Pembaca di Singapura kini boleh membeli buku secara dalam talian dengan lebih mudah, berikutan pelancaran Bookshop.sg oleh lapan kedai buku ‘indie’ tempatan, yang menawarkan lebih 40,000 tajuk.
‘Indie’ dalam perusahaan penerbitan merujuk kepada jenama bebas yang bukan berkaitan dengan gabungan syarikat penerbitan besar.
Bookshop.sg, yang dibuka untuk tempahan pada 14 Mei, merupakan inisiatif bersama kedai buku tempatan seperti Epigram Books, Basheer Graphic Books, Wardah Books, Thryft, Sea Breeze Books, City Book Room, Union Book dan Nurul Anwar Bookstore.
Ia menawarkan pelbagai tajuk cereka dan bukan cereka serta buku kanak-kanak dalam bahasa Inggeris, Mandarin, dan Melayu, lapor The Straits Times (ST).
Kedai dalam talian ini menawarkan penghantaran percuma untuk pembelian melebihi $150, atau mengenakan bayaran $5.90 untuk pembelian yang lebih kecil.
Pembaca juga boleh memilih buku daripada lapan kedai buku yang berbeza, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Thryft, Encik Eddie Lim, kepada ST.
Pengasas Wardah Books, Encik Ibrahim Tahir, 51 tahun, menambah: “Kami berikan alternatif untuk mereka yang prihatin tentang bagaimana wang mereka dibelanjakan.”
Beliau telah mengadakan pertemuan penjual buku ‘indie’ di kedainya di 58 Bussorah Street pada Disember 2024 untuk membincangkan cara-cara kerjasama.
Menurut Encik Ibrahim, kedai buku kini semakin berfungsi sebagai “ruang pameran” di mana pelanggan melihat-lihat buku di kedai tetapi memilih untuk membeli buku dengan harga lebih murah daripada syarikat dagangan gergasi Amazon, yang merosakkan ekosistem sastera tempatan.
Beliau menyebut satu undang-undang Perancis pada 2014 yang mengenakan bayaran penghantaran buku minimum untuk melindungi kedai buku lebih kecil daripada peruncit gergasi dalam talian. Namun, tiada peraturan seperti itu di Singapura.
“Wang yang anda belanjakan di kedai buku tempatan kekal dalam masyarakat. Ia menyokong acara buku, pelancaran penulis tempatan dan kelab buku. Syarikat gergasi lain mungkin tidak melakukan perkara seperti itu,” kata Encik Ibrahim, yang telah mengendalikan kedainya di Kampong Gelam sejak 2002.
Sejak lewat 2024, penutupan kedai-kedai buku telah menjadi tajuk utama.
Times Bookstores keluar daripada pasaran pada September 2024 selepas hampir lima dekad beroperasi, sementara kedai ‘indie’ Epigram Coffee Bookshop menutup kedai fizikalnya di Muzium Seni Singapura pada Januari 2025.
Penjual buku dalam bahasa ibunda berharap kedai buku dalam talian yang berbilang bahasa ini dapat membantu pembaca berbahasa Inggeris menemui buku dalam bahasa lain dengan lebih mudah.
Encik Ang Jin Yong, 34 tahun, pengarah operasi Sea Breeze Books, yang menjual buku berbahasa Cina secara dalam talian, berkata: “Masalah biasa bagi penerbit dan penjual buku bahasa ibunda adalah pasaran terhad, tetapi saya percaya sesetengah pembaca bahasa Inggeris mungkin berminat dengan buku bahasa ibunda.”
Bagi Cik Tan Waln Ching, 42 tahun, pengarah City Book Room, inisiatif ini meletakkan asas untuk kerjasama masa depan antara penjual buku. “Saya juga ingin belajar daripada penjual buku lain,” katanya.
Lapan penjual buku yang ditemubual ST menyebut cabaran seperti harga rendah oleh konglomerat sejagat, kurangnya minat membaca dalam golongan muda, peningkatan masa dalam talian kanak-kanak, dan penurunan pengunjung ke kedai buku.
Bookshop.sg, yang diilhamkan oleh inisiatif serupa yang dilancarkan di Amerika Syarikat dan Britain pada 2020, adalah eksperimen terbaru oleh penjual buku tempatan untuk memberi sokongan kepada perusahaan yang semakin merosot itu.
Pada Julai 2024, ST melaporkan bahawa konsep buku eksperimental seperti perpustakaan masyarakat bayar-untuk-sewa Casual Poet Library diadakan untuk menangani masalah terbesar yang dihadapi kedai buku Singapura iaitu kos sewa.
Encik Lim berjanji bahawa Bookshop.sg, yang dibangunkan oleh Thryft, akan memberikan pengalaman setanding atau lebih baik daripada Amazon dengan membenarkan pengguna melayari buku mengikut genre dan kedai.
Encik Ibrahim berharap kedai dalam talian ini akan menarik pembaca baru ke kedai fizikal.
Beliau menekankan bahawa kedai buku adalah kunci ekosistem perusahaan itu – menghubungkan penerbit, penulis, dan pembaca.
Namun, beliau menyedari masalah penurunan jumlah pembaca adalah isu yang lebih besar.
“
“Wang yang anda belanjakan di kedai buku tempatan kekal dalam masyarakat. Ia menyokong acara buku, pelancaran penulis tempatan dan kelab buku. Syarikat gergasi lain mungkin tidak melakukan perkara seperti itu.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg