelmarin mereka terpaksa menguatkuasakan langkah pencatuan bekalan setelah mengalami kesulitan memperbaiki prasarana tenaga yang dirosakkan itu. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg