Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

$2.1b dana bon hijau diperuntuk bagi Laluan Daerah Jurong, Laluan Rentas Pulau

MOF: Kededua laluan sokong tonggak ‘kehidupan mampan’ Pelan Hijau S’pura 2030
Sep 26, 2024 | 2:53 PM
Dana $2.1 bilion yang diperuntukkan untuk projek Laluan Daerah Jurong (gambar) dan Laluan Rentas Pulau diperoleh daripada bon 50 tahun Sekuriti Hijau Pemerintah Singapura (Prasarana) yang dibuka semula pada September 2023 dengan saiz terbitan $2.8 bilion.
Dana $2.1 bilion yang diperuntukkan untuk projek Laluan Daerah Jurong (gambar) dan Laluan Rentas Pulau diperoleh daripada bon 50 tahun Sekuriti Hijau Pemerintah Singapura (Prasarana) yang dibuka semula pada September 2023 dengan saiz terbitan $2.8 bilion. - Foto ZAOBAO

Dana berjumlah $2.1 bilion yang dikumpul oleh bon hijau terbitan pemerintah telah diperuntukkan kepada Laluan Daerah Jurong (JRL) dan Laluan Rentas Pulau (CRL) yang kini dalam pembinaan.

Kedua-dua laluan itu menyokong tonggak “kehidupan mampan” Pelan Hijau Singapura 2030, kata Kementerian Kewangan (MOF), yang menyatakan dalam laporan 25 September bahawa dana itu diagihkan pada tahun kewangan 2023.

Tonggak itu meletakkan sasaran mempunyai pengangkutan awam yang digunakan oleh 75 peratus penumpang pada waktu sibuk berbanding pilihan pengangkutan persendirian menjelang 2030. Peratusan terkini adalah sekitar 64 peratus.

“Ini adalah usaha utama untuk mencapai matlamat bercita-cita tinggi bagi mengurangkan pelepasan karbon pengangkutan darat dengan ketara secara mutlak, sejajar dengan sasaran sifar bersih Singapura menjelang 2050,” kata MOF.

Laluan Daerah Jurong dan Rentas Pulau dianggarkan menghasilkan jumlah penjimatan karbon bersamaan dengan mengambil sekurang-kurangnya 22,000 kereta dari jalan raya apabila beroperasi sepenuhnya, lapor The Straits Times (ST).

Dana $2.1 bilion yang diperuntukkan untuk projek itu diperoleh daripada bon 50 tahun Sekuriti Hijau Pemerintah Singapura (Prasarana) yang dibuka semula pada September 2023 dengan saiz terbitan $2.8 bilion.

Jumlah $2.1 bilion itu terdiri daripada $1.7 bilion daripada bahagian pertama bon yang diterbitkan pada Ogos 2022 dan $400 juta daripada bahagian yang dibuka semula.

Baki dana daripada bahagian yang dibuka semula itu dijangka diperuntukkan sepenuhnya menjelang akhir tahun kewangan 2025.

Cik Indranee Rajah, Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), berkata dalam laporan itu: “Rangka Kerja Bon Hijau Singapura kekal sebagai tonggak utama usaha Singapura untuk menyalurkan pelaburan ke dalam projek yang akan memajukan usaha kemampanan kita dan menyumbang ke arah matlamat sifar bersih kita.”

Bajet 2022 telah menyatakan bahawa Pemerintah akan mengeluarkan sehingga $35 bilion bon hijau menjelang 2030 untuk membiayai projek prasarana hijau sektor awam.

Kategori yang layak termasuk tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, bangunan hijau, pengangkutan bersih dan pengurusan air dan air sisa yang mampan.

Projek-projek itu dijangka membantu Singapura beralih kepada ekonomi rendah karbon, menyumbang kepada matlamat berkaitan iklim dan alam sekitar yang ditetapkan oleh pemerintah.

“Perjuangan kita menentang perubahan iklim memerlukan usaha kolektif dan tindakan segera, dan secara kritikal, kita perlu mengumpulkan sumber untuk perubahan. Kewangan hijau memainkan peranan penting dalam memacu peralihan global kepada masa depan rendah karbon,” kata Cik Indranee dalam laporan tersebut.

Laporan MOF itu, yang kedua dikeluarkan berkaitan dengan bon hijau, menyatakan bahawa sektor pengangkutan darat menyumbang kira-kira 15 peratus daripada pelepasan karbon di sini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg