BEIJING: Presiden China Xi Jinping telah memberi penghormatan kepada mantan presiden China, Encik Jiang Zemin, di atas sumbangan mendiang dalam memastikan Parti Komunis bertahan daripada "ribut politik" dan mengubahnya untuk menyuntik tenaga baru dan memodenkan ekonomi negara.
Encik Jiang, yang meninggal dunia Rabu lalu pada usia 96 tahun, mencatatkan pelbagai pencapaian selepas membebaskan China daripada pengasingan diplomatik dalam era pasca-Tiananmen, membaiki hubungan dengan Amerika Syarikat dan mengawasi ledakan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelumnya.
Bercakap pada upacara peringatan negara yang suram untuk Jiang di Dewan Besar Rakyat di Beijing, Encik Xi berkata Encik Jiang telah mengambil alih kepimpinan ketika parti, tentera dan negara menghadapi "tekanan luar dan kesukaran dalaman yang serius", merujuk kepada protes prodemokrasi 1989 disekitar Dataran Tiananmen.
"Pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, ribut politik yang serius berlaku di dalam dan luar negara, dan sosialisme dunia mengalami komplikasi yang teruk. Beberapa negara Barat mengenakan apa yang dipanggil 'sekatan' ke atas China," kata Encik Xi kepada hadirin termasuk kepimpinan tertinggi China dan pengganti langsung Encik Jiang, Encik Hu Jintao.
Siren serbuan udara dibunyikan selama tiga minit di seluruh negara pada 10 pagi ketika majlis bermula, dan pasaran saham, mata wang dan bon perdagangan digantung, juga selama tiga minit.
Kematian Encik Jiang berlaku pada saat yang huru-hara di China, di mana pihak berkuasa sedang bergelut dengan protes jalanan yang jarang berlaku dalam kalangan penduduk yang bosan dengan sekatan Covid-19 tiga tahun selepas wabak itu. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg