BEIJING: Presiden China, Encik Xi Jinping, telah memberi amaran tegas kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengenai isu Taiwan ketika kedua-dua pemimpin itu memulakan sidang puncak penting di Beijing pada 14 Mei.

Encik Xi berkata isu Taiwan boleh mencetuskan pertembungan berbahaya antara dua kuasa besar dunia itu sekiranya tidak ditangani dengan berhati-hati.

“Jika tidak dikendalikan dengan baik, kedua-dua negara boleh bertembung atau malah berkonflik, sekali gus meletakkan hubungan Amerika-China dalam situasi yang amat berbahaya,” katanya menurut agensi berita rasmi China, Xinhua.

Amaran itu menjadi peringatan jelas bahawa Taiwan kekal sebagai “garis merah” utama bagi Beijing.

China menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya walaupun pulau itu mempunyai pemerintah sendiri dan sistem politik berasingan.

Sidang puncak itu merupakan lawatan pertama seorang presiden Amerika ke China dalam tempoh hampir sedekad dan dilihat penting dalam menentukan sama ada hubungan lebih tenang antara kedua-dua negara itu dapat diteruskan.

Selain isu Taiwan, kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan isu perdagangan, teknologi dan perang Iran yang semakin memberi kesan kepada ekonomi global.

Encik Trump disambut Encik Xi di luar Dewan Besar Rakyat di pusat bandar Beijing dalam satu upacara rasmi penuh istiadat.

Kedua-dua pemimpin berjabat tangan sebelum berjalan bersama melepasi kawalan kehormat tentera dan barisan kanak-kanak yang mengibarkan bendera kedua-dua negara.

Lagu kebangsaan Amerika dimainkan dengan diiringi 21 das tembakan hormat di Dataran Tiananmen.

Dalam pertemuan rasmi itu, Encik Xi menekankan kepentingan hubungan antara Beijing dengan Washington ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.

“Kita sepatutnya menjadi rakan kongsi, bukan musuh,” katanya.

Encik Trump pula memuji hubungan peribadinya dengan Encik Xi dan berkata kedua-dua mereka sering berbincang melalui telefon bagi menyelesaikan masalah.

“Anda seorang pemimpin hebat,” kata Encik Trump kepada Encik Xi ketika kedua-dua delegasi duduk berhadapan di meja rundingan panjang.

Namun di sebalik suasana mesra itu, isu Taiwan tetap menjadi sumber ketegangan terbesar antara kedua-dua negara.

Salah satu keutamaan China ialah mendesak Amerika supaya mengurangkan penjualan senjata kepada Taiwan.

Dalam perbualan telefon pada Februari lalu, Encik Xi dilaporkan meminta Encik Trump mengendalikan isu penjualan senjata kepada Taiwan dengan “amat berhati-hati.”

Setakat ini, belum ada petunjuk jelas bahawa sidang puncak itu akan menghasilkan kemajuan besar dalam isu perdagangan antara kedua-dua negara.

Encik Xi dan Encik Trump kali terakhir bertemu di Korea Selatan pada Oktober 2025 apabila kedua-duanya bersetuju menghentikan sementara perang perdagangan yang tegang.

Ketika itu, Beijing mengancam akan mengenakan sekatan eksport nadir bumi sebagai tindak balas terhadap tarif tinggi Amerika ke atas barangan China.

Bagaimanapun, Encik Xi menangguhkan langkah tersebut selama setahun.

Kini, antara persoalan utama dalam sidang puncak kali ini ialah sama ada China akan melanjutkan lagi penangguhan sekatan tersebut.

Encik Trump berkata lawatan beliau ke Beijing akan memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan selain memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Beberapa tokoh korporat Amerika turut menyertai lawatan itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Encik Jensen Huang.

Pemimpin perniagaan Amerika dilaporkan mendesak China membuka pasaran negara itu dengan lebih luas kepada syarikat asing.

Namun penganalisis berpendapat kemungkinan tercapainya perjanjian besar masih rendah.

Dalam perkembangan lain, data kastam China menunjukkan bahawa pemerintah China telah meluluskan semula lesen eksport daging lembu bagi ratusan rumah penyembelihan di Amerika.

Lesen tersebut sebelum ini tamat tempoh selepas pusingan awal tarif yang dikenakan Encik Trump pada 2025.

Selain perdagangan, Encik Trump juga dijangka meminta Encik Xi menggunakan pengaruh China terhadap Iran bagi membantu menamatkan perang yang tercetus selepas konflik melibatkan Amerika dan Israel sejak Februari lalu.

China merupakan rakan strategik utama Iran di Asia Barat dan mempunyai hubungan ekonomi yang rapat dengan Teheran.

Pada masa yang sama, Encik Xi dijangka menekan Amerika supaya melonggarkan sekatan eksport teknologi canggih terhadap China serta mengelakkan peningkatan tarif baharu ke atas produk China.

Penganalisis berkata sukar untuk China memaksa Amerika mengubah dasar utama berkaitan Taiwan.

Namun Beijing masih mempunyai kelebihan penting melalui pengaruh ekonominya terhadap Iran dan potensi membantu membuka semula Selat Hormuz yang kini terganggu akibat perang.

Selat Hormuz merupakan laluan penting bagi perdagangan minyak dan gas dunia, dan sebarang gangguan berpanjangan boleh memberi kesan besar terhadap ekonomi global.

Sidang puncak Beijing kali ini dilihat bukan sahaja menentukan hala tuju hubungan Amerika-China, tetapi juga berpotensi mempengaruhi kestabilan geopolitik dunia dalam tempoh terdekat. – Agensi berita.