BRUSSELS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang merancang meluluskan sebilangan vaksin Covid-19 daripada pengeluar China dan negara-negara Barat dalam beberapa minggu dan bulan akan datang, menurut satu dokumen yang diterbitkan kelmarin.

Ini sedang pertubuhan dunia itu juga merancang untuk melaksanakan vaksinasi di negara-negara miskin.

Covax, sebuah skim global yang diketuai bersama WHO, merancang untuk membuat penghantaran sekurang-kurangnya 2 bilion dos ke seluruh dunia tahun ini, dengan 1.3 bilion daripada jumlah itu dihantar ke negara-negara miskin.

Namun, rancangan itu tidak dapat dilaksanakan buat masa ini kerana kekurangan dana, manakala negara-negara kaya telah menempah jumlah besar vaksin untuk kegunaan negara mereka.

Sedang ia berlumba untuk mengeluarkan suntikan vaksin, kelulusan pengawalseliaan adalah penting dalam memastikan keberkesanan dan keselamatan vaksin-vaksin itu, dan juga untuk meningkatkan pengeluaran.

Namun beberapa negara miskin masih mengharapkan kelulusan WHO memandangkan mereka mempunyai kapasiti pengawalseliaan yang terhad.

Lantaran itu, WHO sedang mempercepatkan kelulusan untuk kegunaan kecemasan, menurut sebuah dokumen dalaman Covax yang dilihat Reuters.

Vaksin Covid-19 yang dibangunkan AstraZeneca dan dihasilkan oleh Institut Serum India (SII) akan mendapat kelulusan WHO pada Januari atau Februari, jelas dokumen itu lagi.

Vaksin yang sama yang dihasilkan oleh syarikat SK Bioscience di Korea Selatan mungkin diluluskan badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu pada separuh kedua bulan Februari, seperti yang ditunjukkan di dalam sebuah kalendar menunjukkan jadual kelulusan awal yang diterbitkan WHO Rabu semalam.

Ketua eksekutif SII Adar Poonawalla memberitahu Reuters minggu lalu bahawa beliau menjangkakan kelulusan WHO akan diberikan dalam seminggu dua lagi.

Vaksin AstraZeneca, yang dibangunkan dengan Universiti Oxford, sudah menerima kelulusan kecemasan di Britain, sementara proses kelulusan sedang dijalankan di Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) dan akan diluluskan dalam masa terdekat.

Covax mempunyai kontrak pembekal dengan AstraZeneca dan SII untuk sekitar 400 juta dos dan mempunyai pilihan untuk seratus juta lagi, walaupun jadual penghantaran masih belum ditentukan.

Pegawai-pegawai WHO berkata mereka sedang mendapatkan perjanjian bekalan dengan Pfizer, yang sudah komited untuk membekalkan berjuta dos kepada beberapa negara kaya tahun ini.

Vaksin yang dibangunkan syarikat farmaseutikal terbesar dari AS itu dan BioNTech dari Jerman telah diluluskan pada akhir Disember lalu.

Covax pada awalnya tidak merancang untuk menyertakan suntikan Pfizer/BioNTech di dalam senarai pendeknya untuk pembelian awal.

Pfizer tidak menjawab permintaan komen mengenai sama ada perjanjian akan diluluskan dalam masa terdekat dan jika ia akan hanya melibatkan jumlah dos yang terhad tahun ini.

Jadual kelulusan awal WHO juga menunjukkan bahawa badan itu dijangka meluluskan vaksin Covid-19 yang dihasilkan Moderna, yang menggunakan teknologi RNA messenger (mRNA) serupa Pfizer, pada penghujung Februari.

Vaksin yang dibangunkan syarikat Johnson & Johnson pula dijangka mendapat kelulusan WHO pada Mei atau Jun, menurut dokumen WHO itu.

Kelulusan untuk dua vaksin yang dihasilkan China juga sedang dipertimbangkan oleh WHO.

Sinopharm dan Sinovac sudah memfailkan permohonan kepada WHO, yang sedang mengkaji permohonan itu dan keputusan mungkin diberikan untuk kedua-dua vaksin ini pada Mac, menurut kalendar itu lagi.

Kedua-dua vaksin ini juga tidak disenaraikan oleh WHO untuk perjanjian pembelian awal, namun kelulusan WHO tidak bermakna pembelian akan dibuat oleh Covax.

Ia juga akan memudahkan perlaksanaan vaksin di negara-negara miskin yang mendapatkan vaksin-vaksin itu secara langsung.

Jadual kelulusan belum ditetapkan bagi vaksin Sputnik V yang dihasilkan Russia, walaupun permohonan telah dibuat oleh pemaju vaksin itu.

Sementara itu, angka jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di serata dunia semakin meningkat dengan Amerika mendahului bilangan mangsa.

Angka korban Covid-19 di Amerika melepasi jumlah kematian tentera negara itu dalam Perang Dunia Kedua, menurut satu hasil tinjauan Universiti Johns Hopkins.

Berdasarkan maklumat itu, Covid-19 telah meragut 405,400 nyawa di Amerika sehingga petang kelmarin.

Ini berbanding perangkaan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Veteran bahawa jumlah korban akibat pertempuran dan bukan pertempuran dalam Perang Dunia Kedua ialah 405,399 mangsa.

Angka itu sekali gus mengisyaratkan peringatan jelas mengenai kesan serius pandemik berkenaan, ketika Encik Joe Biden memulakan penggal pentadbirannya sebagai Presiden Amerika yang baru.

Di India pula, jumlah kes di negara itu meningkat kepada lebih 10 juta. Menurut data rasmi kementerian kesihatan persekutuan, jumlah kematian di India telah meningkat kepada 152,869 orang. - Reuters, AFP

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti