Aset
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hutang perlu dilunas sebelum pembahagian harta pusaka

Ini temasuk hutang kad kredit, zakat tertunggak, fidyah, kafarah dan badal haji
Apr 20, 2025 | 5:30 AM
Dalam Islam, hutang adalah satu amanah dan kewajipan yang mesti diselesaikan sebelum sebarang pembahagian harta pusaka dibuat. 
Dalam Islam, hutang adalah satu amanah dan kewajipan yang mesti diselesaikan sebelum sebarang pembahagian harta pusaka dibuat.  - Foto PIXABAY

Farah merenung timbunan kecil surat-surat yang dikirimkan kepada Farhan, arwah suaminya itu. 

Sejak kematian suaminya dua bulan yang lalu, surat-surat itu sengaja dibiarkan Farah di sudut kabinet dapurnya tanpa dibuka. 

Petang itu, Farah bertekad untuk membuka surat-surat itu. 

“Mungkin ada yang penting,” hati Farah membisik. 

Antara surat-surat itu yang menarik perhatiannya ialah penyata kad kredit yang menunjukkan tunggakan bil sebanyak lebih $5,000. 

“Eh, apa ni? Kenapa banyak begitu bil kad kredit Abang Farhan,” katanya.  

Farah mengerutkan dahi, fikirannya bercelaru.

Suaminya, Farhan tidak pernah memberitahunya tentang hutang ini.

Lebih membingungkan, Farah tidak tahu bagaimana hutang ini boleh berjumlah begitu banyak.

Farhan yang dikenalinya tidak pernah menunjukkan tanda-tanda hidup dengan gaya yang boros.

Farah meneliti penyata tersebut dan melihat jumlah $4,800 pada satu transaksi untuk “Soccer Bet”.

Loceng pintu berbunyi. 

“Itu agaknya Abang Fadil dan Kak Salina dah sampai,” hatinya berkata. 

Memang Fadil, abang kepada arwah Farhan dan isterinya, Salina dah berjanji akan berkunjung ke rumahnya pada petang itu.

“Assalamualaikum, Farah,” Salina bersuara apabila pintu rumah dibuka.

“Waalaikumussalam, Kak Salina, Abang Fadil. Silakan masuk,” Farah menjawab.

Kedua-dua tetamu dijamu juadah petang pisang tanduk goreng dan air teh ‘O’. 

“Farah, Liyana, bagaimana? Semuanya okey sejak ketiadaan arwahnya?” Fadil bertanya lembut.

Liyana adalah anak tunggal Farah dan arwah Farhan.

“Alhamdulillah, Bang. Semua baik-baik belaka. Cuma kadang-kadang Liyana tertanya-tanyakan ayahnya,” Farah berkata.

Air matanya mula bergenang di kelopak matanya. 

Liyana, 10 tahun sedang berehat di bilik tidurnya selepas pulang dari sekolah.

“Bersabarlah, Farah. Anak kecil memang gitu. Belum biasa dengan ketiadaan ayahnya tu,” Salina menyampuk.

“Sebenarnya, ada sesuatu yang ingin saya bincangkan dengan Abang Fadil. Saya baru membuka surat daripada syarikat kad kredit Abang Farhan,” kata Farah, suaranya penuh kerisauan.

“Surat kad kredit? Ada apa-apa masalah ke, Farah?” Fadil bertanya.

“Ada tunggakan hutang sebanyak lebih $5,000. Saya tak tahu menahu tentang hutang ini. Arwahnya tak pernah cakap apa-apa,” jelas Farah.

Fadil terdiam kerana terkejut.

Matanya melihat transaksi tersebut daripada ‘Soccer Bet’.

Beberapa saat berlalu. Fadil mengeluh, mengusap wajahnya. 

“Arwah Farhan … dia ada kecenderungan berjudi, Farah. Terutamanya dengan taruhan bola sepak online. Abang pernah menasihatinya, tapi beliau tidak mahu mendengar. Beliau berdegil nak teruskan. Nak dapatkan semula kerugian lama, katanya. Namun dia masih kerugian dalam ‘soccer betting’ tu,” jelas Fadil.

Farah terkejut, hati kecilnya berdegup kencang.

“Judi?” ulangi beliau. “Saya tak tahu langsung. Dia tak pernah beritahu saya tentang itu.”

Farah memandang jauh ke luar tingkap.

“Saya tak tahu macam mana nak bayar semua ini, Bang. Kami baru sahaja kehilangan abang Farhan. Wang di bank abang Farhan pun tidak seberapa,” Farah menambah.

“Tapi, perlukah saya yang harus tanggung semua ini?” tanya beliau.

Fadil mengangguk, memahami perasaannya.

“Bukan soal siapa yang tanggung, Farah. Ini adalah tanggungjawab kita bersama. Sebagai waris, kita kena pastikan hutang itu dilunaskan dulu sebelum kita dapat selesaikan pembahagian harta pusaka arwahnya.”

Farah terdiam seketika, memikirkan bagaimana beliau akan dapat membayar hutang kad kredit Farhan.

Salina memegang lembut tangan Farah.

“Kami akan bantu Farah. Kami tidak akan biarkan Farah menghadapi masalah ini sendirian,” kata beliau.

Hati Farah kembali tenang.

Sekurang-kurangnya Fadil, waris faraid arwah Farhan – selain Farah dan Liyana – bersimpati terhadap keadaannya dan Liyana.

Fadil telah berjanji awal-awal lagi tidak akan menuntut haknya ke atas harta pusaka Farhan.

ANALISIS

Dalam Islam, hutang adalah satu amanah dan kewajipan yang mesti diselesaikan sebelum sebarang pembahagian harta pusaka dibuat.

Prinsip ini ditegaskan dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah saw.

Allah swt berfirman dalam Surah An-Nisa: Harta pusaka perlu diagihkan kepada waris-waris yang berhak “setelah dipenuhi wasiat yang dibuatnya atau/dan setelah dibayar hutangnya…” (Ayat 11).

Begitu juga Ayat 12, “…setelah dipenuhi wasiat yang dibuatnya dan setelah dibayar hutangnya dengan tidak memudaratkan ahli waris.”

Hadis Rasulullah saw juga menegaskan:
“Hutang itu adalah kewajipan yang harus diselesaikan sebelum pembahagian harta pusaka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa harta pusaka tidak boleh diagihkan kepada para waris sehingga segala hutang si mati – sama ada hutang kepada manusia mahupun kepada Allah swt – telah dilangsaikan.

Ini termasuk zakat yang tertunggak, fidyah, kafarah, dan badal haji, jika si mati belum menunaikan fardu hajinya.

Rasulullah saw juga bersabda:  

“Jiwa seseorang yang beriman tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.” (Riwayat At-Tirmizi)

Hadis ini membawa maksud bahawa roh si mati tidak akan mendapat ketenangan dan ganjaran akhirat selagi hutangnya belum diselesaikan.

Ia memberi mesej mendalam bahawa menyelesaikan hutang bukan sekadar urusan dunia, malah satu tanggungjawab akhirat yang berat.

Kisah Farhan menjadi contoh yang wajar direnungi.

Farhan meninggal dunia dengan meninggalkan hutang kad kredit yang tinggi.

Lebih menyedihkan, hutang tersebut berpunca daripada tabiat berjudi bola sepak secara dalam talian.

Farhan bukan sahaja gagal mengurus kewangan dengan bijak, malah meninggalkan beban kewangan kepada keluarga yang ditinggalkan.

Keadaan ini menimbulkan dilema kepada waris yang perlu melangsaikan hutang tersebut.

Keadaan akan lebih merumitkan lagi jika ada waris yang ingin segera mendapatkan bahagian faraid mereka tanpa mempertimbangkan keutamaan menyelesaikan hutang si mati terlebih dahulu.

Mujur Fadil, sebagai waris faraid Farhan, tidak bersikap begitu. 

Kesimpulannya, setiap Muslim harus sedar bahawa perancangan kewangan adalah sebahagian daripada tanggungjawab agama.

Hutang yang tidak dilangsaikan bukan sahaja menyulitkan waris, bahkan boleh menghalang kita daripada mendapat ketenangan di akhirat.

Justeru, marilah kita merancang kewangan kita dengan bijak dan akhiri hayat kita dalam keadaan bebas daripada hutang.

Penulis Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Barakah Capital Planners, firma perunding perancangan harta pusaka. Pihaknya boleh dihubungi menerusi WhatsApp di 9185-2559 atau e-mel di enquiry@barakahcapital.com.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg