Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WhatsApp tuduh Russia sekat akses 100j pengguna, Moscow turut sekat Telegram

Aug 14, 2025 | 7:43 PM
Halaman web aplikasi pemesejan Russia, MAX, dipaparkan pada skrin telefon pintar bersebelahan skrin yang memaparkan logo WhatsApp, dalam ilustrasi yang diambil pada 21 Julai 2025. Russia mengehadkan perkhidmatan panggilan melalui aplikasi pemesejan WhatsApp dan Telegram, yang didakwa bagi melindungi negara daripada ancaman pengganas dan penipuan
Halaman web aplikasi pemesejan Russia, MAX, dipaparkan pada skrin telefon pintar bersebelahan skrin yang memaparkan logo WhatsApp, dalam ilustrasi yang diambil pada 21 Julai 2025. Russia mengehadkan perkhidmatan panggilan melalui aplikasi pemesejan WhatsApp dan Telegram, yang didakwa bagi melindungi negara daripada ancaman pengganas dan penipuan - Foto REUTERS

MOSCOW: Aplikasi pemesejan WhatsApp menuduh Moscow berusaha menghalang lebih 100 juta rakyat Russia daripada menggunakan komunikasi selamat selepas pemerintah negara itu mula menyekat panggilan suara dan video melalui aplikasi tersebut, dalam langkah yang dilihat sebagai usaha mempromosikan platform media sosial tempatan serta mengukuhkan kawalan terhadap ruang internet negara itu.

Langkah sekatan itu diumumkan pada 13 Ogos, apabila pihak berkuasa Russia menyatakan mereka telah mula mengehadkan panggilan WhatsApp milik syarikat Amerika Syarikat Meta Platforms dan Telegram, dengan alasan kedua-dua platform gagal berkongsi maklumat dengan pihak penguat kuasa undang-undang dalam kes penipuan dan keganasan.

Buat masa ini, perkhidmatan mesej teks dan nota suara di WhatsApp masih berfungsi.
Jurucakap WhatsApp berkata tindakan Russia itu tidak menghairankan kerana syarikatnya sentiasa mempertahankan komunikasi peribadi pengguna.

“WhatsApp ialah perkhidmatan peribadi yang melindungi mesej supaya hanya pengirim dan penerima dapat membacanya. Kami menentang sebarang cubaan pemerintah untuk melanggar hak orang ramai terhadap komunikasi yang selamat. Inilah sebabnya Russia cuba menyekat akses lebih 100 juta rakyatnya,” kata syarikat itu dalam kenyataan pada 13 Ogos.

“Kami akan terus melakukan segala yang termampu untuk memastikan komunikasi yang kekal boleh diakses oleh semua orang, termasuk di Russia,” tambah kenyataan itu.

Telegram, yang diasaskan oleh usahawan teknologi kelahiran Russia Pavel Durov, turut terkesan dengan sekatan ini. Namun, syarikat itu menegaskan mereka aktif memantau kandungan berbahaya di platform tersebut.

“Telegram menggunakan alat kecerdasan buatan untuk memantau bahagian awam platform dan menghapuskan berjuta-juta mesej berbahaya setiap hari. Kami memerangi seruan kepada sabotaj, keganasan, dan penipuan,” kata Telegram dalam kenyataan.

Data Mediascope bagi Julai 2025 menunjukkan WhatsApp mempunyai capaian bulanan sebanyak 97.3 juta pengguna di Russia, berbanding 90.8 juta bagi Telegram. VK Messenger, aplikasi di bawah syarikat teknologi milik negara VK, berada di tempat ketiga dengan 17.9 juta pengguna. Russia memiliki populasi melebihi 140 juta orang.

Sekatan ini berlaku ketika pemerintah Russia aktif mempromosikan aplikasi pesanan baru yang dikawal sepenuhnya oleh negara, dikenali sebagai Max. Aplikasi itu akan diintegrasikan dengan perkhidmatan pemerintah namun pengkritik bimbang ia berpotensi digunakan untuk menjejaki aktiviti pengguna.

