GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan setiap negara mengambil pendekatan meyakinkan orang ramai mengenai kelebihan suntikan vaksin Covid-19, berbanding sebagai suntikan mandatori atau wajib diambil.
Bagaimanapun, agensi itu kelmarin berkata, keadaan itu bergantung kepada pentadbiran negara masing-masing bagaimana mereka mengendalikan pemberian vaksin dalam memerangi pandemik Covid-19.
Pengarah Jabatan Imunisasi WHO, Dr Kate O'Brien, berkata pihaknya menjelaskan usaha mewajibkan pemberian suntikan vaksin bukan langkah terbaik.
"Saya tidak fikir bahawa mandat sedemikian adalah petunjuk ke arah berkaitan pemberian vaksin secara mandatori.
"Adalah lebih baik untuk menggalakkan dan menyediakan kemudahan vaksin berbanding menetapkan keperluan berkenaan," katanya dalam sidang media secara maya.
Dr O'Brien berkata, wujud beberapa keadaan yang memerlukan kumpulan tertentu paling perlu diberikan vaksin atau paling disyorkan, misalnya juruteknik respiratori dan kakitangan unit rawatan rapi hospital bagi tujuan keselamatan kedua pihak, pesakit dan kakitangan hospital.
Bagaimanapun pakar WHO mengakui wujud 'pertempuran' untuk meyakinkan masyarakat awam dunia mengenai pengambilan suntikan vaksin Covid-19 apabila ia sudah tersedia kelak.
Pengarah Program Kecemasan WHO, Dr Micheal Ryan, berkata masyarakat perlu menanyakan diri mereka sendiri adakah mereka mahu vaksin itu dalam melindungi diri dan orang sekelilingnya.
"Perkara berkaitan vaksin Covid-19 ini adalah berita baik menandakan kejayaan manusia yang berpotensi mengatasi musuh mikrobial.
"Kita perlu meyakinkan dan terus meyakinkan masyarakat," katanya.
Mengenai perkara mewajibkan vaksin, beliau berkata pihak bertugas dalam bidang kesihatan awam tidak perlu mengambil pendekatan sedemikian kepada setiap individu.
"Adalah lebih baik meyakinkan orang ramai dengan memberikan data lengkap dan manfaatnya dan membiarkan mereka membuat keputusan sendiri. Dalam keadaan tertentu, saya percaya satu-satunya yang langkah bertanggungjawab adalah pemberian vaksin," katanya.
Sementara itu, Canselor Jerman, Cik Angela Merkel, mengarahkan perintah kawalan pergerakan lebih ketat bagi negeri yang mencatatkan kes tinggi Covid-19 sebelum sambutan Krismas.
Cik Merkel berkata, tindakan itu penting ketika negara itu sedang bergelut memperlahankan gelombang kedua jangkitan virus itu yang menunjukkan trend peningkatan kes sejak sebulan lalu, selepas mencatatkan kadar kematian rendah berbanding kebanyakan negara jirannya.
Beliau berkata, tindakan sedemikian perlu segera dilakukan ketika pemerintah menghadapi tempoh sukar dan tidak mampu mengharungi musim sejuk jika peningkatan kes berterusan, menurut sumber rapat mengenai butiran mesyuarat parti Christian Democratic Union kepada agensi berita AFP.
"Kita tidak akan ke mana-mana jika berpegang dengan harapan sahaja," katanya sambil menyuarakan kebimbangan apabila melihat keasyikan rakyat meraikan perayaan hingga mengabaikan aspek penjagaan kesihatan.
Jurucakap Cik Merkel, Cik Steffen Seibert, sebelum ini menyambut baik langkah pentadbiran negeri Bavaria pada Ahad lalu yang meningkatkan peraturan kawalan pergerakan termasuk mengehadkan perhimpunan sambutan Tahun Baharu.
Negeri Saxony di timur Jerman semalam mengumumkan perkara yang sama manakala pemimpin negeri Hesse, Encik Volker Bouffier, menyatakan ada kemungkinan mengenakan perintah berkurung pada sebelah malam.
Di bawah sistem undang-undang Persekutuan Jerman, pentadbiran kerajaan negeri diberi kelonggaran untuk menetapkan peraturannya sendiri hingga keadaan menjadi lebih rumit. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg