Aset
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jika warisi harta pusaka, baik labur atau simpan?

May 25, 2025 | 5:00 AM
sani hamid
Perancang Kewangan Bertauliah dan Pengarah, Pengurusan Kekayaan (Ekonomi & Strategi Pasaran) Financial Alliance Pte Ltd, Encik Sani Hamid. - Foto fail

Ada soalan mengenai pelaburan? Tanya pakar kami, Perancang Kewangan Bertauliah dan Pengarah, Pengurusan Kekayaan (Ekonomi & Strategi Pasaran) Financial Alliance Pte Ltd, Encik Sani Hamid.

Soalan: Saya telah menerima harta pusaka yang lumayan daripada seorang waris. Patutkah saya gunakan wang tersebut untuk melangsaikan hutang atau melaburkannya untuk menambah kekayaan? Apakah cara yang terbaik untuk gunakan wang tersebut dengan bertanggungjawab?

Jawapan: Terdapat dua cara untuk menjawab persoalan sama ada seseorang patut melangsaikan hutang atau melabur harta pusaka yang diterima.

Dari sudut perancangan kewangan konvensional, kita perlu bertanya berapakah kadar penambahan hutang.

Sebagai contoh, jika anda mempunyai pinjaman dengan kadar faedah 4 peratus dan pelaburan yang anda buat boleh menjana pulangan sebanyak 7 peratus, maka secara logiknya, anda dapat melabur dan memperoleh 7 peratus, kemudian gunakan 4 peratus untuk membayar pinjaman, dan anda mendapat keuntungan bersih sebanyak 3 peratus.

Namun, dari perspektif Islam, pendekatannya berbeza.

Apabila seseorang mempunyai peluang untuk melunaskan hutangnya, maka beliau digalakkan untuk segera membayarnya.

Ini adalah kerana hutang dianggap satu tanggungjawab yang wajib dilunaskan apabila seseorang itu mampu.

Jadi di sinilah wujud perbezaan pendekatan – antara pandangan konvensional dengan pandangan Islam – dalam membuat keputusan sama ada hendak melabur atau melangsaikan hutang.

Cara terbaik untuk memastikan harta ini digunakan dengan bijak dan bertanggungjawab adalah, sebagai contoh, dengan menyimpannya sebagai dana kecemasan.

Ini bagi mengelakkan anda daripada menggunakan harta tersebut secara berlebihan yang boleh mengubah corak perbelanjaan dan gaya hidup anda sekarang.

Jika anda mula berbelanja lebih dari kebiasaan, taraf hidup anda akan meningkat harta sedangkan harta pusaka ini bukanlah pendapatan tetap yang berkekalan.

Satu hari nanti, wang itu boleh habis.

Justeru, adalah lebih baik untuk menyimpan harta tersebut di tempat yang selamat atau melaburkannya, agar ia dapat memberikan pulangan tahunan.

Contohnya, jika anda menerima harta pusaka yang besar, anda boleh melaburkannya dengan mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan yang berpengalaman.

Pastikan pelaburan itu memberikan bayaran (dividen) setiap tahun.

Sebagai contoh, katakan anda mewarisi $1 juta.

Anda laburkan jumlah itu dan ia memberikan pulangan sebanyak 5 peratus setahun – bersamaan $50,000.

Anda boleh gunakan pulangan tersebut – sama ada sebahagian atau sepenuhnya – untuk bercuti, menderma kepada kebajikan, atau apa sahaja yang anda inginkan.

Tetapi yang penting, anda tidak menyentuh wang pokok, hanya menggunakan hasil pulangannya sahaja.

Dengan cara ini, anda dapat memastikan harta pusaka itu bertahan lama dan digunakan secara berhemah, malah boleh menjadi sumber manfaat yang berterusan jika diurus dengan baik.

Jika anda mempunyai soalan mengenai pelaburan atau kewangan, e-mel kepada atiyyahm@sph.com.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg