Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WHO beri amaran pandemik Covid-19 semakin buruk

Jun 9, 2020 | 8:45 AM
BANTAH KEGANASAN POLIS: Penunjuk perasaan berarak menentang keganasan polis beberapa hari selepas anggota polis rusuhan menendang penunjuk perasaan di kepala, ketika berdemonstrasi menentang kematian warga Amerika Syarikat berkulit hitam, Encik George Floyd, di Minneapolis, pada 29 Mei lalu. Bantahan semalam berlangsung di Giovanni Lopez, Mexico City, Mexico.
BANTAH KEGANASAN POLIS: Penunjuk perasaan berarak menentang keganasan polis beberapa hari selepas anggota polis rusuhan menendang penunjuk perasaan di kepala, ketika berdemonstrasi menentang kematian warga Amerika Syarikat berkulit hitam, Encik George Floyd, di Minneapolis, pada 29 Mei lalu. Bantahan semalam berlangsung di Giovanni Lopez, Mexico City, Mexico. - - Foto: REUTERS

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran semalam bahawa keadaan pandemik Covid-19 semakin buruk di seluruh dunia, apatah lagi negara-negara cepat berpuas hati dengan pencapaian mereka mengekang penularan virus itu ketika ini.

Menurut WHO, Amerika Syarikat merekodkan jumlah jangkitan baharu yang tinggi.

Badan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menggesa semua pihak di Amerika memikirkan cara penganjuran bantahan atau demonstrasi yang lebih selamat sedang mereka menuntut keadilan dalam isu perkauman.

Sejauh ini Covid-19 telah mengorbankan lebih 403,000 nyawa daripada lebih 7 juta yang dijangkiti sejak wabak itu muncul di China pada Disember lalu, menurut laporan dari sumber rasmi yang ditukil AFP.

Selepas Asia Timur, Eropah menjadi pusat penyakit ini, tetapi kini kedudukan itu telah diambil alih oleh benua Amerika.

"Walaupun keadaan di Eropah bertambah baik, secara global ia semakin buruk," kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada sidang media maya di Geneva.

"Lebih 100,000 kes dilaporkan pada sembilan dari 10 hari terakhir. Semalam (Kelmarin 7 Jun), lebih daripada 136,000 kes dilaporkan - yang paling tinggi dalam satu hari setakat ini," katanya.

Beliau berkata hampir 75 peratus kes pada Ahad dicatatkan di 10 negara yang kebanyakannya di Amerika dan Asia Selatan.

Dr Tedros mengingatkan bahawa di negara-negara di mana situasinya semakin baik, "ancaman terbesar sekarang adalah berpuas hati", dan "kebanyakan penduduk di seluruh dunia masih terdedah kepada jangkitan."

"Lebih enam bulan berlakunya wabak ini, ini bukan waktunya bagi mana-mana negara to take its foot off the pedal," katanya.

Mengulas tunjuk perasaan membantah pembunuhan George Floyd, Tedros menggalakkan supaya peserta perhimpunan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.

"WHO menyokong sepenuhnya kesaksamaan dan gerakan global menentang perkauman. Kami menolak semua jenis diskriminasi, " katanya.

"Kami menggalakkan semua yang melakukan tunjuk perasaan di seluruh dunia untuk melakukannya dengan selamat.

"Seboleh-bolehnya, jauhkan sekurang-kurangnya satu meter dari yang lain, bersihkan tangan anda, tutup mulut ketika batuk dan pakai topeng jika anda menghadiri tunjuk perasaan.

"Tinggal di rumah jika anda sakit dan hubungi penyedia perkhidmatan kesihatan," katanya.

WHO terus menekankan pentingnya mengesan mereka yang mungkin berhubungan terus dengan orang yang dijangkiti.

Pengarah kecemasan WHO, Dr Michael Ryan, mengatakan seseorang yang melakukan protes besar-besaran tidak semestinya memenuhi definisi kontak.

"Ia kembali ke analisis kesihatan awam dan pengurusan risiko tempatan," katanya.

Sementara itu, Dr Tedros mengatakan WHO telah menghantar lebih 5 juta peralatan pelindung diri (PPE) ke 110 negara.

Badan kesihatan global itu menyasarkan untuk menghantar lebih 129 juta barang PPE ke 126 negara. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg