SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

WHO uji potensi tiga ubat rawat pesakit Covid-19

WHO uji potensi tiga ubat rawat pesakit Covid-19

Aug 13, 2021 | 5:30 AM

WHO uji potensi tiga ubat rawat pesakit Covid-19

RAWATAN BAGI COVID-19: WHO sedang mencari ubat paling berkesan dan selamat untuk merawat pesakit Covid-19 yang bilangannya kian meningkat di seluruh dunia. - Foto AFP
RAWATAN BAGI COVID-19: WHO sedang mencari ubat paling berkesan dan selamat untuk merawat pesakit Covid-19 yang bilangannya kian meningkat di seluruh dunia. - Foto AFP -

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengumumkan ujian antarabangsa terhadap tiga jenis ubat untuk menentukan sama ada ia boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital.

Ia membabitkan ujian penggunaan ubat jenis artesunate, imatinib dan infliximab ke atas ribuan pesakit sukarelawan di 600 hospital di 52 negara.

"Mencari terapi yang lebih berkesan dan mudah diakses buat pesakit Covid-19 masih menjadi keperluan yang kritikal.

"Kita memerlukan lebih banyak kajian bagi menghalang dan merawat individu yang dijangkiti virus Covid-19 daripada semua tahap kategori bergejala ringan hingga yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU)," kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Ubat artesunate digunakan bagi rawatan malaria yang kritikal, manakala imatinib adalah ubat bagi penyakit barah tertentu dan infliximab pula merawat penyakit sistem imun seperti Crohn dan rheumatoid arthritis.

Kajian di puluhan negara itu akan dilaksanakan mengikut beberapa rawatan menggunakan protokol yang sama, sekali gus akan menghasilkan anggaran terhadap kesan ubat kepada pesakit, jelas WHO.

Tiga ubat itu dipilih oleh panel pakar bebas bagi melihat potensinya mengurang risiko kematian pesakit Covid-19 yang dimasukkan di hospital.

Ubat yang digunakan bagi ujian itu disumbangkan syarikat pengeluarnya dan sudah dihantar kepada hospital terlibat.

Keputusan terakhir ujian itu dijangka diketahui pada bulan depan.

Ujian penggunaan ubat artesunate, imatinib dan infliximab itu adalah peringkat kedua pencarian WHO dalam mengesan keberkesanan rawatan terhadap virus Covid-19.

Sebelum ini, empat ubat dinilai dalam ujian itu yang membabitkan hampir 13,000 pesakit di 500 hospital di 30 negara.

Keputusan kajian yang diperoleh pada Oktober tahun lalu itu menunjukkan, ubat remdesivir, hydroxychloroquine, lopinavir dan interferon hanya mempunyai sedikit atau tiada kesan langsung terhadap pesakit Covid- 19.

"Kita sudah memiliki banyak alat untuk mencegah, menguji dan merawat Covid-19, termasuk oksigen, dexametason dan IL-6.

"Tetapi kita memerlukan lebih banyak lagi, bagi pesakit di semua peringkat spektrum klinikal, daripada penyakit ringan hingga parah," kata Dr Tedros pada sidang akhbar kelmarin.

Kumpulan Penasihat Terapi WHO Covid- 19 mengesyorkan agar dinilai sifat antiradang ubat artesunate, yang telah digunakan secara meluas dalam rawatan penyakit malaria dan penyakit parasit lain selama lebih 30 tahun, dan dianggap sangat selamat.

Percubaan klinikal secara rambang di Belanda melaporkan bahawa ubat imatinib mungkin dapat memberi manfaat klinikal kepada pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital.

Sementara itu, ubat infliximab pula telah menunjukkan keberkesanan dan keselamatan yang baik dalam menyekat keradangan spektrum luas, termasuk kepada penduduk warga tua yang paling rentan terhadap Covid-19.

Wabak koronavirus di merata dunia telah membunuh sekurang-kurangnya 4.3 juta orang sejak ia dikesan pada Disember 2019, menurut kiraan daripada sumber rasmi yang disusun AFP, sementara hampir 204 juta kes jangkitan telah dicatatkan.

"Sama ada kita mencapai 300 juta, dan seberapa cepat kita sampai ke situ, bergantung pada kita semua," kata ketua agensi kesihatan PBB itu.

"Pada trajektori kini, kita akan melepasi 300 juta kes menjelang awal tahun depan. Tetapi kita boleh mengubahnya. Kita semua mampu menanganinya bersama-sama, tetapi dunia tidak bertindak sepertinya," Dr Tedros. - AFP.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg