Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnthropic cadang buka cawangan di S’pura, iklankan jawatan kosong
Anthropic cadang buka cawangan di S’pura, iklankan jawatan kosong
Anthropic cadang buka cawangan di S’pura, iklankan jawatan kosong
Anthropic yang merupakan firma penyelidikan berpangkalan di San Francisco dan syarikat yang membangunkan alat kecerdasan buatan (AI) popular Claude, kini sedang merancang untuk bertapak di Singapura.
Pada 4 Jun, halaman kerjaya di laman web Anthropic mengiklankan empat jawatan kosong di sini yang merangkumi bidang kewangan, sokongan produk dan penyelidikan ekonomi.
Rancangan firma tersebut menebarkan sayap ke Singapura menyusuli langkah serupa oleh syarikat seperti OpenAI dan Google DeepMind, yang telah menubuhkan makmal di sini bagi menyokong penggunaan AI dalam industri tempatan serta mempercepatkan pembangunan model AI berteknologi tinggi.
Salah satu jawatan yang diiklankan di laman web Anthropic ialah Ketua Perakaunan Asia-Pasifik, yang bertanggungjawab membina dan mengendalikan peranan perakaunan korporat serantau firma tersebut.
Ketua Perakaunan Asia-Pasifik berkenaan perlu melaporkan diri kepada Ketua Perakaunan Antarabangsa di pejabat firma tersebut yang terletak di Dublin, Ireland.
Pemegang jawatan yang berpangkalan di Singapura ini bakal membangun dan menerajui pasukan operasi perakaunan dan kewangan serantau di beberapa lokasi di serata Asia-Pasifik.
Anthropic, yang mendapat sokongan kewangan besar daripada perbadanan pelaburan pemerintah Singapura, GIC, turut mengiklankan dua jawatan pakar sokongan produk.
Pemegang jawatan ini bertanggungjawab menguasai rangkaian produk Anthropic serta menyediakan sokongan kepada pengguna.
Firma tersebut juga sedang mengiklankan jawatan bagi ahli ekonomi penyelidikan serantau, yang ditugaskan untuk menjalinkan kerjasama dengan pemerintah, ahli akademik dan rakan industri bagi menilai dan memahami kesan AI terhadap ekonomi, serta meneroka langkah campur tangan kepada dasar berpandukan penyelidikan.
Individu ini perlu memiliki ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang ekonomi dengan rekod pencapaian kukuh dalam penyelidikan empirikal, serta keupayaan menggabungkan sumber data baru dengan teori ekonomi, selain memenuhi beberapa syarat lain.
Calon berkenaan juga perlu mempunyai kemahiran teknikal, termasuk kecekapan dalam pemprograman Python.
Pemohon yang berjaya boleh menjangkakan gaji tahunan antara $307,200 dengan $331,200 termasuk komisen jualan, menurut Anthropic di halaman kerjayanya.
Perincian mengenai gaji bagi tiga jawatan lain tidak didedahkan.
Bagi kesemua jawatan yang berpangkalan di Singapura, pekerja dikehendaki berada di salah satu pejabat firma berkenaan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada waktu bekerja, menurut hantaran jawatan tersebut.
Apabila dihubungi The Straits Times (ST), Anthropic menolak untuk mengulas lanjut mengenai pembukaan pejabat dan rancangan pengambilan pekerja di sini.
Menurut portal pendaftaran perniagaan Bizfile, sebuah entiti bernama Anthropic PBC Asia Pacific dengan alamat di 133 Devonshire Road telah ditubuhkan pada 20 Mei.
Langkah peluasan antarabangsa Anthropic ini dibuat ketika semakin ramai pelanggan perusahaan berhasrat menggunakan AI bagi meraih kelebihan daya saing dan peningkatan produktiviti.
Sejak penubuhannya pada 2021, syarikat pemula itu telah membuka 12 pejabat di peringkat global termasuk di Jepun, Korea Selatan, India dan Australia.
GIC mula melabur dalam Anthropic pada September 2025 sebagai sebahagian daripada pusingan pengumpulan dana bernilai AS$13 bilion ($16.6 bilion) oleh pelabur swasta.
Pada Februari 2026, GIC menerajui pusingan pengumpulan dana Siri G bernilai AS$30 bilion.
Ini disusuli pusingan pembiayaan Siri H, yang kini meletakkan nilai pasaran syarikat itu pada AS$965 bilion, mengatasi penilaian terbaru pesaing sengitnya, OpenAI, yang bernilai AS$852 bilion.
Siri G dan H merupakan pusingan pengumpulan dana modal usaha niaga peringkat akhir bagi syarikat pemula yang sangat matang dengan pertumbuhan tinggi.
