Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WTO: 80 negara, wilayah kuatkuasa larang eksport pelitup, alat pelindung diri

Apr 24, 2020 | 7:33 AM
KEPERLUAN MENDESAK: Seorang pekerja sedang menjahit pelitup di sebuah kilang pengeluaran pelitup dalam Zon Pemprosesan Eksport Kain Shona (EPZ), sebagai satu langkah untuk membendung penularan penyakit koronavirus, di Sungai Athi, dekat Nairobi, Kenya, pada 14 April lalu.
KEPERLUAN MENDESAK: Seorang pekerja sedang menjahit pelitup di sebuah kilang pengeluaran pelitup dalam Zon Pemprosesan Eksport Kain Shona (EPZ), sebagai satu langkah untuk membendung penularan penyakit koronavirus, di Sungai Athi, dekat Nairobi, Kenya, pada 14 April lalu. - - Foto REUTERS

WASHINGTON: Sejumlah 80 negara dan wilayah kastam telah melarang atau mengehadkan eksport pelitup, peralatan pelindung diri, sarung tangan dan barangan lain bagi menangani kekurangan yang dihadapi sejak penularan koronavirus berlaku, lapor Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), semalam.

Menurut WTO, larangan itu dikuatkuasakan 72 anggota WTO dan lapan negara bukan anggota, tetapi hanya 13 anggota WTO telah memaklumkan kepada pertubuhan itu sebagaimana diperlukan mengikut peraturan yang ada.

Kurangnya ketelusan tentang larangan dan kegagalan untuk bekerjasama di peringkat antarabangsa boleh menjejas usaha untuk mengekang penularan penyakit Covid-19, yang menjangkiti 2.64 juta di seluruh dunia dan meragut 184,910 nyawa, kata WTO.

"Sedang langkah melaksanakan sekatan eksport difahami, kurangnya kerjasama dalam hal ini mendatangkan risiko kepada negara-negara yang bergantung kepada import yang benar-benar menginginkan produk perubatan dan ini menyebabkan keterkejutan pada aliran bekalan," kata WTO.

"Dengan melakukan campur tangan ke atas rantaian bekalan yang telah dipastikan, ia menjejas respons dan meningkatkan risiko dalam keadaan genting."

Sekatan eksport dan larangan yang dikenakan secara umumnya dilarang WTO, meskipun ada pengecualian yang membenarkannya bagi langkah sementara, bagi "mencegah atau mengurangkan kekurangan kritikal seperti makanan dan produk penting lain yang diperlukan pihak yang memohon eksport tersebut."

Sekatan perjalanan telah mula memperlahan aliran barangan yang diperlukan bagi memerangi pandemik, tetapi sekatan eksport menyukarkan pemerintah dan perniagaan dalam menyesuaikan keputusan pembelian dan mencari pembekal baru, menurut laporan tersebut.

Pemimpin kumpulan 20 ekonomi utama menyatakan bulan lalu bahawa sebarang langkah kecemasan yang dibuat sebagai tindakan menangani penularan wabak haruslah "disasarkan, seimbang, telus dan bersifat sementara," tetapi sekatan baru eksport telah timbul sejak itu.

Minggu lalu, Amerika Syarikat meminta China menyemak peraturan kawalan mutu eksport bagi peralatan pelindungan menyusuli aduan peraturan itu membantutkan bekalan.

Agensi berita Reuters melaporkan Khamis lalu bahawa Perancis telah meluaskan senarai ubat-ubatan yang menghadapi sekatan eksport meskipun berdepan dengan gesaan berulang Kesatuan Eropah untuk menarik balik sekatan yang menyebabkan bekalan tidak mencukupi di negara-negara lain.

WTO menyatakan sekatan itu boleh menyebabkan negara lain mengambil langkah serupa dan menjejas lagi pembekalan sedia ada.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg