Dengan tamatnya pengajian di universiti, dan tarikh upacara penyampaian ijazah semakin hampir, tibalah masa untuk anda memulakan fasa baru dalam kehidupan, termasuk mengurus kewangan sendiri.
Sebagai lulusan baru, anda mungkin sedang berusaha membina kekayaan dari bawah.
Berikut adalah empat tip pengurusan kewangan yang dapat membantu anda memulakan perjalanan ini.
Jika anda mempunyai pinjaman pengajian seperti Pinjaman Yuran Tuisyen (TFL), tempoh pembayaran semula mungkin akan bermula tidak lama selepas tamat pengajian, atau sudah pun bermula sejurus anda tamat pengajian.
Kadar faedah TFL juga akan bertambah dari masa ke masa, justeru untuk mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar, utamakan pembayaran pinjaman pelajaran dalam beberapa tahun pertama anda bekerja.
Jika anda perlu melunaskan beberapa pinjaman, utamakan untuk melunaskan pinjaman dengan kadar faedah tertinggi.
Tetapkan cara pembayaran automatik melalui Giro untuk membantu anda kekal berdisiplin, dengan memperuntukkan jumlah tetap setiap bulan untuk membayar pinjaman itu terlebih dahulu dan mengelakkan perbelanjaan berlebihan.
Sebelum anda mula membina kekayaan sebagai lulusan baru, anda perlu tahu dengan tepat ke mana duit anda pergi, jika tidak, usaha anda akan sia-sia.
Aplikasi jejak perbelanjaan sangat berguna bukan sahaja untuk menetapkan bajet bulanan dan mencatat perbelanjaan harian, malah untuk melihat corak perbelanjaan anda dalam kategori berbeza seperti makanan, pengangkutan dan hiburan.
Gambaran jelas tentang corak perbelanjaan anda, menjadi asas untuk menyesuaikan perbelanjaan, menetapkan jumlah sasaran simpanan, dan mereka bajet realistik untuk anda patuhi.
Sebagai contoh, jika bahagian pembelian kopi harian anda terlalu besar dalam bajet, namun anda enggan melepaskannya, anda boleh mencari cara lain untuk mengurangkan perbelanjaan dalam kategori lain seperti pengangkutan atau hiburan.
Perubahan kecil sebegini dapat membantu anda memberi keutamaan kepada perkara yang paling penting buat diri anda, dan membawa kepada penjimatan yang berkesan dari masa ke masa.
Apa jua sasaran kewangan anda, penting untuk berhenti sejenak dan mengkaji semula sama ada matlamat ini benar-benar apa yang anda inginkan atau sekadar memenuhi kehendak orang sekeliling.
Kadangkala, kita menetapkan sasaran berdasarkan pengaruh rakan sebaya seperti ingin memiliki rumah pada umur 30 tahun, menjadi jutawan pada umur 40 tahun, atau bersara pada umur 50 tahun.
Namun, sasaran kewangan anda perlu bermakna buat diri anda kerana perkara itu yang akan mendorong anda untuk terus berusaha mencapai matlamat tersebut.
Justeru, penting untuk bersikap realistik dan jelas mengenai cara anda mahu mencapai matlamat tersebut seperti membahagikan matlamat kewangan besar kepada beberapa sasaran kecil yang mampu dicapai.
Anda perlu bermula dengan perkara yang anda mampu lakukan sekarang dan kemudian membuat penyesuaian dari masa ke masa.
Setelah anda berjaya melunaskan hutang tertunggak, mula membina dana kecemasan dan dalam perjalanan memenuhi matlamat kewangan, anda boleh mempertimbangkan untuk melabur dan mengembangkan simpanan anda.
Pelaburan jangka panjang, walaupun dengan jumlah kecil setiap bulan, boleh berkembang dengan ketara dari masa ke masa melalui faedah kompaun.
Semakin awal anda mengorak langkah untuk melabur, semakin banyak masa yang ada untuk wang anda berkembang, dan sebagai lulusan baru yang melabur awal, anda bakal melihat manfaatnya pada masa depan.
Walaupun Internet memudahkan akses kepada pelbagai maklumat kewangan, penting untuk membina pengetahuan kewangan dengan menimba ilmu daripada pakar industri yang telah melalui pelbagai pengalaman di pasaran.
Ingat, melabur bergantung kepada keadaan peribadi anda, dan pelaburan yang sesuai dengan anda bergantung pada toleransi risiko, jangka masa, keadaan kewangan, serta sasaran yang telah anda tetapkan.
Mengurus kewangan anda adalah suatu perjalanan, bukan destinasi.
Apabila anda mula menikmati kebebasan kewangan, inilah masanya untuk memanfaatkan aset yang anda miliki – termasuk masa, untuk bekerja buat diri anda.
Adalah normal untuk sasaran kewangan anda berkembang dari masa ke masa, namun pastikan pelan anda realistik, agar tidak rasa terbeban.
Dalam melayari perjalanan kewangan, pasti ada jatuh bangun, namun setiap pengalaman adalah peluang untuk belajar.
Kekalkan perasaan ingin tahu, sesuaikan diri sepanjang perjalanan dan perjalanan ini akan terasa berbaloi – sama seperti matlamat kewangan anda sendiri.
Penulis ialah Ketua Pegawai Pelaburan Endowus yang merupakan platform kekayaan digital bebas di Asia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg