Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Anak Melayu Singapura sokong niaga Amazon di Indonesia

Jul 22, 2021 | 05:00 AM



DALAM tempoh empat tahun, Encik Abdul Hakeem Mohd Yunos, 28 tahun, berada di syarikat teknologi berbilang negara (MNC), Amazon, beliau telah bekerja di tiga jabatan berlainan.



Beliau telah bekerja di Pusat Respons Pemasaran Amazon Web Services(AWS), kemudian dalam bidang pemasaran dan kini dalam jabatan Operasi Komersial Sedunia Pasukan Teritori Indonesia bagi menyokong pelanggan AWS di Indonesia.



Menyertai AWS – penyedia komputing awan (cloud) Amazon – pada Julai 2017, pekerjaan pertamanya selepas beliau tamat pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Hakeem telah diberi kepercayaan bekerja bersama para pelanggan, rakan-rakan kongsi syarikat, arkitek huraian dan pengurus akaun di AWS.



Kemahirannya berbicara dalam pelbagai bahasa juga dihargai pasukan dan pelanggannya sekaligus membolehkan beliau membantu pelanggan berpindah ke wadah digital, AWS Cloud.



Beliau juga berpeluang mengembara ke Amerika Syarikat, Jepun dan Indonesia untuk mengambil bahagian dalam pelbagai bengkel, aktiviti pasukan dan bekerjasama dengan rakan-rakan sekerja global, serantau dan setempat.



Menurut Encik Abdul Hakeem, lulusan ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan dari NUS, beliau memohon pekerjaan di Amazon kerana ia salah satu peneraju teknologi dan inovasi di peringkat global.



“Saya mahu menjadi sebahagian daripada industri yang pantas dan pesat berkembang, terutama, di AWS – penyedia komputing awan Amazon,” kata Encik Abdul Hakeem, yang memang meminati bidang teknologi dan telah menjadi pelanggan Amazon Prime sejak di universiti lagi.



Oleh kerana bertugas dalam sekitaran yang pantas, Encik Abdul Hakeem perlu terus belajar dan memperbaiki diri setiap hari supaya beliau dapat melayani pelanggan dengan baik dan menyampaikan huraian terbaik untuk mereka.



“Biarpun ada banyak perkara yang perlu dipelajari, budaya terbuka di Amazon membolehkan kami mudah dan cepat mendapat sokongan daripada pasukan lain untuk membantu kami mengatasi cabaran supaya kami cepat menyesuaikan diri pada perubahan dan berkembang secara positif,” kata Encik Abdul Hakeem.



Katanya lagi, Amazon menawarkan para pekerja pelbagai peluang untuk mempertingkat kemahiran dalam pekerjaan masingmasing, termasuk melebihi 500 kursus pensijilan dan latihan on-demand dan di dalam talian percuma dari AWS, bagi membantu mereka dalam pembangunan kerjaya.



Misalnya, beliau telah mengambil kursus pembelajaran sendiri yang tersedia secara percuma buat semua pekerja Amazon.



Encik Abdul Hakeem merupakan antara segolongan besar bakat Singapura yang terlibat dalam membina dan mencipta produk dan khidmat bersama bagi pelanggan Amazon.



Secara global, Amazon mempunyai lebih 1.3 juta pekerja dan di antara tenaga kerja tersebut, pekerja Singapura boleh didapati di serata bahagian Amazon termasuk AWS, Amazon Prime dan Twitch.



Di peringkat kepimpinan, beberapa bakat Singapura juga memainkan peranan penting dalam perkembangan Amazon.



Ini termasuk Ketua Negara Amazon Singapura, Encik Henry Low; Ketua Penjenamaan Majikan Asia Pasifik, Jepun dan Greater China di AWS, Cik Sandra Teh; Pengarah dan Ketua Global Pusat Respons Pemasaran AWS yang mengurus pasukan global besar dari Singapura, Cik Livian Soo; dan Pengarah Pengurusan Pasukan Sektor Awam Asean di AWS, Encik Lee Chew Tan.



Lebih banyak khidmat Amazon telah diperkenalkan kepada pelanggan Singapura termasuk stor runcit dalam talian, Amazon.sg, dan khidmat penghantaran barangan keperluan dan runcit ultrapantas, Amazon Fresh.



Syarikat yang diasaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Jeff Bezos, ini juga sedang berkembang pesat di Singapura dengan pejabat di kawasan Capital Square, One George Street dan terkini, di Asia Square Tower 1.



Pusat gudang (fulfillment centre) Amazon di Singapura pula terletak di kawasan Toh Guan.



Kini, banyak pasukan wilayah Amazon juga berpangkalan di Singapura.



Suasana berbilang budaya di Singapura menawarkan persekitaran semula jadi dan dinamik dalam menyokong visi Amazon untuk membina budaya tenaga kerja yang pelbagai, menurut jurucakap Amazon.



Lokasi strategik Singapura sebagai batu loncatan di Asia menjadi faktor kritikal dalam membina tenaga kerja digital yang mahir, bukan sahaja untuk Amazon tetapi pelanggan, rakan kongsi dan komuniti Amazon.



Dalam keadaan pandemik ini, keutamaan Singapura terhadap langkah-langkah keselamatan, prasarana teknologi yang mantap dan hubungan internet kelajuan tinggi membolehkan syarikat ini untuk meneruskan gabungan global dengan lancar biarpun terpaksa bekerja dari rumah.



Komited untuk mengembangkan perniagaan Amazon di Singapura, syarikat teknologi ini mempunyai lebih 300 peluang pekerjaan dan sedang aktif mencari bakat yang boleh membantu syarikat itu terus berkembang.



Antaranya, mereka memerlukan bakat dalam bidang korporat, operasi dan logistik, teknisyen, jurutera pusat data, arkitek solusi, arkitek cloud, pakar pendidikan dan penjagaan kesihatan, kewangan dan banyak lagi dalam bidang teknologi dan bukan teknologi.



Ini akan membantu syarikat itu untuk terus berkembang di negara ini, kata jurucakap itu.



Laporan ini dibawakan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI)





MENJADI MNC ULUNG



 



PELUANG TERSEDIA

Pengurus Negara Amazon Singapura, Encik Henry Low, 47 tahun, bekas anggota Angkatan Tentera Laut (RSN),

menyertai Amazon lebih 11 tahun lalu pada 2010 sebagai pengurus operasi syif malam di sebuah Pusat Gudang Amazon di United Kingdom. Pekerjaan awalnya ialah untuk mengurus syif pekerja yang membungkus dan menghantar barangan yang dipesan pelanggan.

Namun, selepas 10 bulan bekerja di Amazon, Encik Low diminta mengambil alih tempat bosnya.

Dalam tempoh melebihi sedekad di Amazon, Encik Low sudah terlibat antaranya dalam bidang operasi, rantaian bekalan dan runcit. Beliau kemudian berjaya menggalas jawatan pengurus besar di United Kingdom, malah menjadi pengurus besar bukan warga Eropah pertama di sana.

Beliau kembali ke Singapura pada 2016 untuk melancarkan Amazon Prime Now di Singapura. Beliau kemudian mengambil alih peranan sebagai Pengurus Negara Amazon Singapura.




BERMATLAMAT JADI MAJIKAN TERBAIK DI DUNIA

Syarikat teknologi berbilang negara, Amazon, mengamalkan 16 prinsip kepimpinan dalam melaksanakan tugasan harian mereka, antaranya seperti mengutamakan pelanggan dan mencari pekerja yang bermutu.

Baru-baru ini, Amazon memperkenalkan dua prinsip kepimpinan baru iaitu berusaha menjadi majikan terbaik serta kejayaan dan skala membawa tanggungjawab yang luas.

Bagi mengetahui sentimen dan pendapat pekerja, Amazon juga menggalakkan pekerja menjawab tinjauan harian melalui komputer riba masing-masing. Tinjauan itu mengandungi satu soalan yang akan muncul sejurus pekerja membuka komputer riba mereka.




PEKERJA SINGAPURA BERBAKAT PERMUDAH OPERASI MNC





WARGA Singapura mudah menyesuaikan diri apabila bertugas di syarikat global seperti Amazon.



Mereka bijak mencari maklumat dan mudah menyesuaikan diri di mana sahaja kerana terdedah pada sekitaran berbilang bangsa dan budaya.



Justeru, apabila mereka menyertai syarikat Amazon, mereka pasti dapat bekerjasama rapat dengan kakitangan lain.



Demikian dikongsi Ketua Penjenamaan Majikan Asia Pasifik, Jepun dan Greater China di Amazon Web Services (AWS), Cik Sandra Teh, 46 tahun.



Beliau telah bekerja di Amazon hampir empat tahun dan dianggap sebagai pencerita di AWS, menghasilkan kisah dan artikel multimedia tentang bakat dan budaya di AWS.



“Di Amazon, kami mahu pastikan kami mempunyai tenaga kerja yang pelbagai dan inklusif.



Justeru, kami bukan sahaja melantik pembina untuk membina dan mencipta produk atau khidmat yang sesuai untuk pelanggan kami tetapi kepelbagaian dan inklusiviti juga adalah sesuatu yang harus wujud buat pekerja kami,’’ katanya.



Mengulas lanjut tentang ciri-ciri bakat yang dicari semasa pelantikan pekerja, Ketua Negara Amazon Singapura, Encik Henry Low berkata:



“Ia bukan satu rahsia bahawa kami mencari pekerja yang bermutu, berkemahiran dan mengutamakan pelanggan.’’



Beliau juga ingin pasukannya selalu memikirkan bagaimana mereka boleh membuat ciptaan bagi pelanggan dan mencari jalan untuk mempermudah ciptaan.



Kata Cik Teh, Amazon juga menitik-beratkan corak pemikiran ‘membina’ di kalangan para pekerja.



Sejurus pekerja yang dilantik di Amazon, diberi kepercayaan untuk mengurus projek-projek besar.



“Pelatih (intern) kami diberi peluang untuk mengendalikan projek serantau. Mereka sendiri terkejut. Tetapi, ini adalah cara kami mengasah bakat supaya mereka dapat membina dengan yakin,” kata Cik Teh.



Sebagai syarikat berbilang negara (MNC), Amazon juga bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada pelajar dari pelbagai latar belakang.



“Ramai mempunyai salah tanggapan bahawa Amazon hanya melantik pelajar yang memiliki lulusan ijazah. Ini tidak benar. Kami mempunyai ramai lulusan politeknik yang menyertai syarikat kami dan kami juga menggajikan lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).



“Misalnya, segolongan pekerja di pusat data kami merupakan lulusan ITE. Kini, kami juga menawarkan program pelatih pusat data dan telah mendapat banyak permohonan dari pihak ITE dan politeknik,” kata Cik Teh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >