
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mempengerusikan jawatankuasa peringkat tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak memberi jaminan pihaknya akan memuktamadkan keputusan yang bersifat 'tiada yang rugi, tiada yang rasa terpinggir'.
Bercakap kepada pemberita semasa satu majlis pada petang Ahad, beliau berkata sebarang keputusan berkaitan isu doktor kontrak akan dibawa dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, beliau berharap pihak berkenaan memberi peluang kepadanya untuk menyelesaikan isu berbangkit.
"Bagi kita menyantuni doktor kontrak ini, pada hemat saya harus dibela dan pembelaan ini harus mengikut tatacara dan skim perkhidmatan kerajaan.
"Tentunya ada beberapa cadangan yang telah diperbincangkan untuk meletakkan mereka sebagai doktor bertaraf perkhidmatan tetap selain beberapa syarat skim baru akan diperbincangkan.
"Saya harap mereka memberi peluang kepada saya yang telah diberi kepercayaan untuk menyelesaikan dengan cara terdekat yang Insya-Allah tidak ada masalah yang tidak boleh kita bincang atau selesaikan.
"Saya tahu masalah ini masalah lama tetapi saya yakin ia boleh diselesaikan, Insya-Allah.
"Saya akan mengadakan perbincangan secara terperinci dan untuk memuktamadkannya saya pasti akan bertemu dengan Perdana Menteri, bagi membincangkan keputusan yang muktamad dengan situasi menang-menang," katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Sabtu lalu, jemaah menteri Malaysia bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa peringkat tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang belum ada penyelesaian tuntas.
Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, yang menjelaskan jawatankuasa itu akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk pembabitan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
"KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menyedari isu doktor kontrak adalah isu lama diwarisi daripada kerajaan terdahulu, sejak ia diperkenalkan pada 2016 lagi akibat lambakan keluaran doktor di pasaran ketika itu," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tindakan mogok yang dirancang kumpulan doktor kontrak itu bukanlah jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan semua permasalahan yang timbul.
Sebaliknya, katanya, semua masalah itu perlu ditangani dengan pembabitan bersama secara lebih profesional dan berhemah.
Pada Isnin, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menjelaskan tiada mogok doktor kontrak berlaku di kemudahan kesihatan awam di seluruh negara.
Namun, Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata orang ramai masih bimbang dengan jangkaan mogok dan isu itu perlu ditangani.
"MMA menerima panggilan daripada orang ramai yang bertanyakan sama ada kemudahan penjagaan kesihatan awam beroperasi seperti biasa hari ini.
"Kami memberi jaminan kepada mereka ia sememangnya beroperasi," lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Sebelum ini, satu kumpulan dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia berkata lebih 8,000 doktor kontrak akan melakukan mogok antara Isnin hingga Rabu dengan mengambil cuti perubatan/kecemasan sebagai bantahan terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah dalam sektor penjagaan kesihatan awam.
Kumpulan itu juga memberi amaran terdapat 3,000 doktor kontrak akan meletak jawatan daripada KKM pada 1 April.
Rabu lalu, Datuk Anwar memberi jaminan isu doktor kontrak dapat diselesaikan dalam masa tiga tahun lagi.
"Saya harap mereka memberi peluang kepada saya yang telah diberi kepercayaan untuk menyelesaikan dengan cara terdekat yang Insya-Allah tidak ada masalah yang tidak boleh kita bincang atau selesaikan. Saya tahu masalah ini masalah lama tetapi saya yakin ia boleh diselesaikan, Insya-Allah. Saya akan mengadakan perbincangan secara terperinci dan untuk memuktamadkannya saya pasti akan bertemu dengan Perdana Menteri, bagi membincangkan keputusan yang muktamad dengan situasi menang-menang.'' -Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg