Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

40% warga S’pura guna AI di tempat kerja, majoriti akur lebih produktif: Tinjauan

Tinjauan turut timbulkan soal etika dengan sekitar 76% responden yang manfaatkan AI anggap sebagai hasil kerja sendiri
Sep 20, 2023 | 3:15 PM
GUNA AI DI TEMPAT KERJA: Satu penyelidikan mendapati 40 peratus pekerja Singapura menggunakan AI dalam kerja mereka, dengan 90 peratus daripada responden berpendapat ia membuat mereka lebih produktif.
GUNA AI DI TEMPAT KERJA: Satu penyelidikan mendapati 40 peratus pekerja Singapura menggunakan AI dalam kerja mereka, dengan 90 peratus daripada responden berpendapat ia membuat mereka lebih produktif. - Foto REUTERS

Dua daripada lima pekerja Singapura kini menggunakan dan bereksperimen dengan kecerdasan buatan (AI) generatif dalam kerja mereka, tetapi ramai yang menganggap kerja itu dihasilkan sebagai kerja mereka sendiri, manakala ada mengaku menggunakan wadah yang dilarang syarikat mereka.

Ini menurut hasil tinjauan dalam talian di kalangan lebih 1,000 pekerja pejabat sepenuh masa warga Singapura, yang dikeluarkan pada Rabu.

Tinjauan itu, yang ditauliahkan syarikat teknologi global, Salesforce, dan dikendalikan YouGov, meninjau responden antara lewat Julai dengan awal Ogos tentang penggunaan mereka berkaitan AI generatif, pandangan mereka tentang kegunaan dan kepentingannya kepada kerja dan kerjaya mereka dan juga tentang pemahaman mereka untuk menggunakannya secara selamat dan beretika.

Penyelidikan itu mendapati 40 peratus pekerja Singapura menggunakan AI dalam kerja mereka, melebihi 90 peratus pekerja yang berpendapat ia membuat mereka lebih produktif.

Lebih separuh responden tinjauan juga percaya bahawa menguasai AI generatif akan membuat mereka lebih bernilai dan dicari-cari di tempat kerja, sementara 49 peratus berpendapat kecekapan dalam AI boleh membantu mereka dinaikkan pangkat, lapor akhbar The Business Times (BT).

Etika agak rumit

Namun, di kalangan pekerja Singapura yang menggunakan AI generatif dalam kerja mereka, lebih tiga suku (76 peratus) berkata mereka menggunakannya untuk menyelesaikan tugasan kerja dan mempersembahkannya sebagai hasil kerja mereka sendiri, manakala lebih separuh (53 peratus) pekerja mengaku telah melakukannya beberapa kali.

Hampir separuh responden pengguna AI generatif (48 peratus) di tempat kerja Singapura juga mengaku menggunakan wadah AI yang dilarang majikan mereka.

Sehubungan itu, tinjauan itu mendapati responden mempunyai pemahaman terhad tentang amalan yang mempromosikan etika dan keselamatan dalam penggunaan AI generatif dengan kurang 37 peratus mengenal pasti AI generatif sebagai hanya menggunakan alat yang telah disahkan untuk ketepatannya; hanya menggunakan alat dan program yang disahkan syarikat; dan menyemak fakta keluaran AI generatif sebelum menggunakannya.

Ia juga menyatakan hanya 10 peratus responden telah menggunakan AI secara beretika dan selamat, termasuk tiga faktor di atas untuk penggunaan beretika dan tiga faktor berikut untuk penggunaan selamat – hanya menggunakan alat dan program yang disahkan syarikat; tidak menggunakan data sulit syarikat; dan tidak menggunakan data pelanggan peribadi yang boleh dikenal pasti.

Lebih ramai responden (antara 45 dan 51 peratus) boleh mengenal pasti langkah keselamatan tersebut daripada tindakan beretika (35 peratus hingga 37 peratus responden) semasa menggunakan AI.

Hampir 80 peratus responden dalam tinjauan itu juga berkata syarikat mereka tidak mempunyai dasar jelas tentang bagaimana AI generatif boleh digunakan untuk kerja mereka.

Seramai 72 peratus responden berkata syarikat mereka tidak menjelaskan senarai program atau alat yang boleh digunakan untuk kerja mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg