Topik diikuti
Pergi ke BHkuWWF: Mediterranean berpotensi jadi 'laut plastik'
WWF: Mediterranean berpotensi jadi 'laut plastik'
MARSEILLE: Mediterranean akan menjadi 'laut plastik', kata Tabung Hidupan Liar (WWF) hari ini dalam laporan yang menggesa langkah diambil untuk membersihkan antara perairan paling teruk terjejas di dunia.
WWF berkata, Mediterranean mempunyai rekod mengenai tahap 'plastik mikro', iaitu serpihan kecil plastik berukuran tidak sampai lima milimeter yang boleh ditemui dalam rangkaian makanan dan memberi ancaman kepada kesihatan manusia.
"Kepadatan plastik mikro adalah hampir empat kali lebih tinggi di Mediterranean dibandingkan dengan laut terbuka di tempat lain di dunia," menurut laporan bertajuk 'Keluar daripada Perangkap Plastik: Menyelamatkan Mediterranean daripada Pencemaran Plastik.
Masalah itu, seperti yang berlaku di seluruh dunia, adalah kerana plastik menjadi bahagian penting dalam kehidupan manakala kitar semula cuma meliputi satu pertiga daripada sampah di Eropah.
Plastik mewakili 95 peratus daripada sampah yang terapung di Mediterranean dan pantainya, dengan kebanyakan datang dari Turki dan Sepanyol, diikuti Itali, Mesir dan Perancis, menurut laporan.
Bagi menangani masalah itu, perlu ada perjanjian antarabangsa untuk mengurangkan pembuangan sisa plastik dan membantu membersihkan sampah di laut, kata WWF.
Semua negara sekitar Mediterranean perlu meningkatkan usaha kitar semula, mengharamkan plastik satu kegunaan seperti beg dan botol, dan tidak menggunakan plastik mikro dalam bahan pencuci atau kosmetik menjelang 2025. - AFP