JAKARTA: Ribuan penduduk di Jawa Timur diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya semalam, setelah letusan besar gunung berapi tertinggi di pulau Jawa berlaku, memaksa penguasa tempatan menguatkuasakan perintah zon larangan sepanjang lapan kilometer dan memaksa pemindahan seluruh penduduk kampung.
Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia, mengerahkan beberapa pasukan ke kawasan yang teruk terjejas berhampiran Gunung Semeru, untuk menilai kerosakan.
Namun, operasi terpaksa ditangguhkan sementara, berikutan hujan, kata Encik Tholib Vatelehan, jurucakap agensi itu.
Kelmarin, paras hujan tinggi menyebabkan semua bahan dari puncak gunung itu turun, "tetapi hari ini, setakat ini tiada hujan, jadi agak selamat," ujar Encik Tholib.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada gangguan serta-merta terhadap perjalanan udara.
Sementara itu, Bupati Lumajang, Jawa Timur, Encik Thoriqul Haq, dilaporkan sebagai berkata, salah sebuah wilayah yang terjejas ekoran letupan gunung berapi Semeru itu adalah Dusun Kajar Kuning, Desa Sumberwuluh, dan Kecamatan Candipuro.
Berdasarkan pantauannya, keadaan di Dusun Kajar Kuning saat ini (pagi semalam) sudah tertutup debu hingga ketinggian tiga meter.
Stesen CNN memetik Encik Thoriq sebagai berkata, beberapa buah rumah warga tertimbus debu, bahkan dua jambatan di Dusun Kajar Kuning yang baru dirasmikan, turut tertimbus.
Menurut agensi penyelamat daerah itu, sekitar 2,219 penduduk sudah dipindahkan ke pusat-pusat penginapan sementara dari kawasan letupan Gunung Semeru di Kabupaten Lumajang itu, ujarnya.
Ketua Pelaksana agensi penyelamat Jawa Timur Encik Gatot Soebrotopada, pula menjelaskan ribuan penduduk ditampung di 12 tempat.
"Sebanyak 266 orang ditempatkan di lingkungan SDN 4 Supiturang, 79 orang di Masjid Supiturang, 70 orang di Masjid Nurul Jadid Pronojiwo, 217 orang di Balai Desa Oro-oro Ombo, 100 orang di SMPN 2 Pronojiwo, 119 orang di SDN 2 Sumberurip dan 228 jiwa di Balai Desa Sumberurip," kata Gatot, kelmarin malam, dipetik oleh agensi berita rasmi, Antara.
Selain itu sebanyak 131 orang ditampung di Balai Desa Penanggal, 52 orang di Pos Gunung Sawu Candipuro, 216 orang di Balai Desa Pasirian, 150 orang di Lapangan Candipuro dan lagi 600 orang di Pejabat Kecamatan Candipuro.
Gunung berapi setinggi 3,676 meter itu meletus pada 2:45 petang (waktu tempatan) kelmarin, dan rakaman oleh penduduk tempatan menunjukkan Gunung Semeru memuntahkan debu kelabu dari kawahnya, hingga 'menenggelamkan' gunung dan sawah padi sekitarnya, jalan raya dan jambatan serta menjadikan langit hitam.
Satu video yang dikongsi oleh Kementerian Alam Sekitar di Twitter menunjukkan aliran lahar, batu dan gas panas memancar menuruni lereng gunung. Menurut pihak berkuasa, orang ramai melarikan diri dari letusan dengan motosikal dan hampir 2,500 orang terpaksa berpindah.
Agensi mitigasi bahaya vulkanologi dan geologi Indonesia pula menaikkan tahap amaran untuk Gunung Semeru ke tahap tertinggi.
Tahun lalu, Gunung Semeru meletus hingga mengorbankan lebih 50 orang dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.
Kepulauan Jawa dengan 270 juta penduduk yang terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, Indonesia, adalah antara negara paling terdedah kepada bencana gempa bumi.
Dengan 142 gunung berapi, Indonesia mempunyai jumlah penduduk terbesar di dunia yang tinggal dalam jarak dekat dengan gunung berapi, termasuk 8.6 juta dalam jarak 10km.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg