Aset
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesanan sedekah jariah perlu ada wasiat sah, bukan sekadar lisan

Ini bagi elakkan pesanan lisan yang mungkin tidak dipertikai atau diabai oleh waris
Jul 20, 2025 | 5:30 AM
sedekah, wasiat
Wasiat bukan sekadar instrumen undang-undang, bahkan satu cara untuk menzahirkan niat akhirat melalui dokumen sah, seperti memberikan sebahagian daripada harta pusaka kepada wakaf atau badan amal yang lain, supaya dapat mengelakkan pertikaian di antara waris, kata penulis. - Foto fail

Mak Kiah menghembuskan nafas terakhir pada subuh Ahad yang tenang.

Rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat biliknya di Tampines – warisan arwah suaminya yang meninggal dunia tiga tahun lalu – merupakan harta pusaka terbesarnya, selain sedikit simpanan di bank.

Ketiga-tiga anaknya – Salim, Farid dan Arfah – sudah berumah tangga dan tinggal berasingan.

Sejak kematian suami, Mak Kiah tinggal seorang diri.

Walaupun pernah diajak oleh Arfah untuk tinggal bersamanya, Mak Kiah menolak dengan lembut.

“Mak tak nak susahkan anak-anak,” katanya.

Seminggu sebelum pemergiannya, Mak Kiah terjatuh di bilik mandi.

Pagi Ahad itu, seperti biasa, Arfah datang menziarah.

Namun, selepas beberapa kali memicit loceng dan menghubungi ibunya melalui telefon tanpa jawapan, Arfah membuka pintu dengan kunci pendua yang dia simpan.

Di dalam bilik mandi, ibunya ditemui terbaring, lemah dan kesakitan.

Tanpa berlengah, Arfah menghubungi ambulans.

Di hospital, Mak Kiah disahkan mengalami pendarahan otak dan terus tidak sedarkan diri.

Arfah mengambil cuti kerja untuk menemani dan menguruskan ibunya sepanjang di hospital.

Namun, selepas seminggu, Mak Kiah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Seminggu selepas pemergian Mak Kiah, ketiga-tiga anaknya berkumpul di ruang tamu rumah peninggalan ibu mereka.

Selepas majlis tahlil, mereka mula membincangkan soal harta pusaka ibu mereka itu.

Arfah, anak bungsu Mak Kiah, membuka bicara.

“Mak seperti tahu yang dia akan pergi buat selama-lamanya. Sebulan sebelum dia meninggal dunia, dia ada berpesan pada saya.

“Dia nak sepertiga harta pusakanya diwakafkan kepada Wakaf Masyarakat Singapura. Mak kata, biar pahalanya berterusan selepas dia tiada,” kata Arfah.

Farid, anak kedua bertanya, sedikit resah.

“Mak tulis ke pesanan tu? Ada saksi?” tanyanya.

“Tak sempat,” jawab Arfah perlahan.

“Saya dah suruh dia buat wasiat, tapi tidak kesampaian. Saya pun dah suruh Mak beritahu abang berdua. Mak tak cakap pada abang-abang ke?” tambah beliau.

“Tidak, Mak tak beritahu aku,” Farid menjawab.

“Abang pun tak diberitahu, Arfah,” sampuk Salim, abang sulung mereka.

Farid geleng kepala.

“Kenapa kau tak beritahu kami tentang pesanan Mak sebelum dia meninggal, Arfah. Sekurang-kurangnya kita boleh sahkan dengan Mak akan pesanannya itu,” Farid bertanya.

“Saya ingat Mak akan beritahu abang berdua,” jelas Arfah, sambil menundukkan kepalanya.

“Terpulanglah kepada abang berdua sama ada nak ikut pesanan Mak atau tidak. Saya dah jalankan tugas saya menyampaikan amanah Mak kepada abang berdua. Saya ikut sahaja keputusan abang berdua.”

Suasana menjadi agak tegang. Arfah mengesat air mata yang mula mengalir.

“Mak selalu bantu orang susah. Dia cakap, dia tak nak harta tu sekadar jadi rebutan anak-anak dia. Dia nak sebahagian daripada harta pusaka dimanfaatkan untuk akhirat Mak,” sambung Arfah.

Farid menggeleng kepala.

“Kalau Mak pesan begitu, ia perlu ada hitam putih. Mak tak boleh buat pesanan lisan seperti itu kepada kau seorang, tanpa libatkan aku dan abang Salim,” tegas Farid.

“Jadi abang ingat saya bohong ke?” Arfah membantah.

Salim, abang mereka, memerhatikan perbincangan antara kededua adiknya itu.

Beliau menganggukkan kepala, seakan-akan faham kedudukan perkara.

“Abang dah dengar apa yang kamu berdua katakan. Sebagai anak, abang rasa kita perlu tunaikan pesanan Mak untuk berikan sepertiga (1/3) daripada harta pusakanya kepada Wakaf Masyarakat Singapura.

“Arfah tiada kepentingan kepada pesanan ini. Malah, bahagiannya kepada harta pusaka Mak akan merosot dengan pesanan ini. Jadi abang rasa, walaupun tidak bertulis, kita tunaikan niat Mak itu,” kata Salim, memberi jalan tengah.

“Harta pusaka yang ditinggalkan adalah hasil jerih payah Mak dan Ayah kita.

“Abang rasa tidak adil kalau kita mengambil hak kita daripada harta pusaka Mak, dan tidak berbuat sesuatu sebagai sedekah jariah untuk Mak dan Ayah. Jadi, abang cadangkan kita berikan kepada wakaf atas nama Mak dan Ayah,” Salim sarankan.

“Apa pendapat kamu berdua?” tanya Salim kepada adik-adiknya.

“Saranan Abang tu pun baik juga. Mak tak bekerja. Rumah ini pun atas hasil usaha Ayah kita. Saya rasa itu agaknya niat sebenar pesanan Mak, untuk sedekah jariah atas nama Mak dan Ayah,” Arfah mencelah.

Farid terdiam.

Beliau tahu bahagian faraidnya besar nilainya kalau sepertiga tidak diberikan kepada wakaf.

Beliau sedang menghadapi tekanan kewangan.

Banyak hutang yang perlu beliau lunaskan.

Beliau kini ada krisis rumah tangga bersebab daripada masalah hutangnya itu.

Harta pusaka ibunya itu boleh menyelamatkan keadaan.

“Aku perlu masa untuk timbangkan perkara ini,” Farid bersuara.

“Tapi aku juga tak sanggup melihat pesanan Mak terbiar begitu saja,” hatinya membisik.

Tiga beradik itu termenung lama.

Mereka tahu, harta boleh dibahagi – tetapi sebagai orang Islam, kebajikan akhirat ibu dan ayah mereka perlu mereka fikirkan juga.

ANALISIS

Kisah ini menggambarkan dilema yang kerap berlaku apabila si mati hanya meninggalkan pesanan lisan, tanpa dokumen sah seperti wasiat bertulis.

Walaupun niat untuk berwakaf adalah mulia, tanpa perancangan yang sah, pesanan lisan sebegitu mungkin dipertikai atau diabaikan oleh waris.

Ada yang mungkin tidak percaya.

Ada pula yang mempunyai tafsiran berbeza.

Wasiat bertulis yang sah akan mengelakkan perbalahan dan memastikan keharmonian kekeluargaan terpelihara.

Tanpa wasiat bertulis, pentadbir harta pusaka (administrator) juga tidak mempunyai kuasa sah untuk mengagihkan harta kepada badan wakaf atau penerima sedekah jariah, kecuali dipersetujui oleh kesemua waris faraid si mati.

Ini boleh menyebabkan proses pentadbiran harta menjadi rumit dan tertangguh, lebih-lebih lagi jika ada ramai waris faraid.

Wakaf adalah satu bentuk sedekah jariah – salah satu daripada tiga amalan yang tidak terputus pahalanya selepas mati, seperti yang disebut Nabi Muhammad saw:

“Apabila mati anak Adam, terputuslah semua amalannya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.” (HR Muslim).

Justeru, wasiat bukan sekadar instrumen undang-undang, malah satu cara untuk menzahirkan niat akhirat kita.

Dengan menulis wasiat untuk memberikan sebahagian daripada harta pusaka kita kepada Wakaf Masyarakat Singapura atau badan-badan amal yang lain, kita bukan sahaja menjamin pelaksanaan niat suci kita.

Bahkan, kita juga mengelakkan pertikaian di antara waris dan membuka jalan kepada pahala yang berterusan dan berkekalan, walaupun kita sudah tiada.

Penulis Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Barakah Capital Planners, firma perunding perancangan harta pusaka. Pihaknya boleh dihubungi menerusi WhatsApp di 9185-2559 atau e-mel di enquiry@barakahcapital.com.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg