Aset
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rancang harta pusaka sebelum ke tanah suci

Satu hal penting sering dilupakan – kemungkinan meninggal dunia semasa laksana ibadah
May 18, 2025 | 5:30 AM
ibadah haji, wasiat
Para bakal jemaah haji disarankan supaya membuat perancangan harta pusaka dan legasi yang sesuai sebelum mereka berangkat ke tanah suci sebagai persediaan sekiranya sesuatu berlaku, kata penulis.  - Foto AFP

Udara petang Ahad itu terasa segar selepas hujan lebat sebelumnya.

Ramai mula berjalan keluar dari bangunan berdekatan semasa berteduh daripada hujan, menambahkan lagi suasana sibuk di kawasan Kampong Gelam itu.

Di suatu sudut kedai kopi di situ, tiga pasangan duduk rapat sambil menghirup minuman yang mereka pesan.

Mereka baru sahaja selesai menghadiri kursus haji mingguan di Madrasah Aljunied.

Mereka agak terkesan dengan pesanan penceramah hari itu yang menganjurkan supaya para jemaah haji membuat perancangan harta pusaka, sekurang-kurangnya menulis wasiat, sebelum mereka ke tanah suci.

“Apa pendapat kawan-kawan mengenai apa yang disampaikan penceramah tadi?” tanya Farid, suaranya rendah tapi tegas.

Lelaki berusia 55 tahun itu mengaduk minumannya perlahan.

Rizal, yang sejak tadi diam, melepaskan keluhan.

“Entah ya… saya rasa macam tak perlu buat apa-apa. Alah, harta saya dan isteri tak lah seberapa. Hanya rumah HDB, dan akaun bank kami sahaja. Mungkin juga motosikal buruk saya tu saja,” jawabnya.

“Cuma, akaun bank kami atas nama peribadi. Ada masalah tak?” Melati, isteri Rizal menyampuk.

Melati seorang suri rumah sepenuh masa. Rizal seorang teknisyen di sebuah syarikat antarabangsa. Mereka mempunyai tiga anak – dua lelaki dan seorang perempuan, yang masih bersekolah.

Melati meletakkan tangan di lengan suaminya.

“Kalau abang pergi dahulu, saya dengar akaun bank peribadi abang akan dibekukan, dan saya tak boleh keluarkan duit daripada akaun bank abang itu, kan? Bagaimana nak keluarkan belanja untuk anak-anak kita itu nanti?”

Amran ketawa kecil, cuba menenangkan suasana.

“Tapi kita semua masih sihat. Masih muda. Kita harus bersikap positif. Insya-Allah tak ada apa-apa akan berlaku pada kita semua. Perlu banyak berdoa,” kata Amran penuh yakin.

Sapiah, isteri Amran, menjeling suaminya dengan sinis.

“Kita ada anak angkat, Amran. Tanpa wasiat dan perancangan harta pusaka, harta pusaka kita akan dibahagikan mengikut faraid. Afiyah, anak angkat kita tu nanti tak akan dapat apa-apa!” Sapiah mencelah.

Suaranya mula meninggi.

Amran memandang kopi ‘O’ panasnya yang hampir habis.

“Betul juga kata bini aku ni,” hatinya membisik.

Suasana kembali sunyi.

Hanya bunyi cawan-cawan disusun dari meja sebelah memecah hening.

Farid yang memulakan topik yang hangat diperbualkan itu terdiam melihat suasana yang agak tegang berlaku.

“Begini lah …,” Farid mencelah.

“Setiap keluarga ada masalah yang tersendiri dan perlu pencerahan. Saya dan isteri juga ada isu yang perlu kami selesaikan mengenai wasiat dan harta pusaka ini. Kami ada anak-anak yang masih bersekolah.

“Jika sesuatu berlaku kepada kami berdua, siapa yang akan menjaga anak-anak kami. Siapa yang boleh kami lantik sebagai penjaga yang sah (legal guardian) mereka? Adakah penjaga yang sah itu seorang yang amanah dan boleh kami percayai?

“Bolehkah penjaga yang sah itu memberikan didikan dan kasih sayang seperti yang kami berikan kepada anak-anak kami? Agak kompleks juga masalah kami ini, walaupun pada dasarnya seperti tiada masalah,” Farid menambah.

Panjang ceritanya. Maklumlah, Farid seorang pensyarah di universiti tempatan.

“Apa kata kita berjumpa dengan pakar rancang pusaka agar segala kemusykilan kita dapat dijawab?” Farid mengesyorkan.

Kesemua menganggukkan kepala mereka, tanda setuju.

ANALISIS

Ramai membuat persiapan haji dengan teliti – pakaian, perubatan, vaksin, kelengkapan ihram, manasik dan senaman.

Namun, satu hal penting sering dilupakan – kemungkinan meninggal dunia semasa di tanah suci.

Ramai yang ingin meninggal dunia di tanah suci, namun persediaan rapi belum dilaksanakan.

Kisah yang dipaparkan tadi memusatkan isu perancangan pusaka dalam konteks bakal jemaah haji yang tidak menyedari kesan hukum faraid ke atas waris terdekat mereka jika mereka meninggal dunia tanpa wasiat atau tanpa membuat perancangan harta pusaka.

Empat isu utama disentuh dalam kisah ini:

1. Wasiat dan penamaan penjaga (guardian) untuk anak bawah umur

Menulis wasiat untuk melantik penjaga yang amanah dan bertanggungjawab penting bagi memastikan kebajikan anak terjaga selepas kematian kededua ibu dan bapa anak itu.

Tanpa wasiat, perebutan hak penjagaan boleh berlaku, lebih-lebih lagi jika anak itu mewarisi harta pusaka yang agak lumayan.

Kemungkinan orang yang dilantik sebagai penjaga merupakan orang yang tidak amanah, tidak boleh dipercayai dan menzalimi anak mereka.

Wasiat membolehkan ibu bapa memilih individu yang amanah, boleh dipercayai dan diyakini mampu memberi kasih sayang, pendidikan dan didikan agama yang sepatutnya kepada anak mereka.

Ia juga boleh mengelakkan konflik keluarga mengenai penjagaan anak dan memudahkan urusan undang-undang serta syariah.

Penjaga yang bertanggungjawab akan membentuk masa depan anak yang lebih terjamin dan berakhlak.

2. Anak perempuan dan hak pusaka

Mengikut hukum faraid, jika si mati meninggalkan seorang anak perempuan tanpa anak lelaki, anak perempuan tersebut berhak menerima separuh (1/2) daripada harta pusaka.

Jika dua atau lebih anak perempuan, mereka berkongsi dua pertiga (2/3).

Baki harta diagihkan kepada waris lain seperti ibu bapa, suami atau adik-beradik si mati (jika bapa si mati sudah tiada).

Kerana itu, penting bagi ibu bapa membuat perancangan harta pusaka seperti membuat nominasi Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan insurans jika mereka menginginkan anak perempuan mereka mendapat bahagian yang lebih besar.

3. Pasangan tidak boleh keluarkan wang dari akaun bank peribadi si mati

Akaun bank atas nama peribadi si mati akan dibekukan pihak bank selepas kematian.

Tanpa perancangan seperti akaun bersama, pasangan hidup tidak boleh mengeluarkan wang daripada simpanan itu, walaupun untuk keperluan anak-anak.

Ia hanya boleh dilaksanakan selepas pelantikan seorang pentadbir (administrator) melalui surat mahkamah dipanggil surat kuasa pentadbiran, atau Grant of Letters of Administration, yang mungkin memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Bayangkan masalah yang mungkin timbul jika wang simpanan si mati merupakan satu-satunya sumber kewangan balu dan anak-anak si mati.

4. Anak angkat tidak diiktiraf sebagai waris sah

Anak angkat tidak dianggap sebagai waris sah dalam hukum faraid.

Jika si mati tidak ada wasiat dan tidak membuat sebarang perancangan untuk memberikan sebahagian harta pusakanya kepada anak angkat, kemungkinan anak angkat tersebut tidak akan mewarisi sebarang harta pusakanya.

Ini melainkan jika waris si mati yang lain bersikap ihsan dan memberikan sebahagian daripada harta pusaka yang mereka warisi kepada anak angkat tersebut.

Namun, adakah kita sebagai ibu bapa angkat anak tersebut mahu bergantung kepada keihsanan para waris kita apabila kita sudah tiada?

Atau, kita mengambil langkah proaktif untuk menetapkan bahagian yang harus diterima anak angkat kita itu semasa kita masih hidup?

Saya rasa lebih baik jika kita membuat perancangan yang teliti bagi menjaga kebajikan anak angkat kita.

Selain daripada empat isu penting yang dibincangkan dalam kisah yang dipaparkan, ada banyak lagi isu yang perlu pertimbangkan bagi memastikan kemaslahatan anak-anak serta keluarga terdekat kita terpelihara selepas ketiadaan kita.

Memandangkan risiko yang tinggi semasa menjalankan ibadah haji, saya ingin sarankan supaya para bakal jemaah haji membuat perancangan harta pusaka dan legasi yang sesuai sebelum mereka berangkat ke tanah suci.

Hubungi pakar rancang pusaka bagi mendapatkan nasihat yang sesuai dengan keadaan unik keluarga mereka.

Penulis Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Barakah Capital Planners, firma perunding perancangan harta pusaka. Pihaknya boleh dihubungi menerusi WhatsApp di 9185-2559 atau e-mel di enquiry@barakahcapital.com.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg