Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

WHO syor rawatan antibodi Regeneron bagi Covid-19

Sep 25, 2021 | 05:30 AM



PARIS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penggunaan rawatan antibodi sintetik, Regeneron untuk Covid-19, namun hanya pada pesakit dengan profil kesihatan tertentu.



Menurut hasil penemuan WHO yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Britan (BMJ), individu dijangkiti Covid-19 pada tahap tidak serius tetapi berisiko tinggi yang dimasukkan ke hospital boleh mengambil kombo antibodi itu.



Begitu juga dengan pesakit yang mendapat jangkitan serius dan tidak berupaya memberi tindak balas imun mencukupi terhadap virus berkenaan.



Regeneron adalah rawatan ketiga disarankan oleh pihak berkuasa kesihatan global itu untuk pesakit Covid-19, yang ditambahkan ke dalam garis panduan WHO berhubung ubat-ubatan bagi wabak terbabit.



Julai lalu, WHO meluluskan penggunaan ubat-ubatan khusus untuk menyekat tindak balas berlebihan sistem imun terhadap virus SARS-CoV-2 yang mengakibatkan Covid-19. Ia berikutan tindak balas berlebihan sistem imun itu boleh membahayakan pesakit terbabit.



Ubat-ubatan itu berfungsi dengan baik seiring penggunaan kortikosteroid, iaitu rawatan pertama disarankan WHO pada September 2020 untuk pesakit Covid-19.



Menurut BMJ, tiga ujian klinikal yang belum dikaji semula menunjukkan koktel antibodi sintetik Regeneron, iaitu casirivimab dan imdevimab, didapati dapat mengurangkan risiko kemasukan ke hospital bagi pesakit yang tidak divaksin, warga emas atau imunosupresi dengan Covid-19.



Bagi pesakit kategori kedua, hasil ujian lain menunjukkan penurunan angka kematian dan bilangan kes memerlukan bantuan pernafasan mekanikal, dalam kalangan mereka yang mengambil ubat mengikut syor terbaru WHO itu.



"Bagi semua pesakit Covid-19 yang lain pula, sebarang manfaat rawatan antibodi ini dilihat tidak memberi kesan," rumus WHO.



Rawatan dihasilkan firma bioteknologi Regeneron serta dipasarkan syarikat gergasi farmaseutikal, Roche dengan nama Ronapreve itu pernah diberi kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika beliau dijangkiti Covid-19.



Apabila digunakan bersama, antibodi monoklonal casirivimab dan imdevimab bertindak mengikat protein SARS-CoV-2, sekali gus meneutralkan kemampuan virus itu untuk menjangkiti sel.



Dalam satu kenyataan berasingan, WHO mengalu-alukan rawatan bagi penyakit Covid-19 itu, namun bimbang akan impak harga tinggi terhadap ketidaksaksamaan kesihatan.



"Berikutan kos tinggi dan ketersediaan rendah untuk terapi gabungan itu, UNITAID (agensi kesihatan global) sedang berunding dengan Roche, bagi harga lebih rendah serta pengagihan adil merentasi semua rantau, terutama di negara miskin dan berpendapatan sederhana.



"WHO juga sedang berunding dengan syarikat itu untuk sumbangan serta pengagihan ubat berkenaan menerusi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef)," katanya.



Julai lalu, Jepun muncul negara pertama memberi kelulusan penuh kepada rawatan antibodi Regeneron untuk pesakit Covid-19 yang mendapat jangkitan ringan hingga sederhana.



Gabungan antibodi itu juga diluluskan untuk kegunaan kecemasan atau sementara ketika pandemik di beberapa negara dan wilayah, termasuk Kesatuan Eropah, AS, India, Switzerland dan Kanada. - AFP.




"WHO juga sedang berunding dengan syarikat itu untuk sumbangan serta pengagihan ubat berkenaan menerusi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef)."
- Kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai rawatan antibodi sintetik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >