Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wilayah Korea Selatan lantik artis popular Indonesia sebagai duta baru galak pelancongan

Jun 22, 2024 | 3:09 PM
Gabenor Jeju, Encik Oh Young-hun (tengah) bersama pasangan popular Indonesia, Anang Hermansyah dan isteri Ashanty Ash serta dua anak mereka di Jeju pada 21 Jun.
Gabenor Jeju, Encik Oh Young-hun (tengah) bersama pasangan popular Indonesia, Anang Hermansyah dan isteri Ashanty Ash serta dua anak mereka di Jeju pada 21 Jun. - Foto PEMERINTAH WILAYAH JEJU

SEOUL: Wilayah Khas Pemerintahan Sendiri Jeju di Korea Selatan dalam usahanya meluaskan jangkauan ke pasaran pelancongan Asia Tenggara telah melantik seorang pempengaruh popular Indonesia yang juga artis terkenal sebagai duta promosi barunya.

Pemerintah wilayah Jeju berkata pada 21 Jun bahawa ia secara rasmi melantik penyanyi dan penerbit popular Indonesia, Anang Hermansyah, yang juga pempengaruh yang mempunyai 6.56 juta pengikut di YouTube dan 2.58 juta pengikut di Facebook, sebagai duta promosinya.

Pada hari yang sama, Gabenor Oh Young-hun bertemu Anang dan isterinya Ashanty Ash, bersama keluarga mereka, di Pejabat Pemerintah Wilayah Jeju.

Dalam pertemuan itu, beliau menyampaikan sijil pelantikan duta dan cenderamata kepada mereka.

Anang, juga merupakan bekas suami kepada penyanyi popular, Krisdayanti manakala Ashanty ialah penyanyi dan pempengaruh terkenal dengan 34 juta pengikut di Instagram.

Pasangan itu terkenal kerana mencipta kandungan dan video berkaitan muzik yang mempamerkan lawatan mereka ke destinasi pelancongan di serata dunia, menonjolkan kepelbagaian budaya makanan dan tradisi tempatan yang unik.

Encik Oh menyatakan harapannya agar Anang dan keluarganya akan terus mempromosikan pelbagai aspek Jeju, dan menggalakkan lebih ramai rakyat Indonesia melawat pulau itu.

Sepanjang penginapan mereka, Anang dan keluarganya telah melanggani saluran YouTube Jeju, Shining Jeju TV, dan mengikuti akaun Instagramnya.

Keluarga itu menghabiskan dua hari di Jeju, dari 21 hingga 22 Jun.

Jadual perjalanan mereka termasuk lawatan ke restoran mesra Muslim, tempat masakan tradisional Jeju dan pengalaman budaya seperti mempelajari lebih lanjut tentang budaya haenyeo (penyelam wanita) Jeju, yang akan mereka tampilkan dalam kandungan mereka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg