GENEVA: Sebuah pasar borong di tengah bandar Wuhan, China, telah memainkan peranan dalam penularan novel koronavirus tahun lalu, sedang sumber atau kemungkinan ia bertindak sebagai 'sekitaran penularan', kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.
Ia menggesa agar lebih banyak kajian dilakukan.
Pihak berkuasa China telah menutup pasar itu pada Januari lalu sebagai sebahagian daripada usaha mengekang penularan virus dan mengarahkan larangan sementara ke atas perdagangan dan memakan haiwan liar.
"Pasar itu memainkan peranan bagi penularannya, itu jelas. Tetapi peranan yang bagaimana kita tidak tahu, sama ada ia menjadi punca atau sekitarannya menyebabkan penularan, atau sekadar secara tidak sengaja beberapa kes dikesan di situ dan di sekitar pasar," kata Dr Peter Ben Embarek, seorang pakar WHO bagi keselamatan makanan dan virus zoonotic yang merentas halangan spesis dari binatang ke manusia.
Tidak dapat dipastikan sama ada haiwan hidup atau pembekal yang dijangkiti atau pembeli yang telah membawa virus itu ke pasar, beliau memberitahu satu taklimat akhbar di Geneva.
Setiausaha Amerika Syarikat, Encik Mike Pompeo berkata, terdapat "bukti yang besar" virus itu datang dari makmal Wuhan, meskipun beliau juga menyatakan bahawa ia belum ada kepastian.
Tidak ada bukti awam yang mengaitkan penularan virus ke makmal di Wuhan dan saintis berkata koronavirus timbul secara semula jadi.
Satu laporan risikan Jerman menyangsikan dakwaan Encik Pompeo, lapor akhbar Jerman, Der Spiegel.
Encik Ben Embarek bagaimanapun tidak menyentuh tuduhan tersebut.
Beliau menarik perhatian bahawa penyelidik mengambil masa setahun untuk mengenalpasti unta sebagai punca virus MERS (Sindrom Pernafasan Timur Tengah), satu koronavirus di Arab Saudi pada 2012 dan merebak ke Timur Tengah, dan menambah: "Ia belum terlambat."
"Apa yang penting, apa yang sangat membantu, adalah untuk mendapatkan virus itu sebelum ia menyesuaikan keadaannya kepada manusia, sebelum versi yang kita ada. Ini kerana kita akan lebih memahami bagaimana ia menyesuaikan keadaannya kepada manusia, bagaimana ia berkembang," katanya.
"Dari segi siasatan, China kemungkinan besar, punya semua pakar yang diperlukan untuk melakukan kesemua siasatan ini. Mereka punya ramai penyelidik yang berkelayakan untuk ini," katanya. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg