Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zelensky tolak menyerah, mahu bincang dengan Putin

Mar 23, 2022 | 5:30 AM
ANTARA HARAPAN: Seorang warga Ukraine (atas) pada 20 Mac lalu dilihat berjalan tidak jauh dari pergerakan kereta kebal Russia di bandar Mariupol, yang mulai dikuasai Moscow. - Foto REUTERS
ANTARA HARAPAN: Seorang warga Ukraine (atas) pada 20 Mac lalu dilihat berjalan tidak jauh dari pergerakan kereta kebal Russia di bandar Mariupol, yang mulai dikuasai Moscow. - Foto REUTERS -

KYIV: Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata kelmarin adalah tidak mungkin untuk merundingkan pengakhiran perang di negaranya tanpa satu pertemuan dengan rakan sejawatan dari Russia, Encik Vladimir Putin.

Encik Zelensky memberitahu rangkaian televisyen awam Eropah, pertemuan sedemikian boleh membincangkan masa depan pendudukan wilayah Ukraine, tetapi lebih banyak masa diperlukan untuk menghuraikan isu yang dihadapi.

Beliau juga mengulangi akuran yang dibuat sebelum ini bahawa Ukraine tidak boleh menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Encik Zelensky malah berkata, negaranya akan musnah sebelum ditakluk sepenuhnya oleh Russia ketika beliau berusaha untuk berunding bagi menamatkan perang.

Di sebalik jumlah orang awam yang cedera meningkat, Encik Zelensky menjelaskan bahawa rakyatnya tidak akan menyerahkan ibu negara, bandar timur Kharkiv atau Mariupol.

"Ukraine tidak boleh memenuhi kata dua Russia, kita harus dimusnahkan dulu kalau mereka mahu ambil tanah kami," katanya.

Ketika Russia mempertahankan serangan semalaman hingga pusat beli-belah Kyiv runtuh dan membunuh lapan mangsa, Presiden Amerika Syarikat (AS), Encik Joe Biden mendesak pemimpin Eropah menangani 'taktik kejam' yang semakin kerap digunakan Moscow.

Seorang pegawai kanan pertahanan AS berkata, hampir sebulan selepas Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh pada 24 Februari, Moscow terus meningkatkan operasi udara dan lautnya, menerbangkan 300 pesawat dalam tempoh 24 jam lalu, dalam usaha 'terdesak' untuk mengubah arus perang di Ukraine.

Di Kyiv, perintah berkurung 35 jam diarahkan mulai 8.00 malam kelmarin (2 pagi semalam waktu Singapura), selepas serangan peluru berpandu Russia memusnahkan kompleks beli-belah 'Retroville' hingga meragut enam nyawa.

Russia mendakwa pusat beli-belah itu digunakan untuk menyimpan sistem roket serta peluru dan tentera Putin terus dituduh sengaja menyasarkan orang awam, termasuk di Mariupol.

Hampir 350,000 orang terperangkap tanpa air dan elektrik di pelabuhan selatan yang diserang tanpa henti oleh Russia manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan 925 kematian orang awam, termasuk 75 kanak-kanak.

Pegawai Mariupol menganggarkan kematian melepasi 2,000 orang dan Russia memberikan masa sehingga 5 pagi kelmarin untuk Mariupol menyerah, yang sudah pun ditolak oleh Kyiv.

Sementara itu, Mahkamah Russia telah menyekat Facebook dan Instagram yang dianggap 'pelampau' sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh Moscow untuk membanteras media sosial semasa konflik di Ukraine.

Ini berikutan, pihak berkuasa Russia menuduh gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Meta, iaitu syarikat induk Facebook, Instagram dan WhatsApp, bertolak ansur dengan 'Russophobia' sejak Presiden Russia, Vladimir Putin menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu.

Facebook dan Twitter tidak dapat diakses di Russia sejak awal Mac dan Instagram pula disekat di negara itu sejak seminggu lalu.

Mahkamah Daerah Tverskoi, Moscow bersetuju dengan permintaan daripada pihak pendakwa supaya kedua-dua pentas media sosial itu disekat kerana menjalankan aktiviti ekstremis.

Bagaimanapun, Whatsapp tidak disekat kerana ia perlu untuk menyiarkan kenyataan awam.

Menurut agensi pengawal selia media Russia, Roskomnadzor, ia turut menyekat akses kepada euronews.com, laman sesawang saluran Perancis, Euronews dan versi Russia, ru.euronews.com atas permintaan pejabat pendakwa. - AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg