SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Zakar kanak-kanak disambung semula, kementerian M'sia siasat kes khatan

Zakar kanak-kanak disambung semula, kementerian M'sia siasat kes khatan

Dec 29, 2016 | 9:35 AM

Zakar kanak-kanak disambung semula, kementerian M'sia siasat kes khatan

Seorang budak lelaki Malaysia menutup mukanya ketika dikhatankan dalam satu majlis di Masjid Bandar Tun Hussein Onn di Kuala Lumpur pada 11 Disember 2016.
Seorang budak lelaki Malaysia menutup mukanya ketika dikhatankan dalam satu majlis di Masjid Bandar Tun Hussein Onn di Kuala Lumpur pada 11 Disember 2016. - GAMBAR AFP

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan siasatan ke atas kejadian kepala zakar seorang kanak-kanak berusia 10 tahun terpotong semasa berkhatan di sebuah klinik di Taman Cheras Utama.

Ketua Pengarah kementerian itu, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata satu laporan polis dibuat berhubung perkara itu.

"Kementerian juga sedang menjalankan siasatan sendiri," katanya pada Rabu (28 Dis).

Dilaporkan bahawa sebahagian zakar kanak-kanak itu terputus semasa prosedur sunat menggunakan laser di klinik tersebut pada 20 Dis.

Doktor terlibat memberitahu bapa budak itu beliau tidak sengaja memotong kepala zakar anaknya.

Budak lelaki itu dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, yang merujuknya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pembedahan menyambung semula zakarnya.

Difahamkan bahawa pembedahan itu berjaya.

Bapanya membuat laporan polis atas nasihat doktor HKL. Doktor itu juga membuat laporan polis dan mengakui kemalangan berlaku semasa prosedur tersebut.

Ditanya apakah klinik itu telah diarah tutup atau tindakan telah diambil terhadap doktor berkenaan, Dr Noor Hisham berkata siasatan masih berjalan.

Sumber mendedahkan bahawa klinik itu beroperasi sejak 2006 tetapi tidak berdaftar dengan kementerian.

"Pentadbiran klinik itu memfailkan permohonan untuk didaftarkan dalam talian, tetapi ia tidak pernah membuat susulan ke atas permohonannya atau menyelesaikan proses itu," kata sumber. - The Star/Asia News Network

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg