Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2024 mencabar bagi taman perniagaan pinggir bandar, kadar ruang kosong naik

Kebanyakan pasaran industri dijangka tumbuh 2-3% pada 2025, tidak bagi taman perindustrian pinggir bandar
Dec 12, 2024 | 2:28 PM
Sewa di ruang taman perniagaan pinggir bandar, seperti Daerah Digital Punggol, mencatatkan sewa $3.46 setiap kaki persegi sebulan pada suku ketiga 2024, menurut Cushman & Wakefield.
Sewa di ruang taman perniagaan pinggir bandar, seperti Daerah Digital Punggol, mencatatkan sewa $3.46 setiap kaki persegi sebulan pada suku ketiga 2024, menurut Cushman & Wakefield. - Foto ZAOBAO

Segmen taman perniagaan di Singapura menghadapi cabaran pada 2024.

Ia dibebani kebimbangan sama ada ruang baru yang sedang dibina dapat disewakan, dan kadar kekosongan yang meningkat kerana syarikat menggabungkan operasi untuk mengurangkan kos dan menggunakan ruang kerja dengan lebih cekap.

Kadar kekosongan taman perniagaan di seluruh Singapura meningkat kepada 21.1 peratus pada suku ketiga 2024, daripada 19.5 peratus pada tempoh yang sama pada 2023. 

Ruang kosong di taman perniagaan pinggir bandar jauh lebih tinggi, iaitu 32.2 peratus, berbanding 8.6 peratus di taman perniagaan di pinggir pusat bandar, lapor The Business Times.

Taman perniagaan di pinggir pusat bandar kekal popular dalam kalangan penyewa kerana akses kepada kemudahan serta pengangkutan awam yang lebih baik dan ia berdekatan kawasan pusat bandar (CBD).

Ketua perkhidmatan penyewa dan penyewaan, perindustrian dan logistik CBRE, Encik Graeme Bolin, berkata pembangunan lebih baru dan moden di taman perniagaan pinggir pusat bandar menjadikannya lebih menarik bagi penyewa.

Ketua logistik dan perindustrian Cushman & Wakefield (C&W), Cik Brenda Ong, menambah bahawa taman perniagaan tersebut mengenakan sewa lebih tinggi, iaitu $6.21 setiap kaki persegi sebulan (psf pm), berbanding $3.46 psf pm untuk ruang di pinggir bandar pada suku ketiga.

Ketua penyelidikan Colliers Singapore, Cik Catherine He, berkata prestasi lebih baik taman perniagaan pinggir bandar pusat bandar didorong oleh “mutu”, yang menyebabkan kemerosotan sewa di taman perniagaan lama dan di kawasan luar bandar.

“Kelembapan pasaran dan persaingan meningkat menyebabkan pemilik hartanah menurunkan sewa mereka dan menawarkan insentif seperti tempoh tanpa sewa.

“Penyewa sekarang mempunyai lebih kuasa untuk berunding,” tambahnya.

Ketua penyelidikan CBRE bagi Asia Tenggara, Cik Tricia Song, berkata ruang baru di Daerah Digital Punggol (PDD) dan One Science Park Drive – yang dijangka siap antara suku keempat 2024 dengan 2025 – merangkumi sekitar 2.6 juta kaki persegi dan membentuk hampir 11.7 peratus daripada inventori semasa di seluruh Singapura.

Beliau menambah bahawa cabaran ekonomi, kos tinggi dan langkah kerja dari rumah akan mengurangkan keperluan ruang oleh penyewa.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, Cik Song percaya sektor taman perniagaan tetap menarik untuk industri ekonomi baru.

Beliau meramalkan sektor bioperubatan dan pemulihan industri teknologi akan meningkatkan permintaan ruang.

Sewa taman perniagaan pinggir pusat bandar dijangka naik 2 peratus pada 2025, manakala sewa taman perniagaan pinggir bandar dijangka stabil disebabkan lonjakan bekalan baru, kata Cik Ong dari C&W.

Dalam segmen kilang pengguna tunggal dan berganda, penyusunan semula menyebabkan beberapa pengeluar mengecilkan atau menutup operasi mereka di Singapura pada 2024, kata ketua penyelidikan dan perundingan untuk Singapura dan Asia Tenggara di JLL, Encik Chua Yang Liang.

Kadar penghunian untuk kilang pengguna tunggal adalah 87.7 peratus pada suku ketiga 2024, lebih rendah daripada 88.2 peratus pada tempoh sama pada 2023.

Bagi kilang berbilang pengguna, kadar penghunian adalah 91.6 peratus pada suku ketiga 2024 – meningkat daripada 89.7 peratus pada suku ketiga 2023.

Pada 2025, bekalan baru sebanyak 479,000 meter persegi akan disediakan untuk kilang pengguna tunggal dan 291,000 meter persegi  untuk kilang berbilang pengguna.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg