Sedang banyak sektor ekonomi lesu di tengah-tengah kemelesetan ekoran krisis pandemik Covid-19, sektor elektronik menunjukkan prestasi lebih baik. Ditukil sebagai antara industri yang terus pesat berkembang, ia telah menawarkan sekitar 1,900 pekerjaan sejak April. Antara syarikat yang mendapat sorotan dan dikunjungi Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing, dan Menteri Tenaga Manusia, Cik Josephine Teo, ialah syarikat semikonduktor, GlobalFoundries Singapore Pte Ltd. BERITA HARIAN (BH) memaparkan kisah mereka yang membuat peralihan.
SETELAH lima tahun bertugas sebagai jurutera proses, Encik Muhammad Izuandy Mohamed Anwar mula berasa dirinya terlalu selesa dengan kerjanya dan mendambakan cabaran baru.
Sambil mengambil iktibar pengalaman teman-temannya yang pekerjaan dijejas Covid-19, Encik Muhammad Izuandy, 32 tahun, sedar betapa pentingnya untuk kerap menimba kemahiran baru supaya sentiasa relevan.
Justeru, beliau mengorak langkah menukar kerjaya baru - kini menyandang jawatan sebagai jurutera peralatan selepas mengikuti Program Penukaran Profesional (PCP) bagi Jurutera Elektronik.
Menurut Encik Muhammad Izuandy, walaupun masih dalam industri yang sama, skop pekerjaan berlainan.
Menjelaskan lanjut semasa dihubungi, lulusan diploma dalam kejuruteraan elektrikal itu berkata:
"Saya telah berkecimpung dalam tugasan yang sama selama lima tahun, dan berasakan bahawa kerja saya sudah menjadi terlalu rutin. Saya tidak mempelajari apa-apa yang baru.
"Saya sukakan cabaran dan kalau boleh, mahu keluar dari zon keselesaan saya.
"Lantaran itu, kini dalam pekerjaan baru, saya agak senang sebab banyak perkara baru dipelajari.
"Misalnya, kalau dahulu sebagai jurutera proses, tugas saya lebih kepada menganalisis data dan melaksanakan perubahan pada perkakasan, sekarang tugas saya ialah mengenal pasti masalah pada mesin dan menghuraikannya."
Perubahan skop kerja tentunya bukan mudah, namun latihan tersusun di bawah PCP serta bimbingan rakan kerja dan penyelia telah banyak membantu Encik Muhammad Izuandy.
Menurut beliau, cabaran utamanya ialah untuk bermula dari bawah.
"Saya sering mengamalkan sikap 'muka tembok' dan jangan malu bertanya apabila tidak pasti mengenai sesuatu.
"Ini pemikiran yang saya tetapkan dalam diri dan sentiasa terbuka untuk belajar yang baru.
"Dalam menjalankan tugas baru, memori saya kurang baik jadi apabila belajar sesuatu, saya akan ambil gambar atau video dan kemudian ulang kaji sekali lagi agar tidak lupa," terangnya.
Menurut Encik Muhammad Izuandy lagi, beliau semakin sedar pentingnya untuk terus mempertingkat diri sebagai seorang pekerja apabila melihat pengalaman beberapa temannya dalam bidang aeroangkasa terjejas dengan pandemik Covid-19.
"Apabila saya melihat mereka hanya ada pengalaman dalam bidang penyenggaraan pesawat sahaja, kemudian industri mereka digugat oleh krisis ini, mereka sukar mendapat pekerjaan lain.
"Ia secara tidak langsung menggalak saya terus belajar dan memberi pengajaran kepada saya bahawa kita semua tidak tahu sampai bila sektor kerja kita akan bertahan," cerita beliau.
Maka itu, beliau menggesa para pekerja, khususnya yang diberhenti kerja, supaya tidak putus asa dan terbuka minda untuk mencuba sektor-sektor pertumbuhan.
"Misalnya, sektor elektronik ini saya fikir masih berkembang kerana permintaan untuk peralatan masih tinggi di samping peralihan ke sistem rangkaian 5G," tambahnya.
SENTIASA DAHAGA ILMU
"Saya sering mengamalkan sikap 'muka tembok' dan jangan malu bertanya apabila tidak pasti mengenai sesuatu. Ini pemikiran yang saya tetapkan dalam diri dan sentiasa terbuka untuk belajar yang baru. Dalam menjalankan tugas baru, memori saya kurang baik jadi apabila belajar sesuatu, saya akan ambil gambar atau video dan kemudian ulang kaji sekali lagi agar tidak lupa."
IKTIBAR PENGALAMAN TEMAN
"Apabila saya melihat mereka hanya ada pengalaman dalam bidang penyenggaraan pesawat sahaja, kemudian industri mereka digugat oleh krisis ini, mereka sukar mendapat pekerjaan lain. Ia secara tidak langsung menggalak saya terus belajar dan memberi pengajaran kepada saya bahawa kita semua tidak tahu sampai bila sektor kerja kita akan bertahan." - Encik Muhammad Izuandy Mohamed Anwar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg