Apabila wabak Covid-19 melanda pada 2020, Cik Suhaili Basilran, 40 tahun, membuat keputusan berani untuk meninggalkan pekerjaannya selama 15 tahun dalam bidang perhotelan dan menceburi bidang keusahawanan.
Lebih mesra dikenali sebagai Cik Ery, beliau mengambil alih sebuah salun kuku di Far East Plaza, berpandukan keyakinannya bahawa dandanan peribadi bukan sekadar soal kecantikan luaran.
Baginya, penjagaan kuku, rambut dan wajah sama penting demi kesejahteraan serta keyakinan diri.
Dalam perjalanan baru itu, beliau turut mengajak kakaknya, Cik Suhailah Basilran, atau lebih dikenali sebagai Cik Sue, 45 tahun, yang bekerja sebagai pustakawan.
Bersama-sama, mereka menubuhkan Hey Cali, sebuah perniagaan dengan misi memperkasa dan mengubah persepsi masyarakat Melayu/Islam terhadap penjagaan kuku.
“Saya telah menjadi pelanggan tetap di salun tersebut selama tujuh tahun dan membina hubungan rapat dengan pemilik asalnya yang berbangsa Vietnam.
“Pada suatu hari, mereka menawarkan saya peluang untuk mengambil alih perniagaan itu dengan harga sekitar $50,000 kerana mereka mahu pulang ke negara asal mereka,” kongsi Cik Ery, anak bongsu enam beradik.
Walaupun adik-beradik itu tidak mempunyai pengalaman mengendalikan salun kuku, kekuatan mereka dalam melengkapi kelebihan dan mengatasi kekurangan masing-masing menjadi asas kejayaan.
Cik Ery pernah bertugas sebagai penolong pengurus penyambut tamu di hotel serta pengurus tempahan dan pengurusan hasil.
Peranan penting turut dimainkan oleh suami Cik Ery, Encik Khairul Solyhin, yang mengendalikan media sosial serta kewangan salun.
Segala usaha mereka dirancang dengan teliti, meliputi pelaburan kewangan yang bijak serta memahami keperluan dan minat golongan sasaran.
Kedudukan pertama mereka di Far East Plaza dipilih secara strategik kerana ia terletak di kawasan yang sering dikunjungi ramai, termasuk masyarakat Islam yang gemar menjamu selera di restoran halal popular berdekatan, seperti Restoran Cahaya.
Sejak awal, Hey Cali telah membezakan dirinya daripada salun lain.
Sebagai perniagaan milik Muslim, mereka mengutamakan perkhidmatan mesra wuduk dan menggunakan produk yang disahkan halal.
Lebih daripada sekadar kecantikan, Hey Cali menekankan aspek kebersihan dan kesejahteraan keseluruhan.
“Ramai yang memberi perhatian kepada rawatan wajah atau rambut tetapi mengabaikan penjagaan kuku.
“Kami sering menerima pelanggan dengan masalah kalus (calluses), kulit kering, atau kuku kaki terjejas. Ini adalah isu kesihatan yang perlu dipandang serius,” kata Cik Ery.
“Bagi pelanggan Muslim, kami memastikan pengilat kuku yang digunakan telap air dan semua produk kami disahkan halal. Ini memenuhi jurang yang ketara dalam pasaran,” tambah Cik Sue.
Adik-beradik itu juga menerima pelanggan daripada pelbagai latar belakang, termasuk wanita hamil dan warga emas yang menghadapi cabaran dalam penjagaan kuku.
Antara perkhidmatan terlaris mereka ialah rawatan kuku tangan dan kaki, rawatan kalus serta aplikasi inai.
Perniagaan mereka bermula dengan perlahan, dan pertumbuhannya banyak bergantung kepada perkongsian dari mulut ke mulut.
Pada 2022, keadaan mula bertambah baik. Namun, cabaran terbesar muncul apabila mereka memutuskan untuk mengembangkan perniagaan.
Pada Ogos 2024, mereka mengambil alih sebuah kedai di Bedok North, yang kini dikenali sebagai Breathe by Hey Cali.
Keputusan itu dibuat kerana mereka ingin membantu pemilik terdahulu yang bergelut untuk mengekalkan perniagaan tersebut.
“Kami mengenali pemilik itu dengan baik dan sering bertukar nasihat sejak mula menceburi industri ini,” kata Cik Ery.
“Apabila beliau memerlukan bantuan, kami rasa bertanggungjawab untuk mengambil alih.
“Tetapi ia bukan keputusan yang mudah. Kami mewarisi pakej pelanggan bernilai $25,000 dan terpaksa berdepan dengan kekurangan tenaga kerja yang teruk.”
Adik-beradik itu terpaksa menutup salun Bedok itu selama dua minggu pada Januari 2025 disebabkan isu kakitangan.
“Kami keletihan dan tidak pasti apa yang perlu dilakukan. Tetapi kemudian, video TikTok yang kami muat naik tentang perjuangan kami menjadi tular. Sokongan sangat menggalakkan.
“Kami menerima kata-kata semangat dan dua pekerja berpengalaman menghubungi kami untuk menyertai pasukan. Ia terasa seperti satu berkat,” tambah Cik Ery.
Namun, cabaran dalam mendapatkan tenaga kerja kekal sebagai isu utama.
Menurut mereka, industri penjagaan kuku di Singapura masih didominasi oleh pekerja dari China dan Vietnam, menjadikan pencarian pekerja tempatan satu tugas yang mencabar.
Tidak seperti di Eropah atau Australia, penjagaan kuku tidak dilihat sebagai laluan kerjaya yang baik di Singapura.
“Kami sedang berusaha untuk mengubah persepsi itu dengan menawarkan latihan kepada mereka yang berminat, termasuk pelajar yang mencari kerja sambilan yang fleksibel,” jelas Cik Sue.
Meskipun berdepan pelbagai halangan, adik-beradik itu tetap berazam untuk terus maju.
Mengendalikan dua salun dengan pasukan kecil memerlukan waktu kerja yang panjang dan menuntut banyak pengorbanan.
Cik Ery sering berada di salun demi memastikan setiap pelanggan mendapatkan perkhidmatan yang bermutu.
“Perkhidmatan pelanggan adalah keutamaan Hey Cali. Saya seronok dapat membina hubungan dengan pelanggan kami.
“Ada yang telah bersama kami sejak 2021 dan saya amat menghargai kesetiaan mereka,” kata Cik Ery.
Matlamat mereka bukan sekadar untuk menjalankan perniagaan yang berjaya, bahkan juga untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan penjagaan kuku serta menghapuskan stereotaip yang wujud.
“Kami mahu orang ramai melihat penjagaan kuku sebagai sebahagian daripada rutin kesihatan mereka, bukan hanya untuk kecantikan.
“Ia sangat penting, terutama bagi warga emas dan wanita hamil yang menghadapi cabaran dalam penjagaan kuku disebabkan masalah pergerakan,” ujar Cik Ery.
Berbekalkan semangat, ketekunan dan sokongan masyarakat, adik-beradik itu berharap dapat terus mengembangkan Hey Cali dan Breathe by Hey Cali.
“
Kami mahu orang ramai melihat penjagaan kuku sebagai sebahagian daripada rutin kesihatan mereka, bukan hanya untuk kecantikan. Ia sangat penting, terutama bagi warga emas dan wanita hamil yang menghadapi cabaran dalam penjagaan kuku disebabkan masalah pergerakan.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg