Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

13% kes tipu libat pancingan data mungkin dijana AI

Jul 30, 2024 | 2:24 PM
Ini kali pertama Agensi Keselamatan Siber (CSA)  mendedahkan perangkaan mengenai penggunaan AI dalam penipuan pancingan data.
Ini kali pertama Agensi Keselamatan Siber (CSA)  mendedahkan perangkaan mengenai penggunaan AI dalam penipuan pancingan data. - Foto ZAOBAO

Sekitar 13 peratus daripada kes penipuan yang dianalisis oleh Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura pada 2023 mungkin mempunyai kandungan yang dijana kecerdasan buatan (AI).

Ini menunjukkan bahawa kes penipuan kini semakin meyakinkan, walaupun secara keseluruhan, bilangan ancaman siber menurun atau agak sama pada 2023 berbanding 2022.

Ini kali pertama agensi tersebut mendedahkan perangkaan mengenai penggunaan AI dalam penipuan pancingan data, lapor The Straits Times (ST).

Percubaan pancingan data, yang memperdaya mangsa untuk mendedahkan kata laluan atau maklumat peribadi lain bagi mengakses akaun perbankan atau syarikat, turun 52 peratus kepada 4,100 kes yang dilaporkan, menurut laporan tahunan CSA mengenai Landskap Siber Singapura 2023, yang diterbitkan pada 30 Julai.

Prasarana yang terjejas, seperti komputer yang digodam melalui perisian hasad atau serangan siber yang diselaraskan, turun 14 peratus kepada 70,200 sistem komputer.

Bilangan laman web yang terjejas dengan percubaan pancingan data, menjunam 68 peratus kepada 108 laman web.

Bilangan serangan perisian tebusan yang melibatkan penipu mengeluarkan perisian hasad yang direka untuk menghalang sesebuah pertubuhan daripada mengakses sistem komputernya kecuali ia membayar wang tebusan, masih sama, iaitu sebanyak 132 insiden yang dilaporkan.

Namun jumlah kes tersebut masih tinggi, tambah CSA.

Penurunan jumlah kes pancingan data yang dilaporkan adalah seiring dengan perangkaan polis bagi kes penipuan pada 2023.

Rekod polis mencatat 5,938 penipuan pancingan data pada 2023 yang mengakibatkan kehilangan $14.2 juta, berbanding 7,079 kes penipuan sedemikian pada 2022.

“Buat pertama kali dalam lima tahun, jumlah wang yang hilang disebabkan penipuan telah merosot,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CSA, Encik David Koh.

Menurut beliau, ini mungkin disebabkan pelbagai langkah antipenipuan baru yang dilancarkan oleh bank utama, seperti langkah antiperisian hasad untuk memerangi penipuan perisian hasad yang meningkat dan menyebabkan kehilangan lebih $34 juta pada 2023.

Langkah tersebut menyekat aplikasi perbankan apabila aplikasi lain yang mencurigakan dikesan pada peranti sama.

Menurut CSA, walaupun bilangan percubaan penipuan merosot secara keseluruhan, ia berbeza daripada jumlah penipuan pancingan data di seluruh dunia yang meningkat secara mendadak.

Oleh itu, ia mungkin hanyalah “sebahagian kecil kes penipuan sedemikian, dengan kebanyakan kes percubaan pancingan data mungkin tidak dilaporkan”, katanya.

Namun, jumlah penipuan pancingan data yang dilaporkan kepada CSA pada 2023 masih sekitar 30 peratus lebih tinggi berbanding bilangan yang dilaporkan pada 2021.

CSA bekerjasama dengan rakan kongsi untuk meneliti kandungan e-mel pancingan data sejak 2023 dengan menggunakan alat pengesanan kandungan AI.

Ia mendapati sekurang-kurangnya lima e-mel daripada 40 sampel kes penipuan sebenar yang dianalisis pada 2023, menunjukkan tanda kandungan yang dijana AI, seperti bahasa yang hampir sempurna dan aliran logik lebih baik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg