Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

MENANGANI KRISIS DAN KEMELESETAN: ANALISIS BERITA

Ada kerja kosong di beberapa sektor tapi kurang menarik?

Sep 09, 2020 | 05:30 AM



SETELAH fasa kedua dibuka, ramai pengunjung menjamu selera di restoran The Malayan Council.



Tempahan yang meningkat tentunya sesuatu yang positif, namun ia turut memberi tekanan kepada pemiliknya, Encik Mohamad Hafiz Salim Al-Khatib, kerana bilangan pekerja yang terhad.



Beberapa pekerjanya dari Malaysia tidak kembali bekerja manakala pekerja asal Filipina juga tidak dapat bekerja semula ekoran penutupan sempadan.



Encik Hafiz meletakkan iklan untuk menggajikan 15 pekerja bagi pelbagai jawatan - kru servis, penolong dapur dan penyelia.



Namun beliau menghadapi kesukaran mengisi kesemua jawatan itu dengan pekerja setempat.



"Memang rakyat Singapura susah sikit nak kerja dalam bidang F&B (makanan dan minuman) kerana waktu kerja agak lama dan perlu kerja pada hujung minggu. Berbeza dengan pekerja asing yang bersendirian di sini dan sanggup bekerja pada hujung minggu,'' kongsinya.



Beliau menggajikan sekurang-kurangnya lima orang yang baru diberhentikan dari Resorts World Sentosa dan mereka yang terjejas kerana restoran tempat mereka bekerja ditutup.



"Saya lihat mereka yang berusia sekitar 40-an tahun dan mempunyai keluarga lebih bersedia mengambil pekerjaan ini walaupun gaji mereka dikurangkan. Mereka lebih terdesak.



"Tetapi, yang muda lebih memilih,'' kongsinya.



Dalam satu pos yang tular di Facebook baru-baru ini, seorang majikan, Encik Delane Lim, menyuarakan kesukaran menarik pekerja tempatan bagi satu jawatan yang menawarkan gaji lebih $3,000 dan cuti tahunan selama 14 hari.



Beliau menemu ramah tujuh calon.



Antara calon-calon itu meminta untuk tidak bekerja pada hujung minggu; ada yang berkata tempat kerja terlalu jauh dan meminta elaun pengangkutan; dan ada pula calon meminta beberapa penolong pekerja yang dapat membantunya!



Sikap itu menyentak majikan berkenaan.



Katanya: "Krisis ekonomi dan pandemik sedang berlaku. Pekerjaan ada dan bakat diperlukan. Tetapi, bakat muda ini tidak ghairah bagi pekerjaan ini. Mereka tidak rendah hati dan tidak sanggup bersusah payah,'' keluhnya.



Tentunya, tidak semua calon pekerja mempunyai sikap begitu.



PERLUNYA FIRMA MENJADIKAN PEKERJAAN LEBIH MENARIK BAGI PEKERJA TEMPATAN



Banyak syarikat yang sukar menarik pekerja tempatan juga perlu menyesuaikan model perniagaan mereka agar dapat menarik perhatian pekerja tempatan.



Syarikat juga perlu mengubah pekerjaan itu menjadi lebih menarik dengan penggunaan teknologi dan menyesuaikan waktu kerja agar pekerja tempatan juga tertarik bekerja di sana.



Jika tidak, mereka akan terus berhadapan dengan masalah itu.



PENGAMBILAN KERJA TIDAK TERHENTI, BUKA PELUANG PEKERJA YANG DIBERHENTIKAN DAPAT KERJA BARU



Di sebalik ekonomi yang menguncup akibat pandemik Covid-19, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan pengambilan pekerjaan tidak terhenti.



Sebanyak 39 peratus penduduk Singapura yang diberhentikan pada suku pertama tahun ini berupaya mendapat pekerjaan baru menjelang Jun lalu.



"Meskipun rentak pengambilan pekerjaan semakin perlahan pada suku kedua tahun ini, pengambilan pekerjaan tidak berhenti sama sekali dan sebilangan mereka yang diberhentikan berupaya mendapat pekerjaan baru,'' kata Menteri Tenaga Manusia, Cik Josephine Teo, kelmarin.



Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited yang diumumkan Mei lalu juga menyediakan 100,000 pekerjaan dan peluang latihan bagi pekerja dan lepasan sekolah.



Calon pekerja boleh memantau gerbang pekerjaan, MyCareersFuture.sg, bagi meneliti pekerjaan yang diperlukan.



PELBAGAI SKIM GAJIKAN PEKERJA TEMPATAN



Pemerintah telah menghulurkan pelbagai bantuan bagi menyokong syarikat setempat mengekalkan pekerja setempat dan menggalak mereka menggajikan pekerja setempat.



Sebanyak $1 bilion juga diperuntukkan di bawah Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) untuk menyokong perniagaan menggajikan warga setempat.



Di bawah skim itu, firma-firma yang menggajikan lebih ramai pekerja warga setempat bagi enam bulan mendatang boleh menerima sehingga $15,000 bagi setiap pekerja berusia di bawah 40 tahun, dan $30,000 bagi pekerja berusia 40 tahun ke atas.



Ini sebagai tambahan kepada subsidi gaji di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) yang akan diberikan sehingga Mac tahun depan.



Dalam menggalak syarikat memberi keutamaan kepada pekerja setempat, MOM juga akan menaikkan kriteria gaji minimum pekerja asing.



Sedang lebih banyak pemberhentian pekerjaan dijangka, seruan untuk memberi keutamaan kepada pekerja tempatan semakin kuat disuarakan.



Ini memang difahami.



Kalau pemerintah tidak memberi keutamaan kepada warga sendiri, siapa lagi?



Bahkan, isu memberi keutamaan kepada pekerja tempatan menjadi topik paling hangat didebatkan dalam Parlimen apabila ia dibuka baru-baru ini.



KOS GAJIKAN PEKERJA ASING MENINGKAT



Demi memberi keutamaan bagi pekerja tempatan, kos bagi syarikat menggajikan pekerja asing akan dinaikkan.



Mulai 1 September, gaji kelayakan minimum bagi pemegang Pas Pekerjaan (EP) dinaikkan kepada $4,500 daripada $3,900 untuk semua pemohon baru.



Bagi pemegang Pas S untuk pekerja asing berkemahiran pertengahan, gaji kelayakan minimum dinaikkan kepada $2,500 daripada $2,400, bermula 1 Oktober.



Apabila MOM mengumumkan perubahan dasar itu, firma-firma bimbang langkah itu akan meningkatkan kos sedang mereka berhadapan dengan perniagaan yang lemah.



Seperti kata Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Abu Bakar Mohd Nor:



"Sementara kami memahami sebab strategik di sebalik kenaikan itu, kami juga perlu memantau rapat kesannya ke atas perniagaan agar tidak hilang daya saing.''



USAH BERSIKAP MEMILIH



Semasa berucap dalam satu sidang modal insan baru-baru ini, Cik Teo menyatakan beliau sering mendapat aduan dari firma yang menyatakan peraturan pekerja asing agak ketat di Singapura.



"Sering kali, mereka melahirkan kebimbangan bahawa rakyat Singapura tidak ghairah dan amat memilih pekerjaan mereka.



"Pekerja Singapura pula melahirkan kebimbangan mereka perlu bersaing dengan pekerja asing,'' katanya.



Singapura memerlukan 3.4 juta orang bagi menyokong keseluruhan kegiatan ekonominya.



Dengan bilangan tenaga kerja tempatan seramai 2.3 juta, tentunya Singapura mempunyai lebihan pekerjaan untuk diisi. Tenaga asing masih diperlukan.



Dalam melaungkan seruan supaya memberi tumpuan kepada pekerja tempatan, kita wajar tanya pada diri sendiri jika kita bersikap tidak memilih dalam pekerjaan.



Yang nyata, keadaan ekonomi akan mengambil masa lama untuk pulih sedang pandemik Covid-19 di dunia masih belum nampak penghujungnya.



Calon pekerja tidak boleh ambil sikap memilih.



Hakikatnya, mereka perlu bersaing dengan lebih ramai orang sedang lebih banyak pemberhentian pekerjaan akan berlaku.



Tidak mengapa jika gaji rendah atau tempat kerja jauh dari rumah.



Dalam keadaan terdesak, harus ada kesanggupan untuk melakukan pekerjaan demi mencari sesuap nasi.



Firma juga harus mainkan peranan mereka untuk menjadikan pekerjaan itu lebih menarik bagi pekerja tempatan.




Dengan bilangan tenaga kerja tempatan seramai 2.3 juta, tentunya Singapura mempunyai lebihan pekerjaan untuk diisi. Tenaga asing masih diperlukan... Dalam melaungkan seruan supaya memberi tumpuan kepada pekerja tempatan, kita wajar tanya pada diri sendiri jika kita bersikap tidak memilih dalam pekerjaan. Yang nyata, keadaan ekonomi akan mengambil masa lama untuk pulih sedang pandemik Covid-19 di dunia masih belum nampak penghujungnya. Calon pekerja tidak boleh ambil sikap memilih. Hakikatnya, mereka perlu bersaing dengan lebih ramai orang sedang lebih banyak pemberhentian pekerjaan akan berlaku.
​- Penulis.




LAPORAN LANJUT: Golongan mudaterlalu memilih kerja? 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >