EKSPORT domestik bukan minyak (Nodx) Singapura tidak berubah pada Ogos berbanding setahun lalu, lebih baik daripada jangkaan penganalisis dan pulih daripada kemerosotan mendadak 10.6 peratus pada Julai.
Demikian menurut angka yang dikeluarkan pada Jumaat (16 Sep) oleh International Enterprise (IE) Singapore.
Peningkatan penghantaran bukan elektronik pada Ogos mengatasi penurunan eksport elektronik, ujar agensi perdagangan itu.
Ahli ekonomi dalam satu tinjauan Reuters mengunjurkan kemerosotan 4.1 peratus dalam penghantaran Ogos.
Jualan kepada majoriti 10 pasaran utama Singapura meningkat pada Ogos, kecuali bagi EU 28, China, Jepun dan Indonesia. Penyumbang terbesar kepada peningkatan dalam Nodx ialah Taiwan, Hong Kong dan Amerika Syarikat.
Penghantaran ke China - pasaran eksport tunggal terbesar Singapura - jatuh 5.4 peratus tahun ke tahun pada Ogos, berbanding kemerosotan 10.6 peratus pada Julai.
Dari segi bulan ke bulan, menggunakan asas yang diselaras mengikut musim, Nodx Ogos susut 1.9 peratus, lebih baik daripada kejatuhan 2.9 peratus yang diramal, dan tidak berubah daripada angka bagi Julai.
Penghantaran Ogos berjumlah $12.5 bilion, rendah sedikit daripada $12.7 bilion yang dicatat pada bulan sebelumnya.
Kegiatan di kilang Singapura menguncup lagi pada Ogos tetapi kurang daripada kemerosotan pada Julai, manakala sektor elektronik berkembang buat kali pertama dalam tempoh 14 bulan, menurut satu kaji selidik awal bulan ini.
IE Singapura juga meramalkan kemerosotan eksport Singapura akan berkurangan pada separuh kedua tahun ini, walaupun perdagangan akan kekal dalam kawasan negatif. Ia meramalkan Nodx mengecut sebanyak 3 hingga 4 peratus tahun ini, berbanding unjuran awal penguncupan 3 hingga 5 peratus.
Dari segi tahun ke tahun, eksport elektronik merosot 6.0 peratus pada Ogos, berbanding 12.9 peratus pada Julai.
Penghantaran bukan elektronik meningkat 2.7 peratus, berbanding penguncupan 9.5 peratus pada bulan sebelumnya.