Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

23% unit kondo Sora di Daerah Tasik Jurong dijual

Jul 8, 2024 | 6:07 PM
Pemaju projek Sora melancarkan sebanyak 320 daripada sejumlah 440 unit kondominium tersebut untuk penjualan.
Pemaju projek Sora melancarkan sebanyak 320 daripada sejumlah 440 unit kondominium tersebut untuk penjualan. - Foto SINGHAIYI

Projek kondominium terbaru di Daerah Tasik Jurong, Sora, menjual 102, atau 23.2 peratus daripada jumlah unit yang disediakan sehingga 7 Julai, semasa pelancaran projek tersebut pada hujung minggu lalu.

Unit kondominium tersebut dijual pada harga $2,160 setiap kaki persegi (psf) secara purata, kata pemaju projek tersebut, SingHaiyi dan TK 189 Development.

Pada hujung minggu lalu, sebanyak 320 unit daripada sejumlah 440 unit kondominium dengan pegangan pajak 99 tahun itu telah dilancarkan untuk penjualan.

Daripada unit yang disediakan, lebih 80 peratus unit satu bilik tidur yang mempunyai satu bilik belajar, telah dijual.

Kebanyakan baki unit yang dijual adalah unit dua bilik tidur atau unit dua bilik tidur berserta satu bilik belajar, lapor The Business Times (BT).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SingHaiyi, Encik Raymond Chia, berkata lebih separuh pembeli berusia di bawah 40 tahun, yang menggambarkan “penyegaran semula kawasan tersebut dan keyakinan terhadap kerelevanan dan potensi Sora”.

CEO PropNex Realty, Encik Ismail Gafoor, berkata: “Pelancaran pada hujung minggu menunjukkan minat yang sihat daripada pembeli yang menetap di luar kawasan barat.

“Hanya 30 peratus daripada pembeli menetap di Jurong dan Clementi.”

CEO ERA Singapore, Encik Marcus Chu, menyatakan bahawa unit berharga sehingga $1.5 juta dianggap sebagai “pilihan lebih berhemat buat masa ini” bagi pemilik yang membeli unit tersebut untuk didiami dan pelabur dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an.

Ini disebabkan kadar faedah lebih tinggi untuk tempoh lebih lama, selain Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) lebih tinggi, katanya.

Data ERA sehingga 4 petang 6 Julai menunjukkan bahawa 81 peratus daripada jumlah unit satu bilik tidur seluas 538 kaki persegi yang mempunyai satu bilik belajar, pada harga bermula daripada $996,000 dan 70 peratus daripada unit dua bilik tidur seluas 646 hingga 667 kaki persegi pada harga bermula daripada $1.3 juta, telah dijual.

“Oleh itu, (kadar) pembelian ini adalah dalam jangkaan,” kata Encik Chu.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Penyelidik di portal carian hartanah Mogul.sg, Encik Nicholas Mak, berkata “jualan yang tidak berapa baik” di Sora menunjukkan sebilangan pembeli tidak tergesa-gesa membuat pembelian.

Ini walaupun Sora mempunyai beberapa tarikan seperti kedudukannya yang berhampiran taman tepi tasik dan potensi Jurong sebagai daerah pusat perniagaan seterusnya.

Namun, memandangkan terdapat sekitar 20 projek kediaman yang dijangka dilancarkan dalam masa enam bulan akan datang, di samping beberapa unit tidak terjual dalam projek kondominium yang dilancar sebelum ini, pembeli rumah “mempunyai pilihan meluas” dan lebih mementingkan soal harga, kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg