PRESIDEN Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, pada hari Sabtu (11 Jun) mengulangi gesaannya untuk mempertingkat sekatan ke atas Russia semasa berucap kepada pemimpin dunia dan pegawai kanan pertahanan di Dialog Shangri-La di Singapura.
Bercakap dalam bahasa Ukraine dari "lokasi rahsia" di ibu kota Kyiv, beliau berkata tentera Russia telah "membunuh berpuluh-puluh ribu rakyat kami dan menghantar pulang beribu-ribu lagi ke wilayahnya".
Russia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu dalam apa yang digelarnya sebagai "operasi ketenteraan khas" untuk mengusir tentera jirannya.
Berucap kepada seramai 575 wakil dari 40 negara, Encik Zelensky turut memetik Perdana Menteri Pengasas Singapura, Encik Lee Kuan Yew, dalam ucapan maya sekitar 10 minit itu, lapor The Straits Times.
“Jika tidak ada undang-undang antarabangsa dan ikan besar makan ikan kecil dan ikan kecil makan udang... kita tidak akan wujud.
"Ini adalah kata-kata hikmah Lee Kuan Yew, pemimpin yang cukup bijak melihat sebab yang jelas tentang banyak perkara dan sumber, dan yang benar-benar mengetahui apa yang bernilai," kata Encik Zelensky, merujuk kepada ucapan Encik Lee pada 1966.
Perdana Menteri Singapura waktu itu telah memetik pepatah Cina, “Ikan besar makan ikan kecil; ikan kecil makan udang”, tetapi menekankan bahawa sesetengah udang juga mempunyai sengatan beracun.
Encik Lee berkata bagi negara muda itu untuk terus hidup bersama negara jiran (ikan kecil) dan kuasa besar dunia (ikan besar), ia perlu membina pertahanannya atau, seperti beberapa haiwan lain yang mengikat diri mereka dengan haiwan yang lebih besar, membentuk pakatan dengan negara lain yang lebih berkuasa.
Semasa berucap, Presiden Zelensky memakai kemeja-T hitam dengan imej seorang gadis yang sedang mengecat bendera Ukraine berwarna biru dan kuning.
Kemeja itu direka Ava Soh, seorang warga Singapura berusia 16 tahun, untuk projek NFT yang bertujuan membantu Ukraine.
Encik Zelensky berkata beliau memakai baju-T untuk menggambarkan sokongan global yang diterima Ukraine dan "mengapa kami pasti akan menang dalam perang yang telah dimulakan oleh Russia ini".