KYIV: Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, menyelar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) kerana menolak zon larangan terbang di negara itu, dengan mengatakan sekutu tentera Barat tahu Russia mungkin melakukan lebih banyak kekerasan.
Kelmarin, Nato menolak permintaan Ukraine agar mengenakan zon larangan terbang bagi menyekat pengeboman Russia, tetapi sekutu Barat memberi amaran kepada Presiden Vladimir Putin tentang sekatan baru jika beliau tidak menghentikan peperangan.
"Walaupun mereka tahu serangan dan kematian baru akan berlaku lagi, Nato dengan sengaja memutuskan tidak menutup ruang udara Ukraine," kata Encik Zelensky dalam satu video diterbitkan oleh pihaknya.
"Kami percaya negara-negara Nato sendiri mencipta naratif bahawa penutupan ruang angkasa Ukraine akan mencetuskan kekerasan Russia terhadap Nato."
Ketua Nato, Encik Jens Stoltenberg, berkata pakatan itu tidak akan campur tangan dalam konflik itu kerana bimbang berlaku pertembungan secara langsung dengan Moscow yang boleh mencetuskan konflik lebih luas.
"Satu-satunya cara melaksanakan zon larangan terbang adalah menghantar pesawat pejuang Nato ke ruang udara Ukraine, dan kemudian mengenakan zon larangan terbang itu dengan menembak pesawat Rusia," kata Encik Stoltenberg selepas mesyuarat tergempar itu.
"Jika kita berbuat demikian, kita akan berdepan dengan sesuatu yang boleh berakhir dengan perang sepenuhnya di Eropah, melibatkan lebih banyak negara dan menyebabkan lebih banyak penderitaan manusia."
Tetapi Encik Zelensky menegaskan bahawa perhimpunan Nato adalah "satu sidang puncak yang lemah, sidang puncak yang keliru".
"Semua orang yang mati mulai hari ini juga akan mati kerana kamu... kerana kelemahan anda, kerana anda yang terputus hubungan," ujar beliau.
"Hari ini kepimpinan perikatan memberi lampu hijau untuk pengeboman selanjutnya ke atas bandar dan kampung Ukraine, enggan membuat zon larangan terbang."
Dalam pada itu, kementerian pertahanan Russia mengumumkan gencatan senjata sementara mulai semalam, pada 3 petang waktu Singapura untuk membenarkan koridor kemanusiaan keluar dari bandar Mariupol dan Volnovakha di Ukraine, lapor agensi berita Interfax.
Kementerian berkata ini akan membolehkan penduduk kedua-dua bandar itu berpindah.
Orang awam akan dibenarkan meninggalkan Mariupol antara 12 tengah hari dan 5 petang waktu Moscow (5 petang dan 10 malam waktu Singapura) semalam, menurut agensi berita RIA Rusia yang menukil pihak berkuasa bandar.
Kementerian pertahanan Russia menjelaskan bahawa lokasi koridor kemanusiaan dan pintu keluar telah ditentukan dalam persetujuan dengan pihak berkuasa Ukraine, menurut agensi berita Rusia.
Datuk Bandar Mariupol, Encik Vadim Boychenko, berkata pemerintah bandar itu telah dimaklumkan mengenai perjanjian gencatan senjata kira-kira setengah jam sebelum ia dijadualkan dimulakan, dan pegawai sedang membuat rancangan membawa masuk ubat-ubatan dan bekalan penting lain.
Beliau berkata gencatan senjata akan membolehkan kerja dilakukan untuk memulihkan infrastruktur kritikal yang musnah. - AFP, Reuters
"Walaupun mereka tahu serangan dan kematian baru akan berlaku lagi, Nato dengan sengaja memutuskan tidak menutup ruang udara Ukraine.
Kami percaya negara-negara Nato sendiri mencipta naratif bahawa penutupan ruang angkasa Ukraine akan mencetuskan kekerasan Russia terhadap Nato."
- Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, selepas Nato menolak permintaan Ukraine agar mengenakan zon larangan terbang bagi menyekat pengeboman Russia.