Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zelensky: Mariupol hancur musnah

Amerika rancang kirim pakej $200 juta senjata tambahan bantu Ukraine pertahan serangan Russia
May 8, 2022 | 5:30 AM
MUSNAH TERUK: Gambar yang dirakamkan pada 5 Mei lalu menunjukkan sejumlah tram di sebuah depoh musnah teruk akibat konflik Ukraine-Russia di bandar pelabuhan selatan, Mariupol. Russia telah menawan sepenuhnya Mariupol sejak perang antara dua negara itu meletus pada 24 Februari lalu. - Foto REUTERS
MUSNAH TERUK: Gambar yang dirakamkan pada 5 Mei lalu menunjukkan sejumlah tram di sebuah depoh musnah teruk akibat konflik Ukraine-Russia di bandar pelabuhan selatan, Mariupol. Russia telah menawan sepenuhnya Mariupol sejak perang antara dua negara itu meletus pada 24 Februari lalu. - Foto REUTERS -

LONDON: Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, mendedahkan bahawa bandar pelabuhan Mariupol di tenggara negara itu sudah musnah sepenuhnya dan tiada apa-apa lagi akan jatuh ke tangan Russia.

Encik Zelensky, yang bercakap menerusi panggilan video dari badan pemikir Chatham House di London, ketika ditanya bagaimana kejatuhan bandar strategik itu boleh menjejaskan perjalanan konflik.

"Anda perlu faham Mariupol tidak akan pernah jatuh. Tidak ada apa-apa di sana untuk dilawan. Ia sudah hancur... tiada struktur, semuanya musnah sama sekali," katanya kelmarin.

Beliau juga berkata, yang tinggal ialah lantai dan struktur kecil atau kilang keluli Azovstal.

Kilang keluli di bandar pelabuhan Mariupol menjadi aset terakhir penentangan Ukraine terhadap tentera Russia di bandar pelabuhan itu, di mana kira-kira 200 orang awam dianggarkan masih terperangkap dalam terowong dan kubu.

Encik Zelensky berkata, beliau akan cuba memindahkan seramai mungkin.

"Jika mereka membunuh orang yang boleh ditukar menjadi tawanan perang atau baru dibebaskan sebagai orang awam atau dibantu kerana cedera, jika mereka dimusnahkan, saya tidak fikir kita boleh mengadakan sebarang perbincangan diplomatik dengan mereka selepas itu.

"Ini bermakna, mereka akan meneruskan ke tahap yang mereka mahukan apabila kita menghalangnya," katanya ketika meramalkan tindakan tentera Russia selepas menguasai bandar itu.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Encik Joe Biden, telah menandatangani satu pakej bantuan senjata bernilai AS$150 juta ($200 juta) untuk Ukraine, bagi membantu negara itu menangkis pencerobohan Russia.

"Hari ini (Kelmarin), AS meneruskan sokongan padu kami untuk rakyat Ukraine yang berani ketika mereka mempertahankan negara dari pencerobohan berterusan Russia," kata Encik Biden dalam satu kenyataan.

AS sudah menyegerakan bantuan senjata bernilai AS$3.4 bilion ke Ukraine sejak Russia menyerang pada 24 Februari lalu, termasuk meriam jenis howitzer, sistem anti-pesawat Stinger, peluru berpandu Javelin anti kereta kebal, peluru dan dron taktikal 'Phoenix Ghost'.

Pegawai AS berkata, pakej baru bernilai AS$150 juta itu meliputi 25,000 peluru meriam 155mm, radar balas artileri, peralatan sekatan, peralatan medan serta alat ganti.

Bulan lalu, Encik Biden mencadangkan pakej bantuan AS$33 bilion untuk Ukraine, termasuk lebih daripada AS$20 bilion bantuan ketenteraan.

Kongres perlu meluluskan pakej pembiayaan baharu itu.

Pemimpin Dewan Perwakilan Rakyat dan Senat berkata, mereka mahu ia diselesaikan segera, namun belum menyatakan bila mereka akan mengundi.

Encik Biden menggesa penggubal undang-undang supaya bertindak segera memandangkan pengeluaran dana pihak berkuasa bagi tujuan kecemasan 'hampir habis'.

"Kongres harus segera menyediakan pembiayaan yang diminta untuk mengukuhkan Ukraine di medan perang dan di meja rundingan," katanya.

AS sudah melatih beberapa pasukan Ukraine mengenai cara menggunakan sistem seperti meriam howitzer.

Pakej baru itu diumumkan ketika Encik Biden bersedia menyertai pemimpin Kumpulan Tujuh menerusi sesi panggilan video esok.

Presiden Russia, Encik Vladimir Putin melancarkan perang di Ukraine sebagai pertempuran untuk melindungi penutur Russia di negara itu daripada penganiayaan Nazi serta langkah berjaga-jaga kemungkinan ancaman AS terhadap Russia yang dicetuskan menerusi NATO.

Ukraine dan barat menolak dakwaan fasisme sebagai tidak berasas dan mengatakan Putin melancarkan perang pencerobohan tanpa provokasi mereka.

Ukraine dan sekutunya turut mendakwa pengeboman oleh Russia menjejaskan lebih ramai orang awam, namun Russia pula menafikan dakwaan itu dan berkata hanya menyasarkan tapak tentera atau strategik, bukan orang awam. - AFP, Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg