Topik diikuti
Pergi ke BHkuWHO: 92% daripada 129 negara hadapi gangguan khidmat kesihatan asas
WHO: 92% daripada 129 negara hadapi gangguan khidmat kesihatan asas
GENEVA: Gangguan dalam perkhidmatan kesihatan asas, seperti program vaksinasi dan rawatan penyakit seperti sindrom kurang daya melawan penyakit (Aids), dilaporkan di 92 peratus daripada 129 negara.
Demikian menurut satu tinjauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kesan pandemik Covid-19, yang dikeluarkan kelmarin.
Tinjauan itu, yang dijalankan pada November hingga Disember 2021, menunjukkan bahawa perkhidmatan asas itu "terjejas teruk" dengan "sedikit atau tiada kemajuan" daripada tinjauan sebelumnya pada awal 2021, kata WHO dalam satu kenyataan yang dihantar kepada wartawan.
Hasil tinjauan ini menyerlahkan kepentingan tindakan segera untuk menangani cabaran sistem kesihatan utama, memulihkan perkhidmatan dan mengurangkan kesan pandemik Covid-19," kata WHO.
Penjagaan kecemasan, yang termasuk perkhidmatan ambulans dan bilik kecemasan, malah telah bertambah buruk, dengan 36 peratus negara melaporkan gangguan berbanding 29 peratus pada awal 2021 dan 21 peratus dalam tinjauan pertama pada 2020.
Pembedahan elektif seperti penggantian pinggul dan lutut telah terganggu di 59 peratus negara dan jurang dalam penjagaan pemulihan dan paliatif dilaporkan pada kira-kira separuh daripadanya.
Tempoh tinjauan itu bertepatan dengan kenaikan kes Covid-19 di banyak negara pada akhir 2021 disebabkan varian Omicron yang mudah berjangkit, menyebabkan tekanan tambahan pada hospital.
Sebelum ini, ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, telah memberi amaran bahawa masih terlalu awal bagi negara sama ada mahu mengisytiharkan kemenangan ke atas Covid-19 atau menghentikan percubaan untuk mencegah penularan koronavirus itu.
"Terlalu awal bagi mana-mana negara sama ada menyerah diri ataupun mengisytiharkan kemenangan," katanya.
"Virus ini bahaya, dan ia terus menular di hadapan mata kita."
Ulasannya dibuat sedang Denmark baru-baru ini menjadi negara Kesatuan Eropah (EU) pertama yang menarik balik semua sekatan Covid-19 domestiknya walaupun terdapat rekod bilangan kes bagi varian Omicron yang lebih berjangkit, dengan beberapa negara lain turut menimbangkan langkah serupa.
"Kami bimbang tentang adanya naratif di beberapa negara bahawa disebabkan adanya vaksin dan kerana kadar jangkitan Omicron yang tinggi namun pada keseriusan penyakit lebih rendah, mencegah penularan tidak lagi mungkin dilakukan, dan tidak boleh dilaksanakan," kata Dr Tedros.
"Tiada apa lebih jauh daripada kebenaran," tambahnya, sambil menekankan bahawa "lebih banyak penularan Covid-19 bermakna lebih banyak kematian". - Reuters, AFP.