Ahli politik kanan mula beralih kepada Max dan mengajak pengikut mereka untuk turut sama. “Saya akan memuat naik hantaran kepada pengikut saya di Max terlebih dahulu, dan ramai lagi ahli parlimen akan mengikuti langkah ini,” kata Encik Anton Gorelkin, penggubal undang-undang yang juga pengawal selia sektor IT di Parlimen Russia.

Bagi pemerhati, sekatan terhadap panggilan WhatsApp dilihat sebagai sebahagian daripada taktik “kemerosotan beransur” iaitu mengurangkan fungsi perkhidmatan sedikit demi sedikit sehingga pengguna beralih kepada platform lain. Taktik ini pernah digunakan terhadap YouTube, di mana kelajuan muat turun diperlahankan sehingga menyukarkan akses kepada kandungan.

Pemantau Hak Asasi dalam laporan bulan Julai lalu berkata Russia sedang “meningkatkan secara teliti alat undang-undang dan teknologi untuk membentuk ruang internetnya menjadi medan terkawal dan terasing.”

Undang-undang baharu telah diluluskan bagi mengetatkan penapisan, termasuk mengenakan denda kepada rakyat Russia yang mencari kandungan dianggap “ekstremis” oleh Moscow – walaupun melalui rangkaian peribadi maya (VPN) yang digunakan secara meluas untuk mengatasi sekatan internet.

Pihak berkuasa telekomunikasi Russia, Roskomnadzor, dalam kenyataan pada 13 Ogos menjelaskan sekatan dikenakan kerana perkhidmatan panggilan aplikasi digunakan untuk “menipu rakyat Russia, memeras wang, serta melibatkan mereka dalam kegiatan sabotaj atau pengganas.” Mereka turut mendakwa perkhidmatan perisikan Ukraine menggunakannya untuk membuat hubungan di Russia.

Kementerian Digital Russia berkata sekatan akan ditarik balik sekiranya penyedia aplikasi mematuhi undang-undang tempatan.

Russia kini menyertai senarai negara yang mengenakan sekatan penuh atau separa terhadap WhatsApp. Antara negara yang menyekat sepenuhnya aplikasi itu ialah China, yang memulakan larangan pada 2017 melalui “Tembok Api Besar” untuk menapis trafik dari pelayan luar negara. Pengguna di China menggunakan aplikasi tempatan WeChat.

Korea Utara pula sudah lama menyekat WhatsApp, bersama Facebook, YouTube dan Twitter sejak 2016, di bawah sistem internet yang sangat terkawal.

Bagi sekatan separa, Amiriah Arab Bersatu (UAE) melarang kebanyakan aplikasi panggilan internet percuma sejak 2017, walaupun membenarkan sementara pada 2020 sempena Expo Dubai.

Qatar, Mesir, dan Jordan juga mengenakan sekatan terhadap panggilan VoIP, walaupun mesej teks masih berfungsi.

Terdapat juga larangan bersifat sementara di negara seperti Iran, Turkey, Uganda, dan Cuba.
Malah, pada Jun lalu, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat mengharamkan penggunaan WhatsApp pada semua peranti milik institusi tersebut.

Langkah Russia ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengawal maklumat dan perbualan dalam talian, sekali gus memaksa rakyat menggunakan platform tempatan yang lebih mudah dipantau.

“Sekatan terhadap WhatsApp dan Telegram bukan sekadar isu teknikal. Ia adalah soal kebebasan bersuara, privasi, dan akses kepada maklumat tanpa gangguan pemerintah,” kata seorang aktivis digital yang enggan dikenali.

Buat masa ini, pengguna di Rusia masih boleh menghantar mesej melalui WhatsApp dan Telegram, namun ramai bimbang ini hanya permulaan kepada larangan penuh. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg