LVIV: Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, telah mencadangkan kepada Russia peluang mengadakan pertukaran tahanan.
Ia sedia menukar pemimpin pro-Russia yang juga Ketua Parti Opposition Platform - For Life, Encik Viktor Medvedchuk, yang ditahan mereka dengan lelaki dan wanita Ukraine yang ditahan Russia.
Ukraine memberi cadangan tersebut kepada Russia untuk melepaskan tahanan perang sekiranya mahukan ahli politik berprofil tinggi di negara itu yang juga sekutu Kremlin dibebaskan.
Arahan itu keluarkan Ukraine ketika Amerika Syarikat dijangka menghantar lebih banyak senjata selepas isyarat kuat Russia menyatakan bahawa peperangan akan diteruskan.
Pada Februari lalu, Encik Medvedchuk melepaskan diri dari tahanan rumah selepas kes khianat terhadapnya dibuka.
Ukraine telah mengumumkan penahanan Encik Medvedchuk.
Ahli politik proRussia - yang telah memberitahu bahawa Presiden Vladimir Putin adalah bapa baptis kepada anak perempuannya - bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.
Ketua Perkhidmatan Keselamatan Ukraine dalam laman Facebooknya memuat naik gambar Encik Medvedchuk yang bergari dan memberitahu bahawa operasi khas telah dilakukan untuk menahannya.
Jurucakap Kremlin yang dipetik oleh agensi berita Tass berkata, beliau sudah melihat gambar berkenaan dan tidak dapat memastikan sama ada ia adalah asli.
Sebelum itu, Encik Putin menegaskan Russia akan meneruskan operasinya dan yakin dengan matlamatnya.
Encik Putin bagaimanapun berkata, rundingan damai bagi menamatkan konflik itu berada dalam keadaan buntu.
Dengan perang dijangka berterusan, AS dijangka mengumumkan AS$750 juta ($1.02 bilion) bantuan ketenteraan yang berkemungkinan besar termasuk sistem artileri lebih kuat iaitu howitzers.
Encik Zelenskiy menerusi ciapannya berkata, Ukraine memerlukan lebih banyak senjata berat menghalang kekejaman Russia. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg