GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengulangi kenyataannya bahawa Covid-19 adalah virus semula jadi.
Kenyataan ini adalah untuk menyangkal dakwaan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bahawa ia berasal daripada sebuah makmal di China.
Sebelum ini saintis percaya virus itu menjangkiti manusia daripada haiwan, yang tercetus di China pada akhir tahun lalu, yang dipercayai berpunca dari sebuah pasar menjual binatang eksotik di Wuhan.
Ditanya mengenai dakwaan Encik Trump berkenaan hal tersebut semasa sidang media maya, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Encik Michael Ryan, menegaskan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah berkali-kali mendengar penerangan maklumat daripada saintis yang mengkaji virus berkenaan.
"Kami pasti virus itu adalah semula jadi," katanya mengulangi semula pendirian yang dinyatakan WHO sebelum ini.
Terdahulu, WHO semalam memaklumkan bahawa ia mahu dijemput untuk mengambil bahagian dalam siasatan China terhadap punca haiwan mencetuskan pandemik itu yang sudah meragut lebih 230,000 nyawa di seluruh dunia.
Encik Ryan menekankan, adalah penting untuk mengenal pasti 'perumah' semula jadi virus itu, sekali gus memahami bagaimana ia boleh berpindah kepada manusia.
"Tujuan memahami perkara ini supaya kita dapat melaksanakan langkah pencegahan dan kesihatan awam yang diperlukan bagi mengelakkan ia daripada berlaku lagi di mana-mana," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah WHO, Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, pula terus menolak kritikan terhadap WHO, terutama sekali ancaman Encik Trump yang akan menggantung pendanaan Washington selepas menuduh agensi PBB itu memandang remeh wabak itu pada peringkat awal dan berlebihan menghormati China.
Encik Tedros menjelaskan, WHO telah mengeluarkan tahap amaran tertinggi dengan mengisytiharkan wabak itu sebagai 'kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa' pada 30 Januari lalu ketika masih belum ada kematian dan hanya 82 kes jangkitan dilaporkan di luar China.
"Kami tidak membuang masa langsung. Dunia mempunyai masa mencukupi untuk campur tangan," katanya pada sesi taklimat, semalam.
Kenyataan beliau itu menyusul selepas jawatankuasa kecemasan WHO mengadakan pertemuan untuk kali pertama sejak membuat perisytiharan, tiga bulan lalu. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg