Aset
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baki pendapatan bulanan positif asas perancangan kewangan

Aug 17, 2025 | 5:30 AM
sani hamid
Perancang Kewangan Bertauliah dan Pengarah, Pengurusan Kekayaan (Ekonomi & Strategi Pasaran) Financial Alliance Pte Ltd, Encik Sani Hamid. - Foto fail

Ada soalan mengenai pelaburan? Tanya pakar kami, Perancang Kewangan Bertauliah dan Pengarah, Pengurusan Kekayaan (Ekonomi & Strategi Pasaran) Financial Alliance Pte Ltd, Encik Sani Hamid.

Soalan: Apakah asas perancangan kewangan yang perlu diketahui oleh semua orang tanpa mengira tahap pendapatan mereka?

Jawapan: Perkara yang paling penting ialah untuk memastikan agar baki perbelanjaan bulanan, berbanding dengan pendapatan anda, adalah positif.

Dalam erti kata lain, anda mempunyai baki berlebihan daripada pendapatan bersih anda iaitu pendapatan setelah ditolak perbelanjaan.

Mengapa ini penting?

Baki positif akan membawa dua manfaat utama.

Pertama, dengan wang lebihan yang ada, anda boleh membayar hutang.

Dari masa ke masa, liabiliti anda akan berkurangan, sama ada pinjaman perumahan, pinjaman pengajian, atau hutang dengan rakan dan saudara.

Bila anda ada wang tambahan, anda boleh selesaikan hutang tersebut.

Kedua, setelah hutang dilangsaikan, wang yang ada boleh digunakan untuk pelaburan.

Ini membolehkan anda membeli aset seperti unit amanah, saham, atau meletakkan wang pendahuluan untuk rumah, pelaburan, dan sebagainya.

Maka, anda mula mengumpul aset.

Jadi, apabila anda mempunyai baki positif setiap bulan, anda boleh mengurangkan liabiliti dan meningkatkan aset anda.

Sebaliknya, jika anda mempunyai baki negatif setiap bulan (iaitu anda berbelanja lebih daripada pendapatan), hanya ada dua akibat.

Pertama, untuk menampung kekurangan tersebut, anda perlu menjual aset.

Jika anda ada simpanan, anda akan gunakannya.

Jika anda ada saham, anda akan jual saham tersebut untuk mendapatkan wang. Justeru, ini akan mengurangkan aset anda.

Kedua, jika anda tiada aset atau terlalu bergantung kepada hutang, anda akan mula menggunakan pinjaman untuk menampung perbelanjaan, yang menyebabkan liabiliti anda meningkat.

Kesimpulannya, baki bulanan yang negatif akan mengurangkan aset dan meningkatkan hutang, dan ia bukan keadaan kewangan yang baik.

Oleh itu, asas kewangan yang kukuh ialah untuk memastikan baki positif setiap bulan.

Ini membawa kepada hutang yang lebih rendah dan aset yang lebih tinggi.

Jika semua mengamalkan prinsip ini, sama ada individu, keluarga, syarikat atau bahkan negara, mereka akan berada dalam kedudukan kewangan yang jauh lebih sihat dari semasa ke semasa.

Jika anda mempunyai soalan mengenai pelaburan atau kewangan, e-mel kepada atiyyahm@sph.com.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg