Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

KECERDASAN BUATAN

AI dapat wujudkan kerja baru, pertingkat kehidupan; kikis salah tanggapan

Manfaatnya pertingkat pekerjaan dan kehidupan begitu luas Usah takut dengan AI... Amrin Amin mengenai AI
Dec 20, 2020 | 05:30 AM



Bidang kecerdasan buatan (AI) merupakan satu bidang yang sedang berkembang dan akan terus mengubah kehidupan manusia. Banyak peluang yang tersedia bagi mereka yang ingin menceburi bidang ini sebagai satu kerjaya mahupun perniagaan. Lebih ramai anak Melayu juga harus digalak bagi menyertai bidang ini. Beberapa karyawan yang sudah pun mengorak langkah menceburi bidang AI mengongsi dengan BERITA MINGGU mengenai industri ini, peluang kerjaya dan kemahiran yang diperlukan.




BIDANG kecerdasan buatan (AI) merupakan satu bidang baru yang kurang difahami.



Bahkan, ada juga yang mempunyai tanggapan yang AI boleh mengambil alih pekerjaan mereka.



Tetapi tanggapan itu sebenarnya tidak benar, kata Encik Amrin Amin, penasihat bukan eksekutif Adera Global, syarikat AI setempat.



Beliau berkata AI akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan baru, membaiki pekerjaan dan meningkatkan mutu kehidupan.



"Secara relatif, AI merupakan bidang baru dalam industri teknologi maklumat (AI) dan teknologi, jadi ia mungkin menggerunkan ramai apatah lagi bilangan anak Melayu dalam bidang ini masih kecil. Ada juga pekerja berkolar biru yang mempunyai tanggapan negatif mengenai AI kerana bimbang AI akan mengambil alih pekerjaan mereka.



"AI ialah kecerdasan buatan tetapi bagi saya AI ialah 'kecerdasan yang dibantu' atau assisted intelligence. AI memerlukan bimbingan, dikemas kini dan ditingkatkan oleh manusia.



"Jadi, kebimbangan bahawa mesin akan menggantikan manusia terlalu digembar-gemburkan sedangkan ia tidak benar,'' jelas Encik Amrin, mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan) yang menyertai bidang itu selepas keluar dari politik.



Beliau berkata AI mempunyai keupayaan meningkatkan pekerjaan kolar biru kerana para pekerja akan dilatih semula untuk menjadi jurutera dan pakar teknikal. Mereka dapat menggunakan alat dikuasai AI bagi melaksanakan tugas mereka.



Menurut program kebangsaan AI Singapore, teknologi AI yang ada sekarang masih terhad dari segi aplikasi dan hanya boleh melakukan pelbagai tugas yang 'dilatih untuk melakukannya' oleh manusia.



"Sebagai contoh jika model AI dilatih mengasingkan imej kucing dan anjing dalam fail berbeza, model AI yang sama tidak dapat mengenal pasti masalah melanda tanam-tanaman misalnya. Jadi, AI boleh menggantikan tugas tetapi bukan pekerjaan,'' kata AI Singapore, ketika ditanya Berita Minggu (BM).



Ia menambah bahawa AI juga bukan satu penghurai pantas untuk segala masalah.



"Kita perlukan masalah perniagaan yang jelas, data yang bermutu dan algoritma yang wajar bagi menghuraikan masalah yang sukar. Ia memerlukan masa, usaha dan kreativiti,'' kata AI Singapore.



AI SG merupakan sebuah program kebangsaan AI yang dilancarkan Yayasan Penyelidikan Kebangsaan (NRF) bagi meningkatkan keupayaan negara ini dalam bidang AI. Pejabat itu menjalankan banyak inisiatif bagi warga setempat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam bidang AI.



Encik Amrin menekankan bahawa salah tanggapan itu harus diperbetulkan kerana banyak faedah yang boleh diraih dari AI.



"AI akan mewujudkan pekerjaan baru, meningkatkan pekerjaan yang ada sekarang dan meningkatkan mutu kehidupan. Bilangan anak Melayu dalam bidang ini masih kecil tetapi berdasarkan pertemuan saya dengan anak-anak Melayu, ramai yang terbuka untuk meneroka kerjaya dalam bidang ini.



"Ia adalah bidang yang sedang berkembang yang akan melalui banyak pembangunan dan inovasi, dan kita memerlukan kesungguhan mereka untuk menggerakkan teknologi itu. Saya menggalak anak Melayu terutama belia kita untuk menyertai bidang baru ini,'' kata Encik Amrin, dengan bersungguh-sungguh.



Beliau berkata ada yang mungkin bimbang kerana mereka tidak mempunyai kemahiran teknikal dan pengetahuan dalam bidang seperti Matematik dan Sains.



"Tetapi, bagi saya kemahiran yang diperlukan ialah keberanian, kesungguhan, minat mendalam dan dorongan kuat. Kemahiran teknikal dan pengetahuan dapat dipelajari jika hati mereka bersungguh-sungguh untuk mempelajari bidang ini,'' kata Encik Amrin, yang memberi contoh dirinya sendiri yang mempunyai latar belakang pelajaran dalam bidang sastera dan lulus dari universiti dengan ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang.



Satu lagi salah tanggapan ialah menyertai AI adalah terlalu sukar tetapi beliau berpendapat sebaliknya dan berkata seseorang yang baru lulus dari institusi pengajian tinggi juga boleh menceburi bidang itu.



"Menyertai bidang AI tidak sesukar yang difikirkan dan seseorang itu tidak perlu menjadi Steve Jobs (pengasas Apple) atau Bill Gates (pengasas Microsoft) untuk berjaya dalam bidang ini,'' tambah Encik Amrin.



Pemerintah Singapura akur peranan penting yang akan dimainkan oleh AI di masa hadapan.



Ia telah membentuk Strategi AI Kebangsaan di bawah Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO).



Dalam sebuah laporan yang dikeluarkan sebagai sebahagian Peta Khidmat Masa Hadapan 2018, dianggarkan bahawa pasaran AI di Singapura dijangka bernilai AS$960 juta ($1.27 bilion) menjelang 2022 dan AS$16 bilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan berkompaun (CAGR) sebanyak 42.2 peratus.



Sedang pandemik Covid-19 melanda, banyak sistem dikuasai AI dicipta sejajar dengan langkah kawalan pergerakan Covid-19.



Menurut Encik Amrin, Adera juga sedang memainkan peranannya dalam usaha kebangsaan bagi mengekang Covid-19.



Syarikat setempat itu telah memperkenalkan banyak produk AI pengimbas suhu badan yang dapat memantau suhu badan secara beramai-ramai tanpa perlu kontak dan menggunakan teknologi mengenal-pasti wajah. Alat itu sesuai digunakan di tempat tempat awam seperti pusat-pusat eli-belah.



Adera juga mempunyai mesin teller alam maya yang membolehkan penduduk di pedalaman mendapat khidmat bank seperti mendapatkan kad ATM tanpa memerlukan bank membentuk cawangan bank. Mesin itu sudah diperkenalkan di Kemboja dan China.



Satu lagi ciptaan menarik Adera ialah sistem pendaftaran AI yang mengecam wajah seseorang walaupun beliau memakai pelitup.



Inovasi-inovasi yang diperkenalkan Adera ini sesuai untuk digunakan di Singapura seperti di masjid dan syarikat-syarikat korporat, kata Encik Amrin, yang akan membantu syarikat itu untuk menembusi pasaran luar negara.



"Peluang AI tidak terhad dan kita mempunyai peluang menyertai gelombang ini untuk ke masa hadapan,'' tambahnya.




Saksikan video temu ramah di BH.SG "Secara relatif, AI merupakan bidang baru dalam industri teknologi maklumat (AI) dan teknologi, jadi ia mungkin menggerunkan ramai apatah lagi bilangan anak Melayu dalam bidang ini masih kecil. Ada juga pekerja berkolar biru yang mempunyai tanggapan negatif mengenai AI kerana bimbang AI akan mengambil alih pekerjaan mereka. AI ialah kecerdasan buatan tetapi bagi saya AI ialah 'kecerdasan yang dibantu' atau assisted intelligence. AI memerlukan bimbingan, dikemas kini dan ditingkatkan oleh manusia. Jadi, kebimbangan bahawa mesin akan menggantikan manusia terlalu digembar-gemburkan sedangkan ia tidak benar.''
- Encik Amrin Amin, penasihat bukan eksekutif Adera, syarikat AI setempat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >