Topik diikuti
Pergi ke BHkuAplikasi baru bantu warga cari kerja ekonomi gig

Aplikasi baru bantu warga cari kerja ekonomi gig
BERIKUTAN perkembangan ekonomi gig yang telah meningkat sejak beberapa tahun ini, FastCo, syarikat di sebalik portal pekerjaan FastJobs, telah melancarkan aplikasi baru mereka FastGig.
Platform itu akan membantu memadankan pekerja fleksibel yang berkelayakan dengan perniagaan yang mempunyai masalah kekangan bilangan dana kekurangan pekerja, terutama semasa musim perayaan.
Ia juga merupakan aplikasi pekerjaan pertama buat pekerja gig di rantau Asia Tenggara.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FastCo, Encik Julian Tan berkata:
"Pelancaran rasmi aplikasi FastGig kami membuka lembaran baharu di FastCo dan kami teruja untuk memulakan perjalanan ini untuk membantu menangani jurang kritikal dalam ekonomi semasa.
"Dengan memanfaatkan asas kukuh FastJobs, kami telah mencipta platform teguh yang akan membolehkan fleksibiliti pekerjaan yang lebih besar untuk kedua-dua pekerja dan perniagaan. Kami percaya FastGig akan mengubah secara menyeluruh ekonomi gig Singapura."
Pekerjaan ekonomi gig semakin popular di Singapura sejak beberapa tahun ini, dengan wabak pandemik telah mempercepatkannya.
Bilangan pekerja dalam segmen ini meningkat lebih 10 peratus daripada 228,200 pekerja pada 2020 kepada 248,500 pekerja pada 2021.
FastCo meramalkan pertumbuhan berterusan sedang lebih banyak peluang diberikan.
Semasa pandemik, ia telah menjadi talian hayat untuk membantu mengekalkan ramai pekerja, terutamanya mereka yang dihentikan kerja.
Menurut laporan Tenaga Buruh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 2020, penyebab utama yang mendorong pekerja ke arah pengaturan kerja sedemikian adalah fleksibiliti dan kebebasan.
Namun, kekurangan kerja yang mencukupi dan ketidakpastian dalam mencari pekerjaan gig yang tersedia jugalah antara cabaran yang dihadapi oleh pekerja gig.
Oleh itu, aplikasi FastGig membolehkan pekerja mengakses pangkalan data luas bagi peluang kerja bebas mengikut jenis pekerjaan, masa dan lokasi.
"Kami benar-benar percaya bahawa memanfaatkan teknologi yang betul akan menggerakkan transformasi tenaga kerja kami.
"Kemudahan FastGig akan mewujudkan akses yang sama kepada peluang pekerjaan, sekali gus mentakrifkan semula kerja yang bermakna buat semua orang," kata Encik Tan.
Sehingga kini, FastGig telah bekerjasama dengan berpuluh-puluh jenama untuk merapatkan jurang kakitangan mereka, memenuhi lebih 160,000 jam kerja.
Ini termasuk NTUC FairPrice, Domino's Pizza Singapore dan Phoon Huat, yang telah memanfaatkan khidmat FastGig untuk meningkatkan operasi mereka semasa musim perayaan seperti cuti Hari Krismas dan Tahun Baru Cina.