Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

8 dalam 10 firma rancang beri bonus minimum sebulan gaji:Tinjauan

Dec 12, 2023 | 4:55 PM
BONUS MININUM SEBULAN GAJI: Lebih lapan dalam 10 majikan di Singapura ingin memberi bonus minimum sebulan gaji tahun ini.
BONUS MININUM SEBULAN GAJI: Lebih lapan dalam 10 majikan di Singapura ingin memberi bonus minimum sebulan gaji tahun ini. - Foto ISTOCKPHOTO

Lebih lapan dalam 10 majikan di Singapura masih berhasrat memberi bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji, walaupun dengan sekitaran pengambilan pekerjaan lebih suram pada 2024.

Bagaimanapun, angka 84 peratus majikan yang menyatakan demikian dalam satu tinjauan prospek pekerjaan suku tahunan terbaru yang dijalankan oleh firma perekrutan ManpowerGroup Singapore itu, lebih rendah sedikit daripada 87 peratus setahun lalu.

Hasil tinjauan yang melibatkan 525 majikan itu dikeluarkan pada 12 Disember, menurut The Straits Times (ST).

Majikan dalam sektor kewangan dan hartanah berkemungkinan besar memberi bonus purata lebih besar iaitu lebih satu setengah bulan gaji, dengan 11 peratus majikan berhasrat berbuat demikian.

Ini berbanding purata kurang tujuh peratus majikan bagi lapan sektor lain yang merancang berbuat demikian, menurut tinjauan itu.

Sektor pengangkutan, logistik dan kenderaan mendahului senarai majikan yang memberi bonus purata sekurang-kurangnya sebulan gaji, dengan 97 peratus majikan dalam sektor itu merancang berbuat demikian.

Sektor tenaga dan utiliti berada rapat di tempat kedua, dengan 96 peratus majikan berhasrat memberi bonus purata sekurang-kurangnya sebulan gaji, manakala 91 peratus majikan dalam sektor penjagaan kesihatan dan sains hayat berhasrat berbuat demikian.

Pada umumnya, firma lebih besar lebih berkemungkinan memberi bonus purata lebih besar iaitu lebih sebulan gaji.

Sejumlah 43 peratus firma sangat besar yang menggaji antara 1,000 dengan 4,999 kakitangan dan 44 peratus perusahaan besar dengan 5,000 atau lebih kakitangan menyatakan hasrat memberi bonus purata lebih sebulan gaji.

Sebaliknya, hanya 20 peratus syarikat kecil yang menggaji 10 hingga 49 kakitangan dan 31 peratus syarikat sederhana yang menggaji 50 hingga 249 kakitangan merancang berbuat demikian.

Bagaimanapun, syarikat mikro yang mempunyai kurang daripada 10 kakitangan menentang trend, dengan 32 peratus merancang memberi bonus purata lebih sebulan gaji.

Kajian itu juga meninjau majikan di sini mengenai rancangan kenaikan gaji.

Lebih separuh syarikat yang ditinjau turut merancang menaikkan gaji antara 3 peratus hingga kurang 5 peratus, turun sedikit daripada 60 peratus setahun lalu.

Namun, peratusan majikan yang berhasrat menaikkan gaji sebanyak 5 peratus hingga kurang 7 peratus, meningkat kepada 19 peratus, daripada 17 peratus setahun lalu.

“Walaupun keadaan ekonomi suram, banyak syarikat terus memberi bonus sebagai ganjaran kepada pekerja atas sumbangan mereka sepanjang tahun,” ujar Pengurus Negara di ManpowerGroup Singapore. Cik Linda Teo.

“Memandangkan kenaikan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan kos sara hidup yang meningkat, syarikat juga memberi bonus dan meningkatkan pampasan sebagai strategi mengekalkan daya saing dalam usaha mengekal dan menarik bakat,” tambah beliau.

Tinjauan itu turut mendapati bahawa kemahiran berkaitan tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG), serta ekonomi hijau, mendapat permintaan tinggi, dengan 42 peratus majikan menyatakan kesukaran mendapatkan pekerja dengan kemahiran tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg