Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18

Daya saing PPIS meningkat sejak laksana transformasi digital

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

SIRI MEMPERSIAP BAGI EKONOMI BARU

Daya saing PPIS meningkat sejak laksana transformasi digital

Jan 12, 2020 | 05:30 AM



MENYEDARI jurang dalam sistem kerja dan keperluan menjadi lebih cekap sedang pelanggan bertambah, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) telah menjalankan transformasi digital sejak beberapa tahun lalu.



Hasil melaksanakan beberapa huraian berdasarkan teknologi sejak 2014, persatuan itu yang menggajikan lebih 230 kakitangan, menyaksikan produktiviti meningkat sebanyak 15 peratus manakala penggunaan kertas berkurangan 25 peratus.



Berkongsi pengalaman PPIS yang mengendalikan khidmat jagaan kanak-kanak, pelajar dan pusat khidmat keluarga, Pengurus Teknologi Maklumat PPIS, Encik Thariq Aziz Abdul Hamid, berkata persatuan itu sedar semakin pentingnya teknologi sedang seluruh negara bergerak mencapai matlamat menjadi Negara Bijak.



Justeru, bukan hanya PPIS menyesuaikan diri kepada perubahan teknologi, malah memanfaatkan apa sahaja peluang untuk menjadikan kerja lebih cekap.



"Salah satu pencetus transformasi digital kami ialah bila kami sedar banyak menggunakan kertas ekoran proses kerja yang manual.



"Bermula dari itu, kami meninjau cara mendigitalkan proses kerja seberapa banyak yang boleh, berbanding dengan cara sekarang, misalnya menyimpan dokumen dalam fail fizikal," ujar Encik Thariq.



Usaha seperti itu juga semakin perlu sedang jumlah pelanggan keseluruhan mereka meningkat.



"Dengan enam pusat khidmat keluarga dan sembilan pusat khidmat kanak-kanak, terdapat keperluan untuk mengikuti perkembangan teknologi bagi memastikan benefisiari dan klien kami diberi khidmat baik," jelas Encik Thariq.



Antara contoh inisiatif dilaksanakan ialah penyepaduan aplikasi Office 365 dan TenderBoard - wadah dalam talian yang memudahkan proses pemerolehan dan merangsang ketelusan PPIS sebagai Institusi Bertaraf Awam (IPC).



Teknologi maklumat juga diterapkan di tujuh pusat pembangunan kanak-kanak demi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak yang berusia seawal dua tahun.



Misalnya, penggunaan sofwe sistem pengurusan prasekolah, Little Lives oleh unit Pendidikan Kanak-Kanak Awal PPIS.



Menurut Ketua Jaminan Mutu dan Latihan, Pembangunan Prasekolah PPIS, Cik Anizah Mohd Saleh:



"Antara cirinya yang meningkatkan produktiviti pengetua dan guru kami termasuk daftar kedatangan sekolah secara digital, portfolio kanak-kanak dalam talian dan sistem e-perhubungan dengan ibu bapa yang lebih baik.



"Sofwe ini misalnya perkenalkan sistem mengambil kedatangan kanak-kanak, ibu bapa dan pelawat secara digital dan amat membantu menjejak mereka yang keluar masuk pusat kami.



"Ia juga mengurangkan waktu menunggu dan ibu bapa boleh menggunakannya untuk melihat jika anak sudah tiba di sekolah atau tidak."



Secara keseluruhan, hasil usaha mendigitalkan arkib dan fail kerja sejak 2014, PPIS berjaya mengurangkan 25 peratus penggunaan kertas.



Ia berharap mencapai pengurangan sebanyak 50 peratus dalam masa dua tahun mendatang.



"PPIS juga menyaksikan produktiviti kerja meningkat 15 peratus dan berharap ini akan terus meningkat sedang kami berusaha dalam perjalanan menjadi Negara Bijak ini.



"Dengan kecekapan bertambah dalam proses kerja dan produktiviti pekerja, persatuan ini komited terus mengikuti perkembangan teknologi agar kekal relevan dan memberi khidmat lebih baik kepada masyarakat," kata Encik Thariq.



Bagi menerapkan teknologi, ia memanfaatkan beberapa geran termasuk geran Care & Share kendalian Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS).



Mengenai cabaran dalam transformasi digital itu, Encik Thariq berkata:



"Kami harus pertama faham bagaimana mereka bekerja dan proses kerja mereka jadi kami boleh menggunakan teknologi untuk membaiki proses kerja itu.



"Dengan latihan dan memberi pemahaman yang baik tentang apa yang kami lakukan, kakitangan kami dapat menerima perubahan ini dan turut sama memberi sokongan.



"Selain itu, peranan pihak pengurusan kanan amat penting. Dalam hal ini, mereka amat menyokong dan mengamalkan apa yang kami sarankan dengan terbuka."




"Dengan kecekapan bertambah dalam proses kerja dan produktiviti pekerja, persatuan ini komited terus mengikuti perkembangan teknologi agar kekal relevan dan memberi khidmat lebih baik kepada masyarakat."
- Encik Thariq Aziz Abdul Hamid, Pengurus Teknologi Maklumat PPIS.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >