Pengguna Singapura mungkin lebih yakin tentang ekonomi negara berbanding 2023, tetapi satu perempat daripada Gen Z di sini tidak mempunyai persiapan dari segi kewangan untuk hari muka.
Ini berdasarkan dapatan hasil satu tinjauan bank melibatkan 1,000 orang di sini.
Lebih satu daripada empat responden berumur 18 hingga 25 tahun tidak mempunyai simpanan yang mencukupi, perlindungan insurans hayat atau pelaburan, dan mereka juga tidak membuat rancangan kewangan penting lain, kata UOB pada 19 Ogos.
Panduan perancangan kewangan asas oleh industri dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyarankan bahawa amalan yang baik ialah mempunyai dana kecemasan bagi perbelanjaan tiga hingga enam bulan mendatang.
Panduan itu juga mencadangkan pengguna mendapatkan perlindungan insurans untuk kematian, hilang upaya kekal menyeluruh dan penyakit kritikal; melabur sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji yang dibawa pulang dan membuat wasiat dan penamaaan pewaris Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Kajian Sentimen Pengguna Asean UOB 2024 berkata Gen Z atau mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun, adalah yang paling tidak bersedia daripada semua kumpulan umur yang dikaji, lapor The Straits Times.
Sekitar 26 peratus daripada kumpulan ini berkata mereka tidak memenuhi mana-mana daripada empat cadangan dalam panduan itu.
Tinjauan itu menyatakan bahawa walaupun Gen Z agak baru dalam tenaga kerja dan mungkin bergelut dengan perbelanjaan besar seperti perkahwinan dan perumahan, namun kekurangan penampan kewangan yang mencukupi adalah membimbangkan.
Merentasi kumpulan umur, hanya 10 peratus responden memenuhi sekurang-kurangnya tiga cadangan dalam panduan, 37 peratus memenuhi dua, 35 peratus memenuhi hanya satu dan 18 peratus tidak mencapai mana-mana cadangan.
Tinjauan mendapati bahawa 60 peratus daripada mereka yang ditinjau mempunyai sekurang-kurangnya tiga bulan perbelanjaan yang disimpan, dengan ‘Baby Boomers’ (berumur 58 hingga 65) paling bersedia dan Gen X (berumur 42 hingga 57) paling kurang bersedia.
Ia menyatakan bahawa Gen Z mempunyai perlindungan insurans paling sedikit berbanding kumpulan lain.
Dari segi pelaburan, mereka yang berumur 18 hingga 41 tahun paling rajin berbuat demikian.
Bagi perancangan warisan, separuh daripada mereka yang ditinjau berkata mereka telah membuat penamaan CPF, manakala 19 peratus berkata mereka membuat wasiat.
Tinjauan itu melibatkan 5,000 peserta berusia 18 hingga 65 tahun dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam. Ia dijalankan dalam talian selama tiga minggu dari pertengahan Mei dengan kerjasama Boston Consulting Group.
Peserta dari Singapura adalah yang paling optimis tentang ekonomi domestik, berbanding dengan rakan sebaya Asean mereka.
Singapura adalah 14 mata peratusan lebih tinggi daripada purata serantau.
Kira-kira 68 peratus responden Singapura berasa positif tentang ekonomi Singapura, meningkat 20 peratusan mata daripada 2023.
Tinjauan itu juga mendapati bahawa pengguna Singapura lebih yakin dengan prospek kewangan mereka, dengan 78 peratus menjangkakan prospek yang baik atau lebih baik pada 2025.
Ini adalah peningkatan lapan peratusan mata daripada 2023.
Kumpulan Gen Z dan Gen Y yang lebih muda (berumur 26 hingga 41) didapati golongan paling yakin, manakala ‘Baby Boomers’ adalah yang paling tidak yakin.
Tinjauan itu mengaitkan sebahagian daripada keyakinan itu timbul bagi menyokong langkah yang diperkenalkan dalam Belanjawan Singapura 2024, termasuk pemberian tambahan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) untuk isi rumah, 50 peratus rebat cukai pendapatan peribadi untuk tahun itu, serta pelbagai skim bagi menyediakan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah bagi menangani peningkatan kos sara hidup.
“Di peringkat yang lebih luas, mengurangkan tekanan inflasi daripada paras tertinggi lewat 2022, ditambah dengan dolar Singapura yang kukuh telah mengekalkan kuasa beli pengguna tempatan sambil mengawal inflasi yang diimport, juga memberi kelebihan kepada Singapura berbanding rakan serantaunya,” kata tinjauan itu lagi.
Cik Jacquelyn Tan, yang mengetuai perkhidmatan kewangan peribadi kumpulan di UOB, sewaktu melancarkan tinjauan itu berkata bahawa sentimen pengguna secara amnya kukuh dan perbelanjaan berdaya tahan.
Di sebalik ketidaktentuan geopolitik, beliau berkata inflasi hari ini lebih rendah berbanding 2022, dolar Singapura lebih kukuh dan pasaran pekerja ketat.
“Pada separuh kedua tahun ini, jika ekonomi yang lebih maju mula menimbangkan pemotongan kadar, bersama-sama dengan faktor lain (yang disebut sebelum ini), mungkin mencerminkan sedikit keyakinan dalam sentimen pengguna,” tambah Cik Tan.
Tinjauan itu juga mendapati peningkatan terbesar dalam perbelanjaan daripada tempoh tahun lalu untuk pengguna di Singapura ialah bil utiliti, diikuti dengan perjalanan harian dan pendidikan anak-anak, serta barangan runcit isi rumah.
“Terdapat penurunan mendadak dalam bilangan pengguna yang meningkatkan perbelanjaan untuk bil utiliti dan barangan runcit isi rumah, dengan yang pertama jatuh enam mata peratusan dan yang kemudian turun tujuh mata peratusan,” tambah tinjauan itu.
Pengguna Singapura juga lebih banyak berbelanja berbanding rakan serantau mereka untuk kategori pengalaman seperti melancong untuk bercuti, menjamu selera, menghadiri konsert, acara dan perayaan, dengan 43 peratus menyatakan mereka telah membelanjakan lebih banyak tujuan itu pada 2023 berbanding purata serantau sebanyak 35 peratus.
Di seluruh rantau ini, inflasi kekal menjadi kebimbangan utama, diikuti oleh perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi, dan penurunan dalam simpanan dan pegangan kekayaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